Tujuannya adalah untuk membina rangkaian pawagam-pawagam di seluruh negara selain menerbitkan filem-filem berwarna untuk pasaran dalam dan luar negara. Pada tahun pertama operasinya, Perfima menumpukan kepada usaha mengedar filem-filem Indonesia untuk pasaran tempatan. Atas beberapa sebab, P. Ramlee dan H.M. Shah meninggalkan Perfima dan menubuhkan Rumpun Melayu pada 1973 (yang mengusahakan Pawagam P. Ramlee dan merancang menerbitkan filem Air Mata di Kuala Lumpur, tetapi tidak kesampaian kerana P. Ramlee meninggal dunia). Jins Shamsudin yang pulang dari London (mengikuti pengajian perfileman) menghasilkan skrip filem cereka pertama terbitan Perfima, Menanti Hari Esok, yang mengambil masa dua tahun untuk direalisasikan.

Selain Perfima, syarikat Sari Artists Film juga ditubuhkan pada 1972 (yang diusahakan seniwati Sarimah bersama suaminya Yusoff Majid). Sari Artists Film mendapat keuntungan besar selepas dua tahun dengan hanya membeli hakcipta pengedaran bagi filem-filem Indonesia dan India dan menayangkan di rangkaian pawagam bebas. Pada 1975 syarikat ini menerbitkan filem berjudul Malaysia Five (arahan Jun Aristorenas), sebuah projek usahasama bersama syarikat Filipina, Juver Productions. Namun, syarikat ini tidak sempat menerbitkan filem Melayu kerana hayatnya berakhir selepas terlibat dengan kes perundangan di mahkamah.

Sebuah lagi syarikat yang dianggap penting mempelopori era persendirian ini adalah Sabah Film, yang diusahakan ahli perniagaan dari Sabah, Deddy M. Borhan dengan penerbitan filem pertama Keluarga Comat (Aziz Sattar) pada 1975. Ia dianggap filem penting yang merintis perusahaan filem bumiputera di negara ini. Filem itu menempa kejayaan komersial yang tidak dijangka. Secara umumnya, filem komedi tersebut masih melanjutkan gaya komedi filem-filem Melayu era studio, malah dipenuhi unsur lelucon yang dipaksa-paksa termasuklah scatological humour. Dalam beberapa keadaan, filem ini berfungsi seperti sebuah filem iklan untuk pelancongan Malaysia apabila sempat mempromosi landskap dan tempat-tempat menarik di Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Yang signifikannya, naratif filem ini cuba menghubungkan masyarakat di Sabah (keluarga Comat, kelas pekerja) dan Semenanjung tanahair (keluarga borjuis Pak Sudin, seorang usahawan). Malah, plot yang mengambil tempat di Semenanjung (KL), memfokuskan usaha perdamaian dan integrasi unit keluarga (keluarga Pak Sudin dengan isteri mudanya menjadi berantakan), serta menerima bakal menantu (Borhan) dari Sabah, boleh dibaca sebagai alegori pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa. Selain itu, Keluarga Comat turut membawa aspirasi DEB dengan menyerlahkan kelahiran usahawan bumiputera (menerusi watak-watak utamanya). Kejayaan komersial Keluarga Comat menjadi pemangkin kepada kejayaan Sabah Film selepas itu yang muncul dengan filem lain (kebanyakannya menempa kejayaan komersial) seperti Hapuslah Air Matamu (1976), Pendekar (1977), Gila-Gila (1979), Kisah Seorang Biduan (1979) dan Si Badol (1979). Sabah Film terus menghasilkan filem dan menjadi antara syarikat yang agak dominan sepanjang 1980-1984 hinggalah filem terakhirnya, Azura (1984).

Keluarga Comat turut merangsang penubuhan syarikat bumiputera lain seperti Baiduri Film Production (dengan filem Bunga Padi Berdaun Lalang, 1975) dan syarikat insurans Talasco (menerusi Pura Mas Filem menghasilkan Boneka Permata (1975). Dalam pada itu filem pertama Perfima, Menanti Hari Esok (1976), adalah sebuah melodrama keluarga yang turut mendapat kejayaan komersial luar biasa apabila ditayangkan di pawagam hampir dua bulan lamanya (Jins kemudiannya meninggalkan Perfima dan menubuhkan Jins Shamsudin Productions). Semakin banyak syarikat perfileman bumiputera lain mula bertapak ketika pengakhiran era 1970-an. Antaranya, Indra Film, Varia Film, Pantai Timur Film, Sharsaree Film, Syed Kechik Film, Gala Film, Anang Enterprise dan beberapa lagi, tetapi kebanyakannya berakhir selepas menghasilkan sebuah dua filem sahaja. Fasa ini juga memperlihatkan dua genre yang dominan iaitu komedi dan melodrama, dengan rata-ratanya melibatkan pengarah kalangan figura veteran era studio antaranya Jins Shamsudin, Aziz Satar, M. Amin, Omar Rojik dan S. Sudarmaji. Secara umumnya, struktur, semangat dan pengisian kandungan (naratif) masih tidak jauh berbeza dengan sinema Melayu era studio.

Ketika fasa ini juga, kos penerbitan syarikat-syarikat bumiputera ini bagi sebuah filem tidak melebihi RM200,000. Bermula pada tahun 1979 dan awal 1980-an, kosnya meningkat sedikit kepada RM300,000 ke RM350,000. Ada juga beberapa syarikat yang mengeluarkan filem dengan kos terlalu rendah dan menggunakan format filem 16mm (ada yang kemudiannya dipindahkan ke 35mm untuk tayangan pawagam). Ada juga filem-filem ini yang diarahkan oleh Z. Lokman, M. Osman, Ismail Sasakul dan beberapa nama yang tidak dikenali langsung tidak ditayangkan di pawagam sebaliknya terus dilayarkan di kaca TV.

Selain itu, kerajaan negeri Johor (menerusi Maju Filem Produksi) sempat membiayai dua filem arahan Mat Sentul, Mat Tenggek (1979) dan Penagih Dadah (1979). Manakala Filem Negara Malaysia yang sinonim dengan penerbitan dokumentari turut menerbitkan filem cereka secara komersial bermula dengan Dayang Suhana (1978), melodrama ‘jejak kasih’ yang merupakan alegori hubungan Borneo (Sarawak) dengan Semenanjung Malaysia. Usaha ini berterusan hingga tahun 1984 dengan beberapa buah lagi melodrama yang disuntik elemen propaganda. Shaw Brothers (menerusi Merdeka Film Production) masih menghasilkan beberapa buah filem dalam warna, namun kebanyakannya adalah filem saduran atau diinspirasi daripada filem luar. Antaranya, Rahsia Hatiku (1975), Permintaan Terakhir (1975), Jiwa Remaja (1975), Cinta dan Lagu (1976) dan Sayang Anakku Sayang (1976). Filem terakhir Merdeka Film (sebelum ditutup) adalah Adik Manja (1979), sebuah komedi arahan Othman Hafsham yang mendapat kejayaan tahap ‘pecah panggung’ dan melonjak nama pengarahnya.

Fasa awal era persendirian sinema Malaysia ini yang menyaksikan ketidaktentuan pasaran dan resepsi filem-filem yang dihasilkan membawa kepada pembentukan sebuah jawatankuasa oleh pihak berkuasa bagi menyiasat keperluan untuk melindungi dan membangunkan industri filem ini pada tahun 1980. Ini membawa kepada penubuhan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) secara rasmi pada 1981.