PETALING JAYA: Penyanyi hip hop terkenal tanah air, Joe Flizzow, membuktikan sumbangannya selama ini dihargai apabila menerima gelaran Ikon Belia Johor sempena Anugerah Sukan Johor Ke-31, pada Isnin lalu.
Joe Flizzow atau nama sebenarnya Johan Ishak, meraih gelaran itu bagi kategori penggiat seni bersama-sama beberapa atlet terkemuka Johor seperti Hafizh Syahrin Abdullah, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhamad Farkhan Mohd Haron.
Anugerah berprestij ini disampaikan bersempena majlis pelantikan ikon belia negeri Johor, sebagai tanda penghormatan terhadap sumbangan beliau dalam dunia seni, budaya, dan pembangunan anak muda.
Dikenali sebagai penyanyi, penulis lagu, penerbit muzik dan usahawan, Joe Flizzow merupakan figura penting yang mengangkat martabat muzik hip hop Malaysia.
Penyanyi berusia 45 tahun itu juga menjadi inspirasi generasi muda untuk terus berkarya serta berani menembusi batasan.
Menurut Joe Flizzow, pengiktirafan tersebut merupakan penghormatan besar buat dirinya serta anak muda Johor lain yang mempunyai impian tinggi.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja penghormatan kepada saya secara peribadi, tetapi juga kepada seluruh anak muda Johor yang berani bermimpi dan berusaha mencapai kejayaan dalam apa jua bidang,” katanya.
Penganugerahan ini sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan Joe Flizzow sebagai salah seorang figura paling berpengaruh dalam dunia seni dan belia, bukan sahaja di Johor, malah di peringkat antarabangsa.
Majlis Anugerah Sukan Johor Ke-31 telah berlangsung pada 29 September lalu di Dewan Kenanga, Majlis Bandaraya Johor Bahru.