Sesekali, seronok juga berbuka dengan menikmati hidangan Asia Barat seperti iskander kebab, shawarma ayam dan baklava.
Bagi yang mahukan kelainan, bufet Ramadan di Restoran Paya Serai, Hotel Hilton Petaling Jaya adalah pilihan tepat.
Bertemakan Citarasa Nusantara ke Asia Barat, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai seleksi hidangan istimewa serta asli dari dua benua itu.

Cef eksekutifnya, Ridzuan Malek berkata, tema sama pernah diperkenalkan sebelum Covid-19 dan terbukti mendapat sambutan menggalakkan.
“Sajian Asia Barat sememangnya digemari rakyat negara ini kerana rasanya yang enak dan berkhasiat.
“Malah, gabungannya dengan menu nusantara menjadikan bufet Ramadan kali ini lebih menarik dan menepati citarasa pengunjung,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengulas lanjut, katanya, keseluruhan menu yang disediakan dalam bufet Ramadan itu adalah sebanyak 350 jenis.
Menu Asia Barat termasuk kopi tradisional Turkiye, dondurma (aiskrim), humus, fatoush, baba ganoush, tzatziki salsa, kebab kambing dan roti Lebanon.

Manakala, sajian nusantara pula menampilkan rusuk lembu bakar dengan sos dendeng, kambing madu guling, daging batang pinang disaluti rendang cendawan, sup tulang kambing dan mi rebus udang galah.
Diikuti, brioche dengan isi daging cincang wagyu, ikan asam pedas, lawah lemak cili padi podeh dan nasi 10 ulam di samping kuih-muih seperti ubi tonyoh dan badak berendam
Kata Ridzuan, pengunjung turut berpeluang menikmati satu lagi sajian istimewa selepas berbuka iaitu durian.
“Durian disajikan setiap hari bermula dari pukul 8.30 malam ke atas menerusi lori yang disediakan di bahagian luar restoran,” katanya. Harga bufet adalah RM228 bagi dewasa manakala RM114 (kanak-kanak).










