KUALA LUMPUR: Barisan artis popular tanah air seperti Kristal, Keena Mentor, Exceed, Ann Ways dan Arca Band, bakal menggamatkan pentas GF Galau Food Festival (GFF) 2025 yang akan berlangsung di Setia Alam Convention Centre, Selangor mulai 27 hingga 31 Disember ini.
Festival ini dijangka menjadi antara acara hiburan dan makanan terbesar di Lembah Klang sempena sambutan tahun baharu 2026, dengan persembahan istimewa dan pertunjukan bunga api pada malam penutup.
Selain persembahan artis, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk gerai makanan tempatan dan antarabangsa, booth gaya hidup, persembahan pentas keluarga serta cabutan bertuah dengan hadiah lumayan seperti dua unit skuter elektrik EVBike, Sony PlayStation 5, penghawa dingin, televisyen 50 inci dan hamper eksklusif.

Menurut penganjurnya, Encik Azlisham Yusof, objektif utama GFF adalah untuk merancakkan industri makanan tempatan serta membuka ruang kepada usahawan kecil dan sederhana memperkenalkan produk mereka kepada masyarakat.
“GF Galau Food Festival diadakan bagi memberi peluang kepada orang ramai menikmati makanan enak sambil berhibur dalam suasana santai dan selamat. Kami mahu menjadikan acara ini sebagai destinasi wajib hujung tahun untuk seisi keluarga,” katanya.
Jelasnya lagi, festival yang bakal dimeriahkan dengan persembahan artis setiap malam termasuk Kristal, Keena Mentor, Ways, Exceed dan Arca Band itu dipilih berdasarkan konsep nostalgia dan galau yang menjadi tema utama penganjuran kali ini.
“Kami ingin menghidupkan kembali nostalgia muzik lama yang sentiasa dekat di hati pendengar. Barisan artis ini masih memiliki kelompok peminat setia, dan kami mahu memberi mereka peluang untuk kembali tampil menghiburkan masyarakat,” katanya.
Dengan jangkaan kehadiran antara 30,000 hingga 40,000 pengunjung sepanjang tempoh penganjuran, festival ini akan dibuka dari 10 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari, dan kemuncaknya pada malam penutup bakal menjadi sambutan ambang tahun baharu paling meriah di Lembah Klang.

 
								 
											









