Misteri penumpang larut malam - Utusan Malaysia

Misteri penumpang larut malam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AKU melangkah perlahan menaiki anak tangga sambil mata memandang ke arah tiket yang dipegang. Nampaknya nombor kerusi bas yang ku naiki agak jauh ke belakang. Aku mengeluh perlahan. Fikirku jika tidak ramai penumpang nanti bolehlah aku menukar tempat duduk di hadapan kerana melalui pengalaman sebelum ini biasanya penumpang tidak akan penuh pada waktu terakhir perjalanan.
Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 10.56 minit malam, mungkin dalam beberapa minit lagi bas akan bergerak. Mataku melilau memandang ke arah deretan kerusi di hadapan. Nampak banyak yang kosong. Rasanya tak sampai 10 orang yang menaiki bas pada malam itu.
Aku rebahkan sedikit kerusi yang ku duduk. Rasa lega sedikit. Aku selak langsir dan jeling ke luar tingkap. Nampak beberapa buah bas sudah bergerak perlahan-lahan meninggalkan platform. Aku alihkan kepala untuk lebih selesa sebelum pejamkan mata.
Entah berapa lama terlelap aku pun tak perasan. Namun sebaik sahaja mata terbuka, bas yang ku naiki sudah berada di lebuh raya. Rasanya jika tiada aral melintang mungkin dalam enam jam lagi aku akan sampai ke kampung.
Sebenarnya tujuan aku pulang ini bukanlah ada perkara penting, cuma kebetulan bila ada cuti panjang begini aku lebih selesa habiskan masa bersama keluarga di kampung. Maklumlah, jadual sebagai pelajar sepertiku memang sentiasa padat, bila kelas bermula akan sibuk sepanjang masa.
Tiba-tiba aku tersentak. Sebaik sahaja aku berpaling ke arah kerusi di barisan sebelah kelihatan seorang wanita sedang duduk sambil memalingkan wajahnya ke arah tingkap. Fikirku mungkin wanita tersebut naik lewat sebelum bas bergerak tadi kerana sebelum aku lelapkan mata rasanya tiada sesiapa di kerusi itu.
Tanpa disangka wanita tersebut tiba-tiba berpaling ke arahku. Kami lantas bertentang mata. Aku kaget. Nasib baiklah dia melemparkan senyuman, jika tidak malu juga rasanya. Takut pula kalau dia sangka aku mencuri pandang ke arahnya.
Aku membalas senyumannya.
“Nak balik ke Pantai Timur juga ke?” Tanyaku sambil tersengih.
Wanita tersebut menganggukkan kepala. Walaupun tidak menjawab pertanyaanku namun senyumannya sudah cukup membuatkan hatiku lega.
“Encik hendak ke Pantai Timur juga ke?” Tanyanya semula ke arahku.
Aku mengangguk. Nampaknya peluang untuk bersembang dengannya semakin cerah. Fikirku dari mengelamun kosong boleh jugalah aku habiskan masa bersem­bang. Sekurang-kurangnya hilanglah juga rasa bosan.
Wanita tersebut mem­perkenalkan namanya sebagai Rohayu. Katanya, dia tinggal dan bekerja di Shah Alam dan pulang ke kampung kerana ada urusan keluarga. Selebihnya aku tidak bertanya lanjut. Fikirku pastinya dia masih bujang lagi, jika tidak pasti dia sudah bercerita perihal keluarganya.
Dari sapaan dan bertanya khabar akhirnya kami berbual rancak. Pelbagai cerita kami kongsikan terutamanya hal melibatkan kampung halaman. Dari raut wajah dan lenggok perbualannya aku dapat rasakan yang usianya mungkin sekitar 30-an. Namun tidak pula aku bertanya tentang status dan usianya, maklumlah orang perempuan ini bab usia memang sensitif.
Namun yang membuatkan aku tidak selesa dengannya adalah pewangi yang dipakainya. Baunya cukup menusuk rongga hidung. Bau seperti bunga cempaka. Sudahlah keadaan bas tersebut yang terhoyong hayang, kini ditambah pula dengan bau tersebut, sekali gus cukup meme­ningkan kepalaku.
