TERKINI: Mangsa gempa bumi Turkiye minta 'tolong' melalui media sosial - Utusan Malaysia

TERKINI: Mangsa gempa bumi Turkiye minta ‘tolong’ melalui media sosial

turkiye
KERJA-kerja menyelamat besar-besaran sedang dijalankan selepas gempa besar melanda wilayah itu. -ANADOLU AGENCY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HATAY: Penduduk Turkiye yang terperangkap dalam runtuhan bangunan akibat dua gempa bumi kuat kelmarin meminta pertolongan menerusi media sosial.

Lapor Al Jazeera, mereka dikatakan membuat siaran langsung menerusi Instagram, Facebook, malah TikTok serta memuat naik keadaan terkini mereka dari semasa ke semasa.

Tindakan itu bagaimanapun meruntun hati pengguna media sosial yang tidak mampu berbuat apa-apa melainkan memberi kata-kata semangat.

Firat Yayla, seorang YouTuber yang dikenali sebagai Charmquell adalah salah seorang daripada mereka.

Dia berkata dalam video yang disiarkan dalam Instagram Stories semalam, selepas gempa bumi pertama, dia tersepit di bawah runtuhan di daerah Antakya di tengah wilayah Hatay dan merayu pengikutnya supaya menyelamatkannya.

“Kawan, kita terperangkap di bawah gempa bumi,” katanya dalam rakaman video di ruang gelap.

“Ibu! awak okay tak? Ibu! Beritahu saya anda berada di suatu tempat. Tolong! bantu!” tambahnya sebelum menamatkan video dan memberi alamat rumahnya.

Kemudian, Firat mengemas kini Instagramnya dengan mengatakan dirinya sudah diselamatkan, tetapi ibunya masih kekal di bawah konkrit.

Isnin lalu, gempa bumi kuat melanda tenggara Turkiye pada pukul 4:17 pagi (waktu tempatan) di kedalaman kira-kira 18 kilometer berhampiran bandar Gaziantep di Turkiye yang menempatkan kira-kira dua juta orang, kata Kajian Geologi AS.

Gempa bumi kedua dilaporkan berlaku pada pukul 1.24 petang (waktu tempatan) di daerah Elbistan, wilayah Kahramanmaras, Turkiye.

Seorang lagi lelaki muda dalam video lain yang terperangkap di bawah serpihan di daerah Iskenderun di Hatay turut berkongsi alamatnya dan berkata, “Jika kamu mengasihi Tuhanmu, sila datang dan selamatkan kami.”

Video itu dikongsi secara meluas di Twitter.

Hatay adalah salah satu wilayah Turki yang paling teruk dilanda bencana itu.

Lapangan terbang di daerah itu juga rosak dan ditutup, menjadikannya lebih sukar untuk pasukan bantuan dan penyelamat untuk sampai ke bandar yang sudah musnah.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turki (AFAD) berkata, sebanyak 5,775 bangunan musnah dalam gempa bumi itu dan lebih 20,400 orang cedera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya