Sisa vape seberat enam Menara Eiffel dibuang setiap tahun - Utusan Malaysia

Sisa vape seberat enam Menara Eiffel dibuang setiap tahun

VAPE pakai buang yang dijual di sebuah kedai di Liverpool, barat laut England. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KIRA-kira 844 juta rokok elektronik atau vape dibuang oleh rakyat di seluruh dunia pada setiap tahun. Jumlah itu dikatakan bersamaan dengan berat kira-kira enam bangunan mercu tanda terkenal Perancis, Menara Eiffel.
Lapor Daily Mail, peranti tersebut membentuk sebahagian lambakan sisa elektrik atau e-waste yang ‘tidak kelihatan’ dilupuskan setiap tahun. Ini termasuk mainan elektronik, kabel pengecasan, tetikus komputer dan fon kepala.
Sisa buangan itu digelar ‘halimunan’ kerana penduduk secara tidak sengaja membuangnya ke dalam tong sampah.
Namun, menurut Institut Latihan dan Penyelidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), barangan itu mengandungi logam berharga seperti litium dan tembaga. Malah, ia juga merupakan bahan mentah untuk menghasilkan kenderaan elektrik, turbin angin dan bateri.
Sekitar sembilan juta tan sisa elektronik yang ‘tidak kelihatan’ dibuang di seluruh dunia setiap tahun.
Berdasarkan pengiraan, kira-kira 1.8 bilion papan kekunci dan tetikus komputer, 910 juta alat kawalan jauh dan fon kepala serta 3.2 bilion mainan elektronik dilupuskan sebagai sisa elektronik.
Jumlah vape yang dibuang berkemungkinan lebih besar berbanding anggaran dihitung oleh PBB berdasarkan data tahun 2020. Penggunaan rokok elektronik semakin berkembang pesat di seluruh dunia.
Kajian terbaharu diterbitkan oleh Material Focus mendapati di United Kingdom (UK) sahaja, jumlah vape yang dibuang setiap tahun meningkat empat kali ganda pada 2023 berbanding tahun lalu yang mencecah lima juta seminggu.
Fasiliti kitar semula untuk peranti vape tidak mencukupi, malah majlis perbandaran memberi amaran bahawa alat yang dibuang itu boleh mencetuskan kebakaran.
Kerajaan UK ketika ini sedang mengkaji semula peraturan semasa bagi memastikan industri vape membantu membiayai pengumpulan dan pelupusan produk terbuang mereka.
Selain vape, kajian itu juga mendapati sebanyak 950 juta kilogram (kg) kabel yang mengandungi tembaga berharga dan mudah dikitar semula dilupuskan tahun lalu.
Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk majlis perbandaran di England dan Wales menggesa UK mengharamkan penjualan vape pakai buang menjelang 2024 bagi melindungi alam sekitar.
Persatuan Kerajaan Tempatan (LGA) berpandangan larangan itu perlu dikuatkuasa segera memandangkan Kesatuan Eropah (EU) sudah mengesyorkan larangan sama pada 2026 serta Perancis pada Disember tahun ini.
Menurut LGA, kira-kira 1.3 juta vape pakai buang dilupuskan setiap minggu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya