Lima nama besar dalam industri muzik Indonesia iaitu Tulus, Sal Priadi, Dere, Kunto Aji dan Idgitaf bakal berkongsi pentas dalam persembahan Tur Sama Sama yang akan berlangsung pada 5 Disember ini, di Idea Live Arena, Kuala Lumpur.
Persembahan yang berdurasi selama dua jam setengah itu menjanjikan pengalaman muzik yang berbeza apabila setiap artis mempersembahkan lagu-lagu popular mereka selama 30 minit, diselang-seli dengan kolaborasi duet eksklusif dan aksi spontan yang belum pernah ditampilkan sebelum ini.
Menurut pihak penganjur, Tur Sama Sama tercetus daripada semangat persahabatan antara rakan-rakan pemuzik yang mahu terus berkembang bersama, sambil membuka ruang kerjasama lebih luas untuk masa depan industri muzik serantau.
“Projek ini bermula daripada perbualan kecil di belakang pentas. Awalnya, kami rancang untuk buat di Indonesia sahaja, tapi selepas berbincang, kami sepakat untuk bawa konsep ini ke luar negara iaitu Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, konsep Tur Sama Sama turut menekankan hubungan dua hala antara artis dan penonton, menjadikan persembahan ini lebih interaktif dan penuh semangat kebersamaan.
“Kami bukan sekadar mahu menyanyi, tapi mahu menghidupkan spirit sama-sama dengan penonton. Kami mahu mereka turut merasakan perjalanan emosi kami di atas pentas,” ujar Kunto Aji yang melihat persembahan ini sebagai ruang untuk berkongsi suka duka bersama.
Sementara itu, Tulus turut meluahkan rasa teruja dapat kembali beraksi di Malaysia selepas sekian lama.
“Saya selalu rasa dihargai setiap kali tampil di Malaysia. Saya juga tak sabar untuk menikmati makanan Malaysia yang selalu jadi kegemaran saya,” katanya.
Di samping itu, penganjur turut mengakui cabaran utama penganjuran persembahan ini ialah bagi menyatukan jadual semua artis yang padat, namun berkat kesungguhan dan semangat kolaborasi, Tur Sama Sama akhirnya berjaya direalisasikan.
Dengan pentas yang direka seolah-olah sebuah pementasan teater, persembahan ini turut menjanjikan pelbagai gimik menarik yang akan memberi nafas baharu kepada pengalaman menonton persembahan.
Selain itu, Tur Sama Sama diharap menjadi titik permulaan kepada kerjasama lebih besar antara pemuzik Malaysia dan Indonesia, selaras dengan semangat muzik yang menyatukan tanpa sempadan.










