UBER Eats di Jepun memperkenalkan penggunaan robot autonomos yang akan menggalas tugas menghantar pesanan makanan kepada pelanggan di sekitar bandar Tokyo.
Uber mengumumkan rancangan kerjasama strategik dengan firma robotik Cartken dan gergasi perindustrian Jepun, Mitsubishi Electric untuk melancarkan robot penghantar makanan kaki lima autonomus yang akan mula beroperasi bulan ini.
Usaha tersebut menjadikan Jepun sebagai pasaran antarabangsa pertama yang mempunyai penghantaran tersedia di platform Uber Eats.

Jepun sememangnya tidak asing lagi sebagai penyedia perkhidmatan mesin pembantu dalam industri hospitaliti dengan banyak rangkaian restoran popular sudah lama menggunakan pelayan robot.
Robot Model C Cartken akan menghantar makanan dan mengemudi di kaki lima Tokyo, sementara operasinya akan diawasi oleh Mitsubishi Electric menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi penglihatan komputer untuk menavigasi kawasan sekitar bandar itu,
Robot tersebut turut direka khas untuk mengelakkan halangan, memberi laluan kepada pejalan kaki dan berhenti di lampu isyarat.
Peranti berkenaan bergerak pada kelajuan yang hampir sama seperti orang dewasa berjalan kaki dan dilengkapi dengan tong kargo khas untuk memastikan makanan kekal pada suhu sesuai semasa proses pengangkutan.
Model tersebut mempunyai berbilang penderia dan kamera untuk membantu memilih laluan paling selamat serta mengelakkan sebarang pelanggaran.
Syarikat Cartken juga mereka bentuk program yang membolehkan kakitangannya mengawal robot tersebut dari jauh sambil memantau pergerakan dan status penghantaran.
Menurut Uber Eats dan Cartken, kamera yang terdapat pada robot itu secara automatik akan mengaburkan wajah individu berhampiran sepanjang perjalanannya bagi melindungi privasi mereka.
Uber Eats dan Cartken pertama kali bekerjasama untuk melancarkan perkhidmatan penghantaran menggunakan robot autonomi di sekitar Miami pada 2022 sebelum memperluaskannya ke Fairfax, Virginia, tahun lepas.
Jepun yang dicantas oleh Jerman sebagai ekonomi ketiga terbesar dunia, berdepan masalah populasi menua dan kekurangan tenaga kerja yang memberi tekanan besar kepada infrastruktur logistiknya.
Pengurus Besar Pusat Pembangunan Aplikasi Mitsubishi Electric, Shoji Tanaka berkata, perkhidmatan robot penghantar dianggap sebagai langkah berkesan bagi menangani krisis logistik yang dijangka bertambah serius di
Jepun pada masa hadapan.
“Kami berharap inisiatif baharu ini akan menjadi pemangkin kepada penyebaran perkhidmatan robot penghantar di Jepun.
“Pada masa hadapan, kami akan bekerjasama dengan bangunan dan infrastruktur kilang yang merupakan salah satu kekuatan kami bagi memudahkan robot autonomi membuat penghantaran pesanan di pelbagai kemudahan,” jelasnya kepada CNN. – UTUSAN










