Penganjuran anugerah sastera seperti Hadiah sastera Perdana Malaysia (HPSM) penting bukan semata mata menghargai karya penulis tetapi lebih penting menambah khazanah sastera sebagai jurubicara bangsa, meski pun bidang sastera sering dipandang enteng oleh segelintir masyarakat Malaysia. Ini kerana mereka menganggap bidang tersebut tidak mempunyai kerjaya dan masa depan yang cerah, berbeza dengan bidang yang berteraskan sains dan teknologi.
Namun, usaha berterusan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengangkat martabat sastera memang bermatlamat seperti itu. Namun, isunya siapakah yang membaca karya sastera sekarang ketika ini.
Laporan pada 2023 menyebut budaya membaca rakyat Malaysia hanyalah 24 naskhah buku setahun tetapi itu mengambil kira naskhah bercetak.
Dengan adanya majlis penganugerahan dan pembayaran honorarium , inisiatif tersebut diharap dapat mengalakkan penulisan bahan bermutu untuk khalayak dan menambah pilihan bahan bacaan .
Namun begitu, siapakah pembaca ruangan sastera sekarang kerana rata-rata masyarakat kita lebih gemar menatap bahan penulis yang terkandung dalam media sosial tanpa mengira apakah mutu dan nilainya.
Penganjuran Hadiah Karya Sastera sejak diperkenalkan lebih lima dekad yang lalu yang kini dikenali sebagai Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) telah menjadi tonggak penting dalam usaha mengekalkan kelangsungan dan kemegahan sastera kebangsaan.
Perkara ini dapat dibuktikan apabila sebanyak 3,555 penyertaan karya sastera diterima oleh DBP sempena dengan Hadiah Sastera Perdana Malaysia bagi tahun 2022 dan 2022. (HSMP 2021/2022).
Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari berkata, sambutan tahun ini amat memberansangkan dengan penglibatan karya daripada majalah dan penerbitan yang ekslusif.
Katanya, penyertaan kali ini terdiri daripada khalayak penulis pelbagai kaum dan sebahagian daripadanya merupakan alumni Minggu Penulis Remaja (MPR).
Perkara ini sangat menarik kerana MPR merupakan satu produk utama DBP yang banyak melahirkan pengarang-pengarang baharu yang mampan untuk memeriahkan dunia sastera kita.
“Jumlah penyertaan ini menunjukkan bahawa dunia penulisan tanah air masih subur dan mendapat tempat dalam kalangan penulis dan pembaca.
“Dengan jumlah penyertaan yang sebegitu tinggi juga mampu membuktikan komitmen yang sangat bagus dalam dalam kalangan penulis tanah air untuk menghasilkan karya yang bermutu, sekali gus mencerminkan perkembangan positif dalam dunia kesusasteraan Melayu,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Pengiktirafan tersebut adalah untuk meraikan hasil karya sastera daripada pebagai genre berbeza yang berkualiti tinggi dalam karya berbentuk buku dan diadakan secara dwitahunan.
Hazami berkata, tahun ini menandakan 54 tahun penganjuran HSPM, sebuah pengiktirafan tertinggi negara terhadap karya-karya sastera bermutu tinggi tanah air.
Ia bukan semata-mata menyanjung karya sastera, tetapi juga satu pernyataan budaya yang menzahirkan iltizam negara untuk terus memartabatkan khazanah kesusasteraan negara. Karya-karya yang diangkat melalui HSPM menjadi cerminan sejarah, pemikiran, dan suara rakyat yang merentasi zaman.
Di dalamnya terakam nilai perjuangan, idealisme, serta denyut nadi bangsa yang tidak lekang oleh waktu terungkap dalam bait-bait kata.
“Pengiktirafan dan penghargaan ini diteruskan pemberiannya demi memastikan bahasa Melayu terus berperanan sebagai pengungkap falsafah, pemikiran dan etos bangsa, ujar beliau semasa berucap dalam Majlis penyampaian HSPM 2021/2022 baru-baru ini.
Dalam majlis tersebut, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyampaikan anugerah kepada pemenang.
Sebanyak empat kategori dipertandingkan bersama jumlah penyertaan 3,555 iaitu Kategori A (165), Kategori B (3203), Kategori C (129) dan Kategori D (58).
Bagi kategori A, ia adalah hadiah yang diberikan kepada karya terpilih yang menerbitkan karya dalam bentuk buku atau kumpulan karya seperti novel, kumpulan cerpen, puisi, drama, esei atau kritikan sastera, buku kajian sastera dan biografi.
Untuk kategori B pula adalah hadiah yang diberikan kepada mereka yang menghasilkan karya eceran terpilih yang diterbitkan dalam majalah, jurnal akhbar dan buku dalam tahun penilaian seperti puisi, cerpen, drama dan cerpen remaja.
Bagi kategori C, ia adalah hadiah yang diberikan kepada karya sastera terpilih berbentuk buku atau kumpulan karya untuk kanak-kanak seperti novel, cerpen, dan puisi kanak-kanak.
Untuk kategori yang terakhir iaitu kategori D, ia adalah hadiah yang diberikan kepada mereka yang menghasilkan karya sastera dalam bentuk buku atau umpulan karya untuk bacaan remaja seperti kumpulan puisi dan drama remaja.
Mengulas lanjut mengenai penyertaan kategori D iaitu kategori penulis golongan muda yang dilihat agak sedikit rendah berbanding yang lain, Hazami berkongsi beberapa inisiatif DBP untuk menarik golongan muda untuk kekal berkarya dan menghasilkan penulisan yang berkualiti.
Katanya, untuk pembinaan golongan penulis muda dan kanak-kanak, DBP menggunakan kaedah pembinaan yang diperkenalkan oleh program Minggu Penulis Kanak-kanak dan MPR.
Penulis yang berpotensi akan dibawa menyertai bengkel khas untuk diberi pendedahan yang baik dan dengan harapan dengan cara itu mereka akan menjadi penulis yang bagus suatu hari nanti.
“Di DBP juga ada menyediakan ruang untuk mereka menulis dan berkarya seperti dewan pelajar, dewan siswa, dan tunas cipta. Di ruangan inilah mereka menulis dan mengukuhkan kepengarangan mereka.
“Kami juga bercadang untuk menjalin kerjasama dengan pihak-pihak tertentu di sekolah dan juga universiti untuk bersatu mempergiatkan aktiviti kesusasteraan, menanamkan kecintaan dan bengkel penulisan bagi memastikan penulisan kategori remaja dapat dipertingkatkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, selaku Pengerusi Panel HSPM 2021/2022, Hazami dan panel yang lain akan memastikan karya yang dihasilkan oleh penulis bukanlah dijana oleh kecerdasan buatan (AI).
Katanya, pihak DBP mengharapkan penulisan dan karya sastera yang dihasilkan adalah dijana oleh idea dan buah fikiran manusia sendiri.
“Perkara itu menjadi tanggungjawab penulis, pengarang dan penerbit untuk tidak menghasilkan karya berteraskan AI agar tidak timbul masalah hak cipta dan sebagainya,” ujarnya.
Lebih membimbangkan sekiranya penulis sendiri menghasilkan karya yang bukan tulen atau menggunakan teknologi kepintaran buatan (AI) yang sekali gus membunuh matlamat penghasilan karya itu sendiri yang sepatutnya menggunakan bahasa indah , mempunyai nilai perjuangan dan mengangkat bahasa Melayu yang boleh dinikmati untuk semula lapisan masyarakat. Hazami pernah berkata hanya karya asli yang lahir daripada ketulusan rasa dan kejernihan fikir memberi pembaca impak kesenian dan estetik yang indah. Jinakkan teknologi untuk membantu kita, bukan menggunakan teknologi seumpama AI untuk berkarya bagi pihak kita.
“ Sasterawan itu orang yang jujur. Manfaatkan kejujuran demi mencapai kemurnian dalam cipta karya kita, ujarnya. Penulis muda jika ingin terus giat berkarya diharap tidak mengabaikan pesanan Hazami ini dan inilah cabaran baharu yang mereka perlu akur dan mendepani cara matang, bukan sekadar hendak berkarya demi kepuasan diri . – UTUSAN
KEPUTUSAN
- i) Kategori A: Buku/Kumpulan Karya (Setiap genre diberikan hadiah sebanyak RM10,000) • Novel • Kumpulan Cerpen • Kumpulan Puisi • Kumpulan Drama • Kumpulan Esei/Kritikan Sastera • Buku Kajian Sastera • Biografi/Autobiografi/Memoir
-Novel Phensi DBP, 2022 Prasert Eh Chai
-Kumpulan Cerpen Narasi Tanah Selandia Baru dan Kisah Lainnya DBP, 2021 Mawar Safei
Kumpulan Puisi Bara Hujan Kata Pilar, 2021 Rudi Mahmood
Esei/Kritikan Sastera Kepengarangan Sastera Melayu Pascamoden DBP, 2022 Abdul Rahman Napiah (Mana Sikana)
Biografi/Autobiografi/Memoir Biografi Sasterawan Negara: Keris Mas Melepasi Gerhana DBP, 2022 A. Rahim Abdullah
- ii) Kategori B: Karya Eceran (Setiap genre diberikan hadiah sebanyak RM2,000) • Puisi • Cerpen • Drama • Esei/Kritikan (Makalah Separa Ilmiah) • Esei/Kritikan (Makalah Ilmiah) • Cerpen Remaja
-Perlumbaan Arnab dengan Kura-kura” Dewan Sastera, Januari 2021 Zurinah Hassan
-Dari Senja Hingga Senja Lagi” Dewan Sastera, April 2021 Zainal Palit (Zaen Kasturi)
-Hikayat Esok” Suara Sarawak, 11 April 2021 Zainal Abidin Suhaili (Abizai)
-Penjual Doa” Dewan Sastera, Jun 2021 Abdul Mubin Ismail
-Gawat Musim Gelora” Dewan Sastera, Julai 2021 Ramzah Dambul
-Perahu Upaya” Dewan Sastera, Mei 2021 Shapiai Mohd. Ramly
-Lidah yang Dirindui Ular” Dewan Sastera, Julai 2021 Norawi Haji Kata
– “Mot Juste” Dewan Sastera, September 2021 Siti Raihani Mohamed Saaid
-Lelaki yang Kehilangan Kunci” Dewan Sastera, September 2022 Ratna Laila Shahidin
-Pencuri Pakaian” Dewan Sastera, Ogos 2022 Aidil Farmi Mohamad (Zamhari Bakti)
-Mencari Air Ulung” Dewan Sastera, Januari 2021 Zainal Palit (Zaen Kasturi)
-Simone” Dewan Sastera, Februari 2021 Hafizah Iszahanid
“Kisah Sebuah Rumah yang Tidak Pernah Selesai” Dewan Bahasa, Ogos 2022 Saifullizan Yahaya
-Gergasi” Dewan Sastera, Julai 2021 Lokman Hakim Abdul Wahid
-Insiden Kucing Parsi Hitam yang Membunuh Diri?” Utusan Borneo, 26 Julai 2021 Abang Median Abang Said
“Di dan Em” Dewan Bahasa, November 2021 Jais Sahok
-Stingere” Dewan Sastera, Oktober 2021 Rita Robert Rawantas
-Nikosa dan Tesla” Tunas Cipta, Februari 2022 Nur Azshieldha Sahran
-Langa” Dewan Sastera, April 2021 Ruhaini Matdarin
-Winchester Laras Dua” Dewan Sastera, Ogos 2021 Zainol Idris
KATEGORI B: CERPEN REMAJA ECERAN
-Lelaki yang Mengutip Serpihan Hatinya yang Berkecai” Tunas Cipta, Disember 2021 Siti Nadhirah Abdul Ghani
-Jaguh Ayah” Tunas Cipta, Ogos 2021 Roslan Daud
Katak yang Terpenjara” Tunas Cipta, April 2021 Muhammad Afif Zulhusni Azhar
-Menenun Kasih” Tunas Cipta, April 2021 Clariessa Kesulai
-Hujan Luruh di Fukushima” Dewan Siswa, Mac 2022 Hafizul Osman
KATEGORI B: DRAMA ECERAN
-Bazin Bawah Pintu” Dewan Sastera, Januari 2021 Siti Jasmina Ibrahim
-Orang Bulan” Dewan Sastera, Julai dan Ogos 2022 Mohd Yusof Bakar
-Sampai Hidup Harung Sengsara (Keterangan Terakhir Ka’ab bin Malik)” Dewan Sastera, Disember 2021 dan Januari 2022 Zuhir Saari (U-Wei Hj. Saari)
iii)Kategori C: Buku Sastera Kanakkanak (Setiap genre diberikan hadiah sebanyak RM5,000) • Novel Kanak-kanak • Kumpulan Cerpen Kanak-kanak • Kumpulan Puisi Kanak-kanak • Kumpulan Drama Kanak-kanak • Buku Bergambar Kanak-kanak
-Novel Kanak-kanak Johan Jani DBP, 2021 Mohd Khairul Riza Tuan Mohd Yusop (MK Riza)
-Kumpulan Cerpen Kanak-kanak Tekad Beregu RZ DBP, 2022 Zurhan Bakar
-Buku Bergambar Kanak-kanak Tuty Si Anak Penyu Integra Creative Media Sdn. Bhd., 2021 Nor Azhar Ishak
Kategori D: Buku Sastera Remaja (Setiap genre diberikan hadiah sebanyak RM5,000) • Novel Remaja • Kumpulan Cerpen Remaja • Kumpulan Puisi Remaja • Kumpulan Drama Remaja
-Novel Remaja Merom Nusa Centre, 2022 Jong Chian Lai
-Kumpulan Puisi Remaja Bulan di Langit Malam DBP, 2021 Mat Rawi Hamat (Nawawee Mohammad)
-Kumpulan Cerpen Remaja Telefon yang Menyembunyikan Kisah Syfe Management Sdn. Bhd., 2022 Abang Median Abang Said