Bila bau itu menusuk ke rongga hidung, serta merta ingatanku menerjah pada sepohon bunga cempaka yang berdekatan dengan rumahku di kampung. Setiap malam baunya pasti semerbak sehingga masuk ke dalam rumah.
Kata kawan-kawanku pula kalau waktu malam jangan sesekali cuba intai atau buat perkara tak elok di pokok bunga cempaka ini kerana ada banyak benda lain yang ‘menumpang’ di situ. Entahlah, aku pun tak pernah terjumpa apa-apa mencurigakan, namun yang pasti setiap kali tercium bau bunga itu serta merta bulu romaku berdiri tegak. Terasa seperti ada sesuatu yang menyeramkan di situ.
“Okey, kita dah sampai Karak. Kalau ada sesiapa nak pergi buang air atau beli minuman boleh turun. Kita berhenti 15 minit ye,” jerit pemandu bas tersebut dari arah hadapan.
Aku tersentak. Terus terfikir untuk turun seketika untuk meregangkan urat-urat yang tersimpul.
“Cik Ayu tak nak turun?” Tanyaku kepadanya.
Dia sekadar menggelengkan kepala sambil tersenyum. Melalui jarak yang sedikit hampir itu barulah aku dapat lihat raut wajahnya dengan jelas. Nampak seperti ada kesan parut panjang di sebelah kanan keningnya.
Selepas meminta diri aku turun dari bas dan menuju ke kedai serbaneka di stesen minyak tempat kami berhenti itu. Sengaja aku beli dua kotak minuman dan beberapa bungkus makanan ringan. Fikirku nanti bolehlah aku berikan kepadanya.
Setelah membayar harga di kaunter, aku bergegas naik ke dalam bas. Aku lihat pemandu dan beberapa penumpang semua sudah berada di kerusi masing-masing. Dan sebaik sampai di kerusi aku terkejut, wanita yang tadinya berada di kerusi berhampiranku kini telah tiada. Aku tinjau ke arah belakang dan luar tingkap. Tidak nampak sesiapa di situ.
“Okey, semua dah naik ye, ada yang tertinggal lagi ke? Saya nak jalan dah ni,” jerit pemandu.
Aku tergamam. Dengan pantas aku meletakkan bungkusan makanan dan minuman di kerusi sambil melangkah laju ke hadapan.
“Bang… bang… sekejap. Ada seorang wanita di kerusi sebelah saya ini tak naik lagi,” kataku.
Serta merta pemandu bas tersebut memberhentikan bas. Dia membuka lampu sambil berdiri meninjau ke arah belakang.
“Satu… dua… tiga…,” mukanya berkerut sambil jari-jemarinya mengira ke arah penumpang yang berada di kerusi ketika itu.
“Eh, semua dah cukup. Siapa lagi tertinggal?” Tanyanya kepadaku.
Lantas aku memberitahu tentang wanita tersebut, di mana dia masih berada di kerusi ketika aku turun sebentar tadi.
“Malam ini hanya ada 11 penumpang yang naik bas ni. Kalau tak percaya ini listnya. Nombor tiket dan kerusi pun ada sekali,” kata pemandu tersebut sambil menghulurkan sehelai kertas ke arahku.
Aku menyambut kertas di tangannya. Aku teliti senarai nama tertera di situ. Benar, memang ada 11 penumpang. Dan nombor kerusi yang diduduki oleh wanita tadi sebenarnya kosong tanpa penumpang.
Semua penumpang yang berada di dalam bas tersebut melihatku dengan penuh tanda tanya. Dari raut wajah mereka aku dapat rasakan mereka juga tertanya-tanya tentang apa yang berlaku. Tanpa berlengah aku terus menuju ke kerusi di belakang sambil mengambil barang-barang dan beg yang dibawa. Ketika itu aku nekad ingin berpindah ke kerusi di hadapan. Entah kenapa aku dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena ketika itu.
Sepanjang perjalanan aku tidak dapat melelapkan mata. Apa yang berlaku tadi sudah cukup menghantuiku. Sesekali mata menoleh liar ke arah belakang. Masih nampak kosong tanpa seorang penumpang.
Namun apa yang membuatkan bulu romaku berdiri tegak apabila hidung dapat menangkap bau haruman bunga cempaka. Bau yang cukup sinonim dengan wanita tadi… – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.