Pang Sek Ngor, wanita pertama bangsa Cina jadi bomba - Utusan Malaysia

Pang Sek Ngor, wanita pertama bangsa Cina jadi bomba

JIWA Pang Sek Ngor sudah sebati sebagai anggota bomba dan penyelamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Terlibat dalam operasi menyelamatkan mangsa kemalangan negeri di Bukit Putus, Kuala Pilah beberapa tahun lalu antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Pegawai Bomba Kanan II, Pang Sek Ngor, 56, sepanjang berkhidmat selama hampir 31 tahun.

Beliau adalah wanita pertama berbangsa Cina yang menyertai pasukan bomba di negara ini. Kini bertugas di Ibu Pejabat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Seremban 2, Seremban.

Malah, Sek Ngor kini satu-satunya wanita berbangsa Cina di Negeri Sembilan yang menjawat jawatan sebagai pegawai bomba.

Berasal dari Klebang Besar, Melaka, anak kedua daripada enam adik-beradik itu pada mulanya bercita-cita mahu menjadi pramugari sejak kecil.

Bagaimanapun, tidak lulus ketika ditemuduga dalam bahasa Inggeris.

“Pada masa itu, umur saya sudah 20 tahun dan ada kawan memaklumkan bahawa ada buka kekosongan jawatan sebagai anggota Bomba dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang iklannya ada di surat khabar Utusan Melayu pada masa itu.

“Saya dan rakan mengambil borang berkenaan di pejabat pos dan memohon jawatan sebagai anggota bomba. Tidak sampai tiga bulan kemudian, saya dipanggil temuduga di Jalan Kubu, Melaka.

Ketika itu, saya menggunakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memohon jawatan berkenaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Seremban baru-baru ini.

PANG Sek Ngor bersama anggota bomba lain ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Bomba, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Ibu kepada tiga cahaya mata ini memaklumkan, ketika ditawarkan jawatan sebagai ahli bomba, keluarganya memberikan sokongan sepenuhnya.

“Saya melapor diri pada 16 Ogos 1990 dan pada waktu itu ibu dan bapa menyokong penuh hasrat saya untuk menyertai bomba. Sebelum itu, saya bekerja di sebuah syarikat elektrik.

“Saya dihantar menjalani kursus selama empat bulan di Pusat Latihan Kuala Kubu Bharu, Selangor dan kemudian dihantar bertugas ke Balai Bomba Seremban, Jalan Rahang,” katanya.

Ketika itu beliau adalah kumpulan pertama wanita menyertai pasukan bomba Malaysia pada 1990.

Bercerita lagi, Sek Ngor berkata, dia ditempatkan selama dua tahun di Unit Pengoperasian dan kini bertugas di bahagian pengurusan operasi selama 10 tahun.

“Sebelum ini, saya juga menyertai operasi seperti menangkap ular dan memadamkan kebakaran.

“Pada masa itu, saya sudah terbayang apa yang dipelajari ketika dalam latihan namun sebenarnya apa yang berlaku sewaktu kebakaran tidak sama, tentunya suasana memadamkan kebakaran dan penyelamatan agak sukar berbanding apa yang dipelajari ketika latihan,” katanya.

 

Sek Ngor ketika bertugas mamadam kebakaran semasa awal penglibatannya dalam bomba.

‘SAYA GEMARKAN CABARAN’

Sementara itu, katanya gemarkan cabaran dan tugasan kental serta lasak antara alasan beliau memilih bomba sebagai kerjaya.

“Saya rasa saya seorang yang tidak boleh bekerja di dalam pejabat dan saya gemar cabaran. Jadi, tidak dinafikan saya amat merindui tugasan bomba di lapangan.

“Apa yang paling dirindui, saya tidak pernah disisihkan rakan lelaki dan bangsa lain. Mereka menganggap saya seperti keluarga sendiri dan bertugas bersama-sama,” katanya. Beliau bakal bersara empat tahun lagi.

Sepanjang bertugas sebagai anggota bomba, katanya dirinya tidak mengalami masalah perbezaan kaum sebaliknya mesra bersama rakan setugas.

“Semasa rekrut, saya tinggal serumah dengan rakan Melayu. Kami masak bersama-sama walaupun bertugas pada syif yang berlainan di Balai Bomba Seremban. Selepas berkahwin baru saya berpindah,” katanya.

Sek Ngor turut bercerita tentang majlis perkahwinannya yang diraikan di Balai Bomba Seremban, Jalan Rahang pada 1995.

“Pada masa itu, ketua balai bomba dan rakan-rakan meraikan perkahwinan saya dan suami, Au Siew Choy, 56. Ada paluan kompang dan diiringi bunga manggar bagi meraikan hari bersejarah kami,” katanya.

Sepanjang perkhidmatannya, dia pernah menerima Anugerah Khidmat Cemerlang pada 2008 dan 2016 selain Pingat Cemerlang Bomba pada 2012 di atas tugasan cemerlang dan komitmennya.

Dia kini aktif turun padang menyampaikan ceramah berkaitan pencegahan kebakaran di Sekolah Rendah Kebangsaan (SJK) Cina sekitar negeri ini dan turut terlibat mengelolakan pertandingan kawad serta acara sukan seperti olahraga dan badminton.

 

Selain tugasan pejabat, Pang Sek Ngor kini aktif menyampaikan ceramah berkaitan pencegahan kebakaran di SJK Cina sekitar Seremban.

Sek Ngor dalam pada itu menasihatkan golongan wanita yang berminat untuk menyertai pasukan bomba agar bersedia dengan pelbagai cabaran.

“Saya bukan nak menakutkan tetapi mereka yang berminat dan sanggup menerima cabaran boleh menyertai pasukan bomba. Bagi saya, memasuki pasukan ini bukan sahaja memadamkan kebakaran namun boleh memasuki mana-mana unit.

“Jika dahulu ada yang beritahu, tugasan bomba sekadar memadamkan api namun kini skop tugasannya lebih luas termasuk dalam menyelamatkan haiwan dan sebagainya,” katanya.

Ditanya perancangan selepas bersara kelak, dia memberitahu berminat menyertai mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyampaikan kesedaran dan maklumat kepada orang ramai tentang pencegahan kebakaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×