Lapan bazar Ramadan menarik di Selangor

Lapan bazar Ramadan menarik di Selangor

AYAM golek pula sering menjadi ‘killer dish’ dalam kebanyakan bazar Ramadan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak lengkap suasana Ramadan tanpa berkunjung ke bazar yang menawarkan pelbagai juadah istimewa.

Daripada menu tradisional hinggalah ke hidangan moden dan viral, semuanya disajikan untuk menggamit selera pengunjung.

Minggu ini Seri kongsikan lapan bazar Ramadan menarik di sekitar Selangor yang sentiasa menjadi tumpuan sepanjang bulan puasa ini.

1) Shah Alam

Bazar Ramadan di lokasi ini terkenal dengan kemeriahannya dan sering menjadi tumpuan ramai.

Apatah lagi dengan pembangunan semula Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan pembukaan Aneka Walk, sekali gus menjadikan suasana bazar kini lebih tersusun dan selesa.

Antara lokasi popular termasuk di Stadium Shah Alam, Setia Perdana BB, Seksyen 19, Denai Alam dan Seksyen 17.

Pilihan juadah pula pelbagai dan menggamit selera, daripada mi mamu dan nasi kenduri hingga ke sajian Pantai Timur seperti nasi kerabu dan laksam.

Tidak ketinggalan, nasi mandi Chef Ammar yang kekal menjadi tarikan utama setiap tahun.

2) Subang Jaya

Terdapat 20 bazaar Ramadan beroperasi di sekitar deaerah ini membabitkan 1,207 gerai makanan.

Antara kawasan popular ialah USJ 4, Dataran Niaga Puchong Permai, Bandar Kinrara 5, Jalan Petaling Putra Heights dan Taman Seri Serdang.

Suasana yang meriah ditambah dengan aroma sosej Thai bakar, martabak dan nasi kerabu menjadikan kawasan ini sentiasa dipenuhi pengunjung.

Disarankan datang lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.

3) Hulu Langat

Daerah ini memiliki kira-kira 30 bazar Ramadan yang merangkumi Kajang, Cheras, Semenyih, Beranang dan Bangi.

Antara yang popular ialah di Laman Niaga Komuniti Seksyen 13 Bandar Baru Bangi, Laman Niaga Komuniti Bandar Seri Putra, Laman Niaga Bandar Tun Hussein Onn, Taman Pelangi Semenyih dan Taman Prima Saujana Kajang.

Sesetengah bazar menempatkan lebih 100 gerai yang menawarkan hidangan seperti sup gearbox, nasi khaomok dan sukiya beef bowl.

4) Kuala Langat

Kuala Langat pula menempatkan hampir 20 bazar Ramadan dengan hampir 1,000 gerai.

Selain juadah tradisional Melayu, daerah ini turut menampilkan pilihan makanan viral seperti popia Vietnam, Dubai chewy cookies dan cheese quesillo.

Antara lokasi yang boleh dikunjungi termasuk Bazaar Ramadan Kanchong Darat, Banting, Triana, Bandar Tropicana Aman, Bandar Saujana Putra dan Dataran Pantai Batu Laut.

5) Sepang

Di Sepang, kebanyakan bazaar terletak berhampiran pusat beli-belah dan kawasan lapang yang menyediakan kemudahan parkir luas.

Lokasi tumpuan termasuk Streetmall Cyberjaya, Desa Pinggiran Putra, Kipmall Kota Warisan, Kosmopleks Bandar Baru Salak Tinggi dan Bazaar Ramadan Sungai Pelek.

Pengunjung boleh mendapatkan yong tau fu, kepak ayam bakar, popiah basah dan martabak tanpa perlu risau tentang parkir.

6) Klang

Daerah Klang yang kaya dengan budaya makanan menempatkan sebanyak 22 bazar Ramadan tahun ini.

Antara lokasi wajib dikunjungi ialah di Taman Sri Andalas yang popular dengan menu ayam percik, kebab dan nasi beriani.

Lokasi lain termasuk di Simpang Empat Sungai Udang, Kampung Meru, Lorong Musran Rantau Panjang dan Batu 4, Jalan Keretapi Lama.

Ada di antaranya beroperasi seawal pukul 3 petang, sekali gus memberi lebih masa kepada pengunjung untuk membeli juadah sebelum lalu-lintas sesak.

7) Selayang

Roti john, ayam golek, nasi kerabu dan martabak merupakan antara hidangan yang sering menjadi pilihan di bazar Ramadan sekitar daerah ini.

Jangan lepaskan peluang ke Dataran Greenwood, Jalan E3/8 Taman Ehsan, Jalan 2 Bandar Baru Selayang, Taman Selayang Utama dan Bandar Rawang.

Paling menarik tentulah di bazar terpanjang iaitu di Rawang yang menjadi sebutan ramai.

8) Ampang Jaya

Lokasinya strategik dan sering menjadi persinggahan ramai walaupun bukan menetap di sekitar Ampang Jaya.

Sebanyak 16 bazar Ramadan dibuka tahun ini termasuk di Padang Perbandaran MPAJ Pandan Indah, Jalan Melawati 1A Taman Keramat Permai, Jalan Medan Bukit Indah 1 Bukit Indah dan Jalan Ukay Perdana 1 Ukay Perdana.

Antara hidangan yang sering menjadi pilihan pengunjung ialah nasi kerabu, kuih akok, sosej Thai dan lokching.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN