Siapa yang kami jumpa itu? - Utusan Malaysia

Siapa yang kami jumpa itu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di kampung saya ada seorang teman rapat bernama Hilmi. Kami memang akrab apatah lagi usia sebaya dan belajar dalam kelas yang sama. Saya cukup mengenali keluarga Hilmi kerana sering bertandang ke rumah mereka, apatah lagi jarak kediaman kami tidaklah jauh mana.
Keluarga Hilmi juga sudah biasa dengan saya. Bukan setakat makan minum di rumahnya, malah ada kalanya saya juga bermalam di rumah mereka. Antara sebab saya suka pergi ke rumah Hilmi adalah kerana ayahnya seorang bomoh. Jika saya di rumahnya pelbagai ragam pesakit boleh lihat termasuklah kepakaran ayahnya mengubat orang.
Di kampung ayahnya memang cukup terkenal. Sebut sahaja nama Tok Murad, pasti semua orang tahu. Pesakitnya pula bukan hanya terdiri dari pada penduduk berdekatan, malah ada yang datang dari jauh di serata negeri.
Baiklah, apa yang ingin saya ceritakan di sini adalah keunikan ayahnya mengubat pesakit. Dari apa yang saya lihat Pak Murad langsung tidak pernah menggunakan ayat-ayat suci al-Quran dalam perubatannya. Dia hanya membaca mantera yang saya sendiri tidak faham bahasa dan biji butirnya.
Satu hari saya dikejutkan dengan berita Pak Murad sakit tenat. Sebagai seorang yang rapat dengan keluarganya, lantas kami sekeluarga bercadang pergi menziarahinya.
Malam itu selepas solat Isyak saya ditemani oleh ibu dan ayah berjalan kaki menuju ke rumah Pak Murad. Jarak dari rumah kami ke rumah Pak Murad lebih kurang 400 meter. Berbekalkan lampu suluh di tangan, ayah jadi pemandu jalan dan kami menurutinya dari belakang.
Sengaja ayah memilih jalan pintas melalui kebun sawit bersebelahan rumah. Alasan ayah jika ikut laluan ‘short cut’ perjalanan lagi cepat. Lagipun laluan tersebut sering kami gunakan untuk bertandang ke rumah-rumah jiran di sekitar.
“Sesekali kita berjalan malam macam ini bagus juga. Boleh juga ambil angin malam,” kata ayah kepada kami.
Kami diam tidak menjawab. Cuma sesekali ibu menegur ayah agar menghalakan lampu suluh ke arah jalan kecil yang dilalui ketika itu. Maklumlah keliling kami dipenuhi semak samun dan belukar, risau pula kalau -kalau terserempak dengan binatang buas atau berbisa.
Sedang kami bertiga tekun melalui jalan kecil tersebut, tiba-tiba terdengar bunyi orang berdehem beberapa kali. Kami terus mematikan langkah. Dengan pantas ayah menghalakan lampu suluhnya ke arah belukar tempat datangnya bunyi tersebut.
Dalam samar cahaya lampu jelas kelihatan satu sosok sedang berjalan terbongkok-bongkok di celahan belukar berdekatan kami. Walaupun raut wajahnya tidak jelas kelihatan, namun aku perasan sosok tersebut adalah seorang lelaki.
“Laa… Pak Murad ke? Saya ingat siapalah tadi,” sapa ayah sambil mengalihkan lampu suluh di tangannya.
Saya dan ibu menarik nafas lega apabila dapat tahu sosok tersebut adalah Pak Murad. Lelaki yang ingin kami lawati.
“Kamu semua hendak ke mana malam-malam buta ini?” tanyanya dengan nada sedikit garau.
“Kami ni nak pergi rumah Pak Murad lah. Si Hisham ni kata Pak Murad tiba-tiba jatuh sakit,” kata ayah sambil mengerling ke arah saya di sebelah.
Saya hanya diam dan tersengih. Tak tahu apa alasan perlu saya katakan. Tak kanlah Hilmi berbohong atau sengaja mengada-adakan cerita kepada saya pula. Lagipun perkara begini bukan boleh dibuat main atau jenaka.
“Aku dah sihat dah..,” kata Pak Murad sambil anak matanya menjeling ke arah saya.
Serta merta darah saya tersirap. Entah kenapa jantung terasa berdebar. Renungan Pak Murad cukup aneh dan asing buat saya. Seperti ada yang tidak kena. Berbeza dengan perlakuan Pak Murad yang saya kenal sebelum ini. Walaupun nampak tegas dan bengis namun amat mesra dengan saya.
“Sudahlah, hari pun dah lewat malam ni. Kamu semua pergilah balik,” sambungnya sambil mendengus kecil.
Ayah lantas memberi salam dan meminta diri untuk beredar, namun Pak Murad tidak membalas salam ayah. Dia terus menghilangkan diri ke arah belukar berdekatan. Beberapa saat kemudian dia hilang dalam gelap pekat malam.
“Sudah…sudah…jom kita balik,” kata ayah sedikit tergesa-gesa.
Sebaik sampai di rumah ayah lantas mengarahkan saya supaya mandi dan membasuh kaki. Di waktu sama saya dengar juga dia mengarahkan ibu agar mengunci semua pintu dan tingkap.
Saya yang tidak ambil kisah dengan apa yang berlaku hanya menurut sahaja arahan ayah. Dua kakak saya yang berada di rumah terpinga-pinga melihat kehadiran kami secara tiba-tiba. Dia lantas bertanya ibu sama ada kami pergi melawat Pak Murad kerana dia pelik kami pulang secepat itu.
Malam itu saya tidak boleh melelapkan mata. Entah kenapa fikiran asyik merewang mengenangkan apa yang berlaku tadi. Ingatan saya masih tertumpu kepada Pak Murad. Pelik sungguh apabila melihatnya tadi, langsung tidak sama dengan Pak Murad yang saya kenali sebelum ini.
Wajahnya bengis tanpa mengukir senyuman. Dengusan dan suara garaunya amat berlainan. Bola matanya pula terjegil bulat agak menakutkan. Nasib baiklah kami tidak berada lama di situ, jika tidak mungkin lebih tidak selesa.
Keesokannya saya mendapat khabar Pak Murad sudah meninggal dunia. Lantas saya bergegas ke rumah Hilmi untuk menziarahi arwah sebelum dikebumikan tengah hari nanti. Sebaik sampai saya lihat sudah ramai penduduk kampung dan jiran tetangga di situ. Saya terus berjumpa Hilmi untuk menyampaikan ucapan takziah kepadanya.
“Arwah ayah aku ini degil sikit. Tengah hari semalam kami semua dah nasihat dia supaya pergi hospital, tapi dia degil,” kata Hilmi dengan wajah sugul.
Saya terdiam sambil menepuk bahunya perlahan. Saya tahu perasaannya ketika itu. Lagipun bukan mudah untuk merasai kehilangan orang yang kita sayang.
“Sabarlah beb. Dah Allah sayangkan dia… nanti giliran kita pula yang menyusul,” kata saya perlahan cuba menenangkannya.
“Arwah meninggal pukul berapa Mi? Meninggal di rumah ke?” Sambung saya lagi.
Hilmi memandang saya sambil mengangguk perlahan.
“Ayah aku dah mula terlantar tak sedarkan diri masa waktu Maghrib lagi. Lepas Isyak kami perasan nadinya dah tak berdenyut langsung. Terus pak cik aku telefon pihak hospital, masa sampai tu terus dia orang check ayah aku, dan sahkan meninggal dunia,” katanya panjang lebar.
Tiba-tiba darah saya tersirap. Kenyataan Hilmi itu membuatkan perasaan saya mula bercampur baur. Jadi siapa pula yang saya jumpa berhampiran belukar di rumahnya malam tadi?
Patutlah sosok yang kami tegur itu amat berbeza dengan arwah. Dan patutlah ayah bergegas mengajak kami pulang segera dan menyuruh ibu mengunci tingkap dan pintu sebaik sampai di rumah. Mungkin ayah sudah tahu namun tidak memberitahu kami. Namun siapakah sosok yang kami jumpa itu? – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya