Britain mahu bantu Ukraine

Britain mahu bantu Ukraine

GAMBAR ini menunjukkan kenderaan yang remuk dan bangunan yang musnah dibedil peluru berpandu di Dnipro, Sabtu lalu.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Britain akan menghantar 14 kereta kebal Challenger 2 ke Ukraine, didakwa menjadi negara barat pertama yang membekalkan kereta kebal ke negara itu.

Negara itu juga dikatakan akan menghantar kira-kira 30 senjata besar bergerak sendiri AS90 yang dikendalikan oleh lima penembak.

Perdana Menterinya, Rishi Sunak berikrar untuk menyediakan bantuan itu serbagai tanda amaran pihaknya kepada Russia yang dilihat hanya meningkatkan konflik.

Sunak berkata, kereta kebal itu adalah sebagai tanda United Kingdom (UK)meningkatkan sokongan kepada Ukraine, menurutnya menerusi satu panggilan telefon dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.

Setakat ini, sekutu-sekutu Eropah Ukraine dikatakan mahu menghantar lebih 300 kereta kebal Soviet moden sejak Rusia menyerang negara itu pada Februari tahun lalu, namun, semua penghantaran itu tertangguh. 

Bagaimanapun, Kedutaan Russia di UK berkata, membawa kereta kebal ke zon konflik sebenarnya jauh daripada menutup permusuhan sebaliknya hanya meningkatkan operasi pertempuran selain menjana lebih banyak korban, termasuk dalam kalangan penduduk awam.

Zelensky menerusi ciapan Twitter bagaimanapun mengucap terima kasih kepada UK kerana membuat keputusan yang bukan sahaja akan menguatkan pihaknya di medan perang, tetapi juga menghantar isyarat yang betul kepada pihak-pihak lain terutamanya Russia.

KERUGIAN BESAR

Dikatakan tentera Ukraine mengalami kerugian besar dalam pertempuran di Soledar dan Bakhmut sejak kebelakangan ini dan kerajaan mereka menyeru agar sekutu negara itu memberikan lebih sokongan.

Malah, Russia mendakwa tenteranya berjaya merampas bandar Soledar di timur Ukraine, tuntutan pertama kemenangan mereka dalam beberapa bulan di medan perang pada tahun lalu walaupun Ukraine berkata pertempuran sengit masih berlangsung.

“Untuk memenangi perang ini, kami memerlukan lebih banyak peralatan ketenteraan, peralatan berat,” kata Ketua Pejabat Presiden Ukraine, Andriy Yermak. 

Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba pula berkata, beliau sudah berbincang dengan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken selain menekankan keperluan untuk Ukraine menerima kereta kebal dari barat.

TIBA BEBERAPA MINGGU LAGI

Dalam pada itu, kenyataan kedua dari Pejabat Downing Street, London di sini berkata, kereta kebal itu akan tiba di Ukraine dalam beberapa minggu akan datang.

Kata jurucakap pejabat itu, UK juga akan mula melatih angkatan bersenjata Ukraine untuk menggunakan kereta kebal dan senjata api dalam beberapa hari akan datang.

“Ketika rakyat Ukraine menghampiri tahun kedua mereka hidup di bawah pengeboman tanpa henti Rusia, Perdana Menteri berdedikasi untuk memastikan Ukraine memenangi perang ini.

“Perdana Menteri jelas bahawa perang yang panjang dan statik hanya memenuhi matlamat Russia. Itulah sebabnya beliau dan menterinya akan bercakap dengan sekutu kita di seluruh dunia pada hari-hari dan minggu-minggu mendatang untuk meningkatkan tekanan ke atas Presiden Russia, Vladimir Putin dan menjamin masa depan yang lebih baik untuk Ukraine,” kata jurucakap berkenaan.

Isu kereta kebal berat sudah lama menjadi isu penting untuk Kyiv dan ramai pakar melihat menyediakan Ukraine dengan kereta kebal moden sebagai blok pembinaan penting dalam keupayaannya untuk menang menentang Russia.

Jerman juga menjadi sebuah negara yang teragak-agak untuk membekalkan kereta kebal berat kepada Ukraine.

Negara itu dikatakan hanya menghantar artileri mudah alih dan pertahanan udara yang kuat, tetapi, masih bimbang dengan peningkatan serangan di Ukraine.

SELURUH UKRAINE BERGELAP

Sabtu lalu, Russia terus melancarkan serangan peluru berpandu baru ke sasaran di seluruh Ukraine, membunuh sekurang-kurangnya 20 orang di bandar timur-tengah Dnipro dan mengganggu bekalan kuasa di wilayah Kyiv dan Kharkiv, menurut pegawai.

Menurut laporan Al Jazeera, serangan pada hari Sabtu itu menghancurkan blok apartmen sembilan tingkat di Dnipro.

Turut dicatatkan kematian seorang gadis berusia 15 tahun dan seramai 64 yang lain turut cedera.

‘Tragedi!. Saya pergi ke tapak… kami akan melalui runtuhan sepanjang malam,” kata Datuk Bandar pembuat roket di Sungai Dnieper, Borys Filatov.

Gambar dari tempat kejadian menunjukkan anggota bomba memadamkan kebakaran di sekitar bangkai beberapa kereta di Dnipro. 

Sebahagian besar blok apartmen itu hilang, manakala bahagian luar bangunan lain rosak teruk.

Penduduk yang terperangkap memberi isyarat mengenai lokasi mereka di bawah serpihan runtuhan bangunan menerusi cahaya telefon bimbit mereka, menurut laporan media Ukraine.

“Mereka terus menghantar mesej pesanan ringkas (SMS),” 

“Kami menghentikan kerja kami sekarang dan kemudian untuk berdiam diri dan kami mendengar orang menjerit dari bawah runtuhan.” Timbalan Datuk Vandar Dnipro, Mikhailo Lysenko dalam video media sosial. 

Gabenor wilayah Valentyn Reznichenko pula berkata, tujuh kanak-kanak adalah antara tercedera dan yang paling muda berusia tiga tahun.

“Nasib 26 orang masih belum diketahui,” tambahnya.-AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.