‘Kenapa Anjang Usop tak keruan?’ - Utusan Malaysia

‘Kenapa Anjang Usop tak keruan?’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penduduk Kampung Seberang dikejutkan dengan berita kematian Anjang Usop yang dikatakan meninggal dunia secara tiba-tiba. Ramai berasa pelik kerana sebelum ini arwah sihat walafiat dan menjalani rutin harian seperti biasa. Pelbagai andaian dan khabar angin mula bertiup kencang kononnya kematian arwah ada kena mengena dengan kerjanya sebagai bomoh. Kata mereka Anjang Usop ada ‘membela’ sesuatu, sebab itulah kematiannya menjadi misteri.
Saya pula langsung tidak ambil kisah, bagi saya apa yang berlaku adalah ketentuan ilahi.
Mengikut cerita yang saya dengar Anjang Usop menghembuskan nafas terakhirnya di bilik rawatannya. Kata isterinya, sebelum kejadian dia mendengar bunyi hiruk pikuk seperti orang bergaduh di bilik tersebut dan sebaik sahaja dia menjengah masuk dilihatnya Anjang Usop sudah terbaring di lantai tidak bernyawa.
Rata-rata mereka yang menyaksikan mayat Anjang Usop semuanya beristighfar panjang. Kata mereka keadaannya cukup sadis. Mata arwah terbeliak, mulutnya ternganga serta lidahnya terjelir keluar. Tak dapat saya hendak bayangkan keadaannya jika benarlah seperti apa yang mereka diceritakan.
Ketika hayatnya Anjang Usop memang jarang bercampur dengan orang kampung. Dia banyak menghabiskan masa sendirian di kebun atau mengubat orang sahaja. Pelanggannya pula bukan hanya terdiri daripada orang kampung, malah ada yang datang jauh dari serata pelosok negeri.
Seperkara lagi yang sering menjadi buah mulut orang kampung, dia langsung tidak ke masjid atau surau. Isterinya, Wan Semah sudah letih beri nasihat, ibarat seperti mencurah air ke daun keladi. Langsung tiada kesan. Nasib baiklah Wan Semah tidak begitu, jadi sedikit sebanyak kebaikannya di kampung itu berjaya menutup kekurangan suaminya.
Alhamdulillah, pengebumian arwah berjalan lancar tanpa kesulitan. Ramai juga penduduk kampung menghantarnya ke tanah perkuburan walaupun semasa hayatnya arwah kurang bercampur. Namun itu bukanlah alasan untuk mereka tidak turut sama membantu.
Tetapi setelah seminggu arwah disemadikan, timbul pula cerita kurang enak. Cerita tentang jelmaan arwah Anjang Usop pulang ke rumah. Pada mulanya ramai tidak percaya, tapi isteri arwah mengesahkannya sehinggakan dia mengadu sudah tidak tahan lagi diganggu. Sudahnya, dia terpaksa membawa anak-anaknya menumpang di rumah adiknya di kampung sebelah.
Sejak kecoh cerita itu, penduduk kampung tidak berani keluar malam. Jika ada pun hanya beberapa penduduk yang datang berjemaah di surau berdekatan. Itu pun selepas Isyak semua pulang ke rumah. Anak-anak muda yang sebelum ini melepak hingga ke pagi di warung Wak Saman pun sudah tak nampak batang hidung.
Malam itu cuaca cukup baik. Bulan mengambang penuh menerangi persekitaran kampung Seberang. Rahmat melihat jam di telefon bimbitnya. Sudah hampir 12 tengah malam. Dia mengeluh perlahan. Menyesal pula rasanya dia pulang ke kampung malam buta begini, sudahnya terpaksa menapak jauh untuk sampai ke rumah. Kebiasaannya jika sampai lewat, pasti dia akan singgah di warung Wak Saman di tepi jalan besar. Di situ nanti bolehlah dia tumpang rakan-rakannya kerana rumahnya jauh hampir 500 meter ke dalam, tapi malam ini warung Wak Saman tutup pula, jadi terpaksalah dia menapak seorang diri.
