Kumpulan lelaki sensasi tanah air, ALPHA terus mencipta fenomena tersendiri apabila single terbaharu mereka, ‘P Ramlee Saloma’ menjadi siulan dan diterima baik oleh peminat.
ALPHA yang sebelum ini popular dengan lagu Mona Lisa (Bang Bang), telah berjaya membuktikan kemampuan mereka dan mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam industri muzik tempatan.
Lagu ini yang dilancarkan pada 18 Julai lalu dibawakan dalam bentuk balada moden yang menyentuh jiwa dan berjaya mengumpul lebih daripada 22 juta capaian digital yang merangkumi platform Spotify, YouTube, YouTube Music, Apple Music dan tontonan video pendek dalam tempoh dua bulan selepas pelancaran.
Menurut salah seorang anggota kumpulan itu, Rizal Rasid, “P Ramlee Saloma” diinspirasikan daripada kisah cinta abadi dua legenda seni negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarhamah Puan Sri Saloma.
“Saya sangat bangga kerana dalam tempoh singkat sahaja lagu ini berjaya meraih jutaan strim. Sokongan peminat membuktikan muzik kami diterima, dan itu buat saya benar-benar terharu,” katanya.
Bagi Izat Ibrahim pula, kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan luar biasa peminat.
“Terima kasih kepada semua yang menonton, yang strim dan berkongsi lagu ini. Kejayaan ini milik peminat, dan kami janji akan tampil dengan komposisi lebih segar selepas ini.’’ ujarnya.
Bagi menghargai sokongan tanpa henti daripada para peminat, ALPHA kini tampil dengan video muzik (MV) rasmi “P Ramlee Saloma”.
Dengan visual penuh romantik dan sinematografi moden, klip video ini bukan sahaja memberikan makna pada lagu, malah menjadi simbol kasih sayang ALPHA kepada semua penyokong mereka.
Sementara itu, Ariel Fesol selaku ketua meluahkan rasa syukur atas perjalanan indah ini.
“Sokongan peminat menjadikan langkah kami lebih bermakna. Jangan berhenti untuk strim dan sebarkan muzik kami, kerana anda semua adalah kekuatan sebenar ALPHA,” katanya.
Bermula 19 September 2025, MV rasmi “P Ramlee Saloma” boleh ditonton secara eksklusif di Youtube @RocketfFuelNetwork.
Manakala single tersebut boleh distrim di semua platform digital utama seperti di Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music