SEKURANG-kurangnya seorang kanak-kanak meninggal dunia setiap dua jam di sebuah kem pelarian di Darfur Utara sepanjang tempoh sembilan bulan konflik di Sudan.
Data itu didedahkan oleh badan amal perubatan, Doctors Without Borders (MSF) yang menegaskan situasi itu menyebabkan perkhidmatan kemanusiaan semakin lumpuh.
Sebelum perang tercetus pada pertengahan April lalu, sistem kesihatan di Darfur Utara disokong oleh agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Namun, kini kami mendapati bantuan itu terhenti secara tiba-tiba.
“Apa yang kita saksikan di kem Zamzam adalah situasi kemanusiaan yang benar-benar teruk,” kata ketua tindak balas kecemasan MSF di Sudan, Claire Nicolet.
Badan amal perubatan itu menganggarkan kira-kira 13 kanak-kanak meninggal dunia setiap hari akibat kekurangan zat makanan di kem Zamzam.
“Mereka yang mengalami kekurangan zat makanan teruk dan belum meninggal dunia berisiko tinggi untuk maut dalam tempoh tiga hingga enam minggu jika tidak mendapat rawatan.
“Keadaan mereka masih lagi boleh dirawat sekiranya mengunjungi fasiliti kesihatan, namun ramai yang tidak dapat berbuat demikian,” kata Nicolet.
Ketika ini, MSF merupakan satu-satunya penyedia kesihatan yang beroperasi di kem Zamzam.

Kem Zamzam di Darfur Utara merupakan antara kem pelarian paling besar dan tertua di Sudan.
Dalam pada itu, laporan diterbitkan MSF baru-baru ini turut mendedahkan kakitangan tidak lagi menerima gaji.
“Peralatan perubatan dan ubat-ubatan tidak mencukupi, begitu juga dengan bahan api untuk penjana elektrik, air dan bekalan lain yang diperlukan bagi memastikan fasiliti kesihatan terus beroperasi.
“Malah, program mencegah malnutrisi yang suatu ketika dahulu pernah dilaksanakan di El Fasher kini tiada lagi,” jelas laporan itu.
Tahun lalu, pertempuran sengit antara pasukan separa tentera, Rapid Support Forces (RSF) dan tentera Sudan meletus sehingga menjadi perang besar-besaran.
Agensi PBB mengesahkan pertempuran itu mengakibatkan kira-kira 10.7 juta penduduk kehilangan tempat tinggal, manakala 17.7 juta lagi kini menghadapi kebuluran teruk.
“Biasanya, malnutrisi berada pada tahap paling rendah semasa bulan Januari.
“Ini kerana stok makanan penuh selepas musim menuai pada Disember.
“Namun, disebabkan peperangan, penduduk tidak dapat menjaga tanaman masing-masing,” jelas laporan itu.
Selain konflik, cuaca buruk termasuk taburan hujan yang lebih rendah memburukkan lagi krisis kemanusiaan di rantau itu.
Sebelum ini, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran sekurang-kurangnya 700,000 kanak-kanak di Sudan berkemungkinan mengalami malnutrisi yang teruk tahun ini, dengan puluhan ribu lagi dijangka terkorban.
Jurucakap UNICEF, James Elder menjelaskan bentuk malnutrisi paling berbahaya adalah malnutrisi akut teruk yang menyebabkan kanak-kanak lebih berisiko maut akibat penyakit seperti taun dan malaria.
Katanya, kira-kira 3.5 juta kanak-kanak dijangka mengalami malnutrisi akut teruk. – UTUSAN