Persekitaran malam itu cukup sunyi. Rahmat laju mengatur langkah. Entah kenapa dia berasa tidak keruan. Bulu tengkuknya tiba-tiba berdiri tegak. Dalam samar cahaya bulan tiba-tiba dia perasan ada seorang lelaki sedang berjalan perlahan di hadapannya. Dia kecilkan mata cuba amati siapa sosok di hadapannya ketika itu. Tiba-tiba dia menarik nafas…
“Assalamualaikum Tok? Laa, saya ingat siapalah tadi berjalan seorang diri tengah-tengah malam ini,” katanya sambil tertawa kecil. Sosok di hadapannya menoleh tanpa reaksi. Langkahnya nampak tergesa-gesa seakan ingin segera sampai ke tempat dituju.
“Tok nak ke mana ni? Laju semacam saja. Nak pergi mengubat orang ke?” tanya Rahmat. Sekali lagi lelaki tua itu tidak menjawab. Matanya masih lagi tepat memandang ke depan. Rahmat garu kepala yang tak gatal. Dalam hatinya tertanya-tanya. Dalam samar cahaya bulan Rahmat dapat melihat jelas lelaki itu. Wajahnya pucat dan sesekali matanya liar memandang sekeliling. Hampir lima minit jalan beriringan, namun dia masih tidak mengeluarkan sepatah kata. Rahmat fikir mungkin ada hal yang difikirkan oleh lelaki itu sehinggakan tiada masa untuk dia menjawab pertanyaannya.
“Oklah tok, saya dah nak sampai rumah. Jumpa lagi ye, assalamualaikum?” kata Rahmat sebaik melangkah masuk ke lorong rumahnya.
Lelaki itu hanya merengus perlahan. Dia langsung tidak berpaling malah jauh sekali menyahut salam. Kelibatnya hilang ditelan gelap malam.
“Assalamualaikum…mak… ayah,” laung Rahmat dari halaman rumah. Tidak lama kemudian terdengar bunyi pintu dikuak. Kelihatan ayahnya muncul dari muka pintu.
“Waalaikumsalam…laa, kamu ke Rahmat? Kenapalah tak beritahu nak balik hari ni. Kalau tidak boleh ayah tunggu dekat jalan luar tadi,” kata ayahnya. Rahmat hanya tersenyum. Memang sengaja dia tidak mahu memberitahu tentang kepulangannya malam itu. Dia tidak mahu menyusahkan ayahnya.
“Tak apalah yah, lagipun bukannya jauh sangat nak berjalan kaki pun,” katanya sambil membuka kasut.
“Kenapa balik tak beritahu? Kalau tak, mak panaskan makanan tadi,” kata ibunya sambil menuruni tangga. Rahmat menghulurkan tangan bersalaman dengan kedua orang tuanya.
“Eh, tadi masa berjalan pulang saya terserempak dengan Anjang Usop. Saya tengok dia macam tak keruan. Saya tanya langsung dia tak jawab. Dia okey ke mak?” tanya Rahmat ke arah ibunya, Mek Besah. Serta merta wajah Mek Besah bertukar kaget. Seraya dia berpaling ke arah suaminya yang berada di situ. Mereka berpandangan tanpa kata.
“Betul ke kau jumpa Anjang Usop tadi Mat?” tanya ayahnya inginkan kepastian.
“Betullah yah. Takkanlah saya reka cerita pula. Macam-macam saya tanya tapi langsung dia tak jawab. Muka pun masam mencuka saja,” kata Rahmat.
Ayahnya hela nafas panjang.
“Kalau kau nak tahu Anjang Usop sudah meninggal dunia minggu lepas,” kata ayahnya.
Rahmat terdiam. Bergegas dia masuk ke dalam rumah sambil beristighfar panjang. Entah kenapa jantungnya berdebar kencang. Ingatannya terus terarah kepada wajah Anjang Usop yang baru ditemuinya tadi. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya