Bandar terapung pertama dunia di Korea Selatan - Utusan Malaysia

Bandar terapung pertama dunia di Korea Selatan

ILUSTRASI bandar terapung yang bakal dibina di Korea Selatan. - OCEANIXCITY.COM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOREA  Selatan dilaporkan bakal membina bandar terapung yang pertama di dunia.

Memetik laporan Daily Mail, projek yang mendapat sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, akan dibangunkan di luar pantai wilayah Busan pada tahun 2025.

Bandar terapung itu akan menjadi sebuah `infrastruktur kalis banjir’ yang merangkumi beberapa pulau buatan manusia.

Bandar berkonsepkan moden itu mendapat tenaga elektrik menerusi panel solar yang dipasang atas bangunan selain menghasilkan makanan dan bekalan air sendiri.

Malah, penduduk juga boleh melakukan perjalanan dari satu pulau ke pulau lain menggunakan bot futuristik yang berbentuk pod.

Bandar itu dilaporkan berdaya tahan mendepani bencana alam seperti banjir, tsunami dan taufan kategori lima kerana platform terapungnya dipasak dengan kukuh pada dasar laut. 

Projek pembinaan bandar terapung itu yang dianggarkan bernilai AS$200 juta (RM848 juta) akan dimulakan tidak lama lagi.

Sebelum ini, satu perjanjian dimeterai antara Bandar Metropolitan Busan, PBB-Habitat dan syarikat teknologi dan reka bentuk, Oceanix yang berpangkalan di New York.  

Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada penduduk akan dikenakan bayaran untuk menetap di bandar terapung itu atau berapa kos sewa.

Sementara itu, Oceanix memaklumkan kerja-kerja masih sedang dilakukan untuk menentukan golongan penduduk yang akan tinggal di bandar futuristik itu.   

“Lokasi sebenar prototaip bandar terapung itu juga masih belum ditentukan walaupun pilihan yang mungkin adalah berhampiran Pelabuhan Utara Busan,” jelas Oceanix.

Berdasarkan laporan Business Insider, setiap pulau akan dibina dalam bentuk heksagon dan berasaskan batu kapur yang ketahanannya dua hingga tiga kali lebih kuat berbanding konkrit.

Sangkar di bawah setiap platform pula boleh digunakan untuk menyimpan kerang, rumpai laut atau makanan laut yang lain.

Pembinaan bandar terapung itu juga akan menggunakan bahan-bahan sumber tempatan termasuk buluh yang memiliki enam kali ganda kekuatan tegangan keluli dan jejak karbon negatif.

Jelas Oceanix, semua bangunan di bandar terapung itu akan dibina kurang dari tujuh tingkat bagi mewujudkan pusat graviti rendah dan daya ketahanan terhadap angin kencang.   

Meskipun saiz sebenar masih belum ditentukan namun perkampungan besar seluas 75 hektar di bandar terapung itu dianggarkan boleh menampung lebih 10,000 penduduk. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya