Antara aktiviti yang dijalankan adalah memancing, larian dan kejohanan golf. Kejohanan golf merupakan acara yang terakhir diadakan dan seramai 260 pemain terdiri daripada ahli-ahli kelab, penaja, tetamu dan wakil media menyertai kejohanan itu yang diadakan di dua lapangan iaitu Garden dan Valley.

Apa yang menarik dalam kejohanan itu adalah persetujuan pihak Audi dan Proton untuk menaja kenderaan iaitu Audi Q7 dan Proton X70 kepada pemenang yang berjaya melakukan pukulan selubang (hole in one).

Pengurus Kelab GGCC, Nor Afendi Mohd. Razlan berterima kasih kepada semua penaja terutama Audi dan Proton yang sudi menaja kereta walaupun tiada seorangpun yang berjaya melakukan pukulan hole in one.

Nor Afendi juga turut menjadi orang penting dalam memainkan peranan menjayakan semua acara itu sebagai tanda penghargaan untuk ahli-ahli dan rakan-rakannya yang membantu menyokong sepanjang 25 tahun Kelab Golf Glenmarie ditubuhkan.

“Kami berbangga dapat menjadi tuan rumah acara ini sebagai tanda terima kasih kepada mereka yang telah menyokong GGCC sepanjang tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang kejohanan.

Terdahulu beberapa hari sebelum kejohanan golf bermula, pertandingan memancing dan larian di GGCC turut mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

GGCC mula beroperasi pada 1994 dan majlis perasmiannya dilakukan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tanah seluas 182 hektar ini menawarkan padang golf 36 lubang dan menjadi tuan rumah kepada kejohanan seperti Piala EuroAsia pada 2014, 2016 dan 2018.

GGCC juga berjaya meraih anugerah ‘Kelab Golf Tahun Ini’ dalam Siri Anugerah Hospitality Asia Platinum (HAPA) Malaysia Awards 2018-2020.