AROMA sup yang meresap lembut bersama wap panas ayam pasu dibakar perlahan di udara terbuka, antara pengalaman awal yang menanti pengunjung Bufet Ramadan ‘Cita Rasa Klasik Sajian Selera Desa’ anjuran Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) tahun ini.
Berlangsung dari 20 Februari hingga 19 Mac depan, bufet yang menampilkan lebih 200 hidangan autentik ini menjanjikan pengalaman berbuka puasa yang bukan sekadar mengenyangkan, tetapi membangkitkan nostalgia masakan kampung yang kaya rasa, aroma dan jiwa tradisi Melayu, dalam suasana eksklusif di puncak Putrajaya.
Menjadi taruhan utama PICC kali ini ialah sup daging tulang rawan dan ayam pasu, dua menu istimewa yang disifatkan sebagai ‘luar kotak’ dan jarang ditemui di kebanyakan bufet Ramadan.
Menurut Eksekutif Sous Chef PICC, Chef Mohd. Tarmizi Abd. Manas, idea memperkenalkan menu ini tercetus apabila konsep bufet tahun ini dibawa ke ruang terbuka, sekali gus memberi kebebasan untuk mempersembahkan hidangan segar ke meja tetamu.
“Bila konsep terbuka, kita boleh buat menu yang berasap, panas dan dimasak secara langsung. Tetamu boleh nampak proses, bau dan rasa itu jadi lebih ‘hidup’,” katanya.
Bagi sup daging tulang rawan, kelainannya terletak pada teknik penyediaan yang teliti dan memakan masa. Sup ini dimasak menggunakan air rebusan daging yang dijadikan stok, sebelum diperkaya dengan ibu rempah istimewa diracik sendiri oleh pasukan dapur PICC.
Lebih unik, sup ini dihidangkan di dalam tempurung kelapa selepas dikukus selama dua hingga tiga jam bagi membolehkan aroma kelapa meresap perlahan ke dalam sup.
“Rawan kena empuk, kena sabar. Kita rebus lama, tapis air rebusan, jadikan stok. Rempah pula bukan segera, semua buat sendiri. Berempah, tapi tak terlalu kuat, lembut dan seimbang,” jelasnya.
Tidak kurang mencuri tumpuan ialah ayam pasu, hidangan yang diperap selama sehari semalaman menggunakan ramuan khas dan ibu rempah tersendiri sebelum dibakar perlahan di dalam pasu khas.

“Ayam pasu ni bukan sekadar bakar. Dia perlukan masa, perapan dan kawalan api. Bila buka pasu, wap dan aroma dia terus keluar, itu yang buat orang tak sabar,” katanya.
Selain dua menu istimewa itu, bufet ini turut menyajikan pelbagai hidangan klasik kampung seperti udang gulai nenas, ayam masak lemak daun pegaga, beriani ayam serta aneka pembuka selera yang membangkitkan selera.
Pengalaman berbuka yang diserikan dengan pelbagai stesen ‘live cooking’, menyajikan hidangan panas secara langsung termasuk rangka ayam, oden dan yong tau fu, char kuey teow, kambing panggang bakar ala arab, roti canai dan murtabak.
Bufet ini turut dilengkapi dengan pilihan hidangan Barat serta menu khas kanak-kanak, memastikan pengalaman berbuka puasa seisi keluarga lebih lengkap dan menyeronokkan.
Tetamu boleh menikmati aneka pencuci mulut tradisional dan moden seperti Serawa dan pulut durian, kuih-muih Melayu, kek dan pastri, serta Signature Chocolate Bread Butter Pudding yang sentiasa menjadi kegemaran pengunjung.
Ketua Operasi F&B Kumpulan, Mohd Firdaus Mohammad berkata, PICC menitikberatkan kawalan kualiti yang ketat merangkumi pemilihan bahan mentah berkualiti, penyediaan makanan harian serta pematuhan standard kebersihan yang tinggi.
“Selain memiliki sijil halal, operasi penyediaan makanan PICC turut mendapat pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Kami juga memastikan aliran tetamu teratur dan suasana berbuka yang selesa sepanjang Ramadan,” katanya.
Keunikan bufet tahun ini turut diserlahkan melalui lokasi baharu di Aras G yang menawarkan pemandangan indah Putrajaya dari puncak, menjadikan pengalaman berbuka puasa lebih eksklusif dan pertama kali diadakan di kawasan tersebut.










