SIAPA sangka, penglibatan secara suka-suka dalam pembuatan tanjak bagi edisi merdeka kira-kira tujuh tahun lalu membawa limpahan rezeki buat pasangan suami isteri ini.
Kreativiti dan keaslian ditonjolkan Yusfadzizi Yusof , 43, dan Shuhada Sulaiman, 43, menjadikan tanjak sentuhan mereka istimewa.
Bermula daripada perniagaan kecil-kecilan di rumah, mereka akhirnya membuka premis, Tanjak by Iman di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di ibu kota.
Shuhada berkata, pemakaian tanjak mula popular pada 2017, tetapi trend itu kembali melonjak sejak dua tahun lalu.
Malah, semasa perarakan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka pada 2022, lebih 500 tanjak merdeka keluarannya laris terjual.
Katanya, di peringkat permulaan, kebanyakan tempahan dibuat pihak sekolah dan kenalan rapat.
Lama-kelamaan jumlah pelanggannya bertambah meliputi jabatan kerajaan dan swasta bagi digunakan untuk perarakan Hari Kebangsaan.
“Ia bermula apabila kami membuat tanjak untuk anak sulung, Iman Mohammad Danish ketika sambutan kemerdekaan di sekolahnya.
“Cikgu-cikgu tertarik dengan rekaan tanjak merdeka lantas menempah 30 buah dan sejak itu kami tidak putus terima tempahan.
“Akhirnya kami nekad berhenti kerja dan fokus sepenuhnya pada perniagaan tanjak,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Biarpun tiada asas formal dalam seni pembuatan hiasan kepala itu, tetapi dek kerana minat, mereka berusaha berguru dengan ramai tukang karang berpengalaman.
Menurut Shuhada, tanjak merdeka dihasilkan dengan menggunakan fabrik bermotifkan Jalur Gemilang. Sesetengah motif itu turut direka khas berdasarkan permintaan pelanggan.
Manakala, daripada segi rekaan pula, terdapat 20 hingga 30 karangan disediakan di samping simpulan berbeza.
“Tahun ini, kita mengeluarkan lebih 200 buah tanjak merdeka dan berdasarkan rekod terdahulu, jualan biasanya rancak menjelang 31 Ogos,” katanya.
Selain laris ketika sambutan kemerdekaan, tanjak turut menjadi pilihan lelaki pada musim perayaan.
SIMPULAN BOLEH LARAS
Bagi memastikan tanjak keluarannya berbeza dan unik, Shuhada turut membuat beberapa inovasi pada hiasan kepala warisan Melayu itu.
Antaranya ialah simpulan yang boleh dilaras mengikut ukur lilit kepala dan keselesaan.
Dia juga mengambil pendekatan menghasilkan material khas bagi memastikan tanjak terletak elok.
“Orang dulu-dulu biasanya merendam kain dalam kanji supaya ia keras di samping menggunakan buluh lidi.
“Seiring perkembangan zaman, kami cuba berinovasi dengan menghasilkan fabrik dilengkapi material pengeras,” katanya.
Bahan lain yang digunakan ialah dawai yang berfungsi untuk memberi sokongan pada tanjak agar tahan lebih lama.
Jelas Shuhada, proses pembuatan tanjaknya adalah 100 peratus buatan tangan di kilang mereka terletak di Prima Damansara.
Baginya, mengarang atau melipat tanjak tidak mengambil masa lama dengan paling cepat boleh disiapkan kurang daripada 10 minit.
Manakala paling susah adalah untuk mengarang getam budu yang merupakan identiti di negeri Cik Siti Wan Kembang. Rekaan itu menampilkan lipatan berbentuk bunga di bahagian hadapan sekali gus membezakannya dengan tanjak di negeri lain.
Selain menjadi tanjak rasmi Sultan Kelantan, getam budu turut digunakan oleh semua kerabat diraja dan pembesar negeri.
Antara lipatan lain ialah menyusur angin, dendam tak sudah, dendam layar, balong raja, putra julang darjat, naga berlabuh dan mahkota alam.

RAMAI TIDAK TAHU TERTIB, ADAB
Di sebalik keghairahan masyarakat menggayakan tanjak, masih ramai yang tidak tahu cara pemakaian tepat.
Kata Shuhada, bagi golongan biasa, simpulan atau ikatan tanjak perlu berada di telinga kanan dan bukan di belakang kepala.
“Kami seronok tengok anak muda sudah tidak takut bertanjak di tempat umum tetapi kadang-kala timbul rasa sakit hati kerana ia dipakai secara salah.
“Sebab itu kami tidak menjual dalam talian kerana mahu pelanggan datang ke kedai bagi membolehkan perkongsian ilmu tentang tertib pemakaian yang betul,” katanya.
Tanjak bermaksud tanah yang dipijak dan bersesuaian dengan namanya, terdapat beberapa pantang-larang atau tertib perlu dipatuhi pembuat serta pemakainya.
Suami isteri ini memutuskan untuk tidak menghasilkan tanjak yang menyerupai kerabat diraja.
Justeru, mereka mengelak penggunaan fabrik berwarna putih gading dan kuning yang sinonim dengan golongan istana.
Di samping itu, mereka juga tidak menjual hiasan kepala tersebut kepada bangsa-bangsa lain. Tanjak adalah ‘mahkota’ orang Melayu justeru hanya boleh dipakai oleh bangsa Melayu.
“Kami pernah ditawarkan harga tinggi oleh pelancong asing tetapi menolaknya secara baik.
“Kami bimbang ia disalah guna, dihina atau diperlekehkan kerana ia adalah warisan Melayu yang tinggi martabatnya seiring namanya iaitu tanah dipijak,” tegasnya.
Di zaman lampau, tanjak melambangkan pangkat, status atau darjat si pemakainya berdasarkan teknik karangan atau bentuk.
HARGA MAMPU MILIK
Memastikan penggunaannya meluas dalam kalangan masyarakat, Yusfadzizi menawarkan harga mampu milik kepada pelanggannya.
“Dahulu, akses kepada pemakaian tanjak sangat susah termasuk kosnya mahal tetapi kami cuba buat yang terbaik untuk menggalakkan budaya bertanjak.
“Kami mahu orang Melayu tanpa mengira lapisan usia atau latar belakang seronok memakainya dan menyayangi budaya turun-temurun kita.
“Tidak keterlaluan dikatakan harga tanjak kami adalah yang termurah di Kuala Lumpur, ketika ini,” katanya.
Trend bertanjak kini tidak memerlukan lelaki tampil dalam busana tradisi semata-mata, sebaliknya boleh digayakan secara kasual atau santai dengan baju T, kemeja termasuk batik dan seluar jeans.
“Tiada masalah jika mahu dipakai bersama baju T untuk aktiviti jalan-jalan dan sebagainya, kerana secara tidak langsung dapat mempromosikan dan membudayakan tanjak.
“Tetapi, jangan pula dipakai dengan seluar pendek kerana nampak kurang sopan dan si pemakai perlu sentiasa menjaga tingkah-laku ketika menggayakannya,” katanya.











