Pedagang cilik, patut atau tidak? - Utusan Malaysia

Pedagang cilik, patut atau tidak?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“KECIL-kecil sudah berniaga, bila mereka akan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak biasa?”
Itu mungkin pendapat yang ada dalam fikiran segelintir warganet apabila sekarang ini, ramai anak selebriti tempatan dilihat mula ‘bekerja’ dengan berniaga, menyanyi dan pelbagai lagi bidang lain yang diceburi.

Poklip sejujurnya tidak melihat ada yang salah dalam isu ini selagi usaha itu tidak terlalu membebankan emosi, mental dan fizikal anak-anak yang masih muda remaja. Tidak salah pun mereka belajar berusaha.

Ramai artis senior sekarang bermula sebagai penyanyi dan pelakon kanak-kanak. Ada yang sejak bayi sudah ‘bekerja’ biarpun sebagai pelakon iklan. Amelia Handerson sebagai contoh.

Jadi, bukan sesuatu yang ralat atau pelik pun jika ada anak artis sudah mula menceburkan diri dalam bidang seni ini. Bak kata orang putih, it runs in the blood. Dari dahulu pun sudah dipraktiskan.

Jika tidak, masakan ada beberapa kategori di pelbagai anugerah melibatkan kanak-kanak. Usaha dan kudrat mereka tetap dihargai. Malah, ada yang sehingga kini masih menempa nama tersendiri.

Bell Ngasri, Anuar Zain, Aedy Ashraf dan Bella Astillah ialah antara nama anak seni yang dari kecil sudah belajar cari duit sendiri dengan bakat yang ada. Pada masa sama, tidak lupa pelajaran.

Tetapi bukan itu yang segelintir warganet suarakan. Rasanya, di era modenisasi ini, sudah ramai ibu bapa termasuk penggiat seni mementingkan pelajaran.

Berlakonkah, menyanyikah tetap sekolah nombor satu.

Cuma baru-baru ini, apabila seorang kanak-kanak yang juga anak pasangan selebriti popular menangis gara-gara produk makanan jualannya mendapat kritikan segelintir pihak, ada yang mula bersuara.

“Mengapa kanak-kanak di usia itu perlu pening kepala, melawan emosi dan mental soal perniagaan? Ibu bapanya jutawan, jadi untuk apa dia bersusah payah. Fokus sahaja sekolah.”

Itu antara komen yang Poklip sempat baca di laman sosial baru-baru. Banyak lagi komen yang turut menyalahkan ibu bapa anak itu yang mungkin terlalu memaksa anaknya untuk bekerja.

Tetapi kanak-kanak sekarang bukan seperti kita dahulu. Mereka dari awal sudah didedahkan dengan media sosial, gaya dan corak pemikiran mereka juga berbeza. Tidak sama dengan kita.

Poklip tidak merasakan ada unsur paksaan untuk anak yang di usia bawah 10 tahun itu untuk bekerja. Tambahan pula, menjual produk makanan yang kita semua sedia maklum kudratnya bukan main-main.

Mungkin anak itu yang ‘memaksa’ diri dan ibu bapanya untuk mempromosikan jualan tersebut.

Maka, mahu tidak mahu, sayangkan anak diturutkan sahaja permintaan, walaupun tahu ada penat dan bebannya.

Bekerja sejak kecil itu mungkin tidak salah tetapi jika melampau sehingga lupa untuk menikmati zaman persekolahan dan kanak-kanak, lebih baik difikirkan semula.

Itu belum lagi Poklip sentuh bab bergaya seperti orang dewasa. Takut kadang-kadang kita tengok ada anak artis yang gayanya kalah orang usia 30-an.

Mereka lupa anak mereka itu kanak-kanak kah?
Apa pun, biarlah pelajaran sama seiring dengan minat.

Ramai sahaja selebriti kita yang bijaksana memegang ijazah yang bukan calang-calang. Ada di antara mereka juga bermula sebagai anak seni di usia muda.

Sebagai contoh Wani Kayrie. Bijak dan berbakat. Cuma itulah, budak-budak sekarang bijak-bijak.

Poklip sendiri bangga dengan anak-anak artis kita, biarpun diulit populariti tetapi tetap bijak pandai!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN