Bukan mudah berlakon teater

Bukan mudah berlakon teater

GABUNGAN pelakon tempatan dan Indonesia yang menjayakan teater Pelanduk Terakhir. – MINGGUAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pementasan teater bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk dijayakan lebih-lebih lagi bagi mereka yang baru pertama kali menceburi bidang ini.

Menurut pelakon teater, Audrey Amalia Zahra, 22, cabaran utama yang dihadapinya sewaktu melakonkan watak Santi adalah penggunaan bahasa Melayu yang kurang fasih.

“Walaupun sudah dua tahun belajar di sini, saya selalunya menggunakan bahasa Inggeris sewaktu berkomunikasi dengan rakan-rakan di kampus.

“Saya juga jarang berbual dengan pelajar tempatan kerana di kelas saya majoriti pelajar antarabangsa.

“Rupanya bahasa Indonesia dan Malaysia itu banyak yang serupa, bukan bahasa sahaja malah budaya juga. Jadi, itu memudahkan saya belajar bahasa Malaysia dengan lebih mendalam lagi,” katanya selepas menjayakan pementasan teater Pelanduk Terakhir di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Teater tersebut diarahkan oleh Suzana MS yang dipentaskan selama tiga hari melibatkan hampir 30 pelakon termasuk Audrey yang merupakan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Saya tidak menjangka terpilih untuk mendapat watak ini, tapi saya cuba untuk berikan sehabis baik untuk teater ini, “ katanya yang merupakan seorang daripada dua pelakon Indonesia yang terlibat dalam pementasan tersebut selain Sidqin Sukma Maarij.

Sementara itu, bagi Sidqin yang juga anak kepada pelakon Indonesia terkenal, Yayan Ruhian, dia berdepan cabaran besar kerana menceburi bidang lakonan teater buat kali pertama.

“Saya tidak pernah menceburi bidang lakonan sebelum ini dan teater ini adalah teater pertama saya.

“Rakan-rakan seperjuangan lain sudah hebat serta tahu apa yang perlu mereka lakukan, tapi bagi saya yang menjadi susah apabila saya perlu menyesuaikan diri dengan tenaga mereka,” katanya.

Jelas Sidqin, walaupun begitu, rakan-rakan tempatan lain tetap memberi sokongan kepadanya dan berasa gembira dapat bekerjasama dalam teater Pelanduk Terakhir itu.

Tambahnya, perasaan yang dirasai ketika itu bercampur-baur kerana mengenangkan itu adalah hari terakhir mereka menjayakan teater itu.

“Perasaan saya sangat gembira selepas mengharungi beberapa cabaran sewaktu teater ini dijalankan, tetapi sedih juga sebenarnya kerana selama tiga hari ini bahkan sewaktu latihan, banyak momen menarik yang tidak dapat saya lupakan,” katanya.

Audrey merupakan pelajar komunikasi korporat manakala Sidqin merupakan pelajar dalam bidang penyiaran, masing-masing adalah pelajar antarabangsa yang menuntut di UPM.

Sementara itu, bagi Pengurus Produksi yang juga membimbing pelakon UPM itu, Dr. Hidayah Ismail, cabaran yang dilalui olehnya adalah penyertaan yang terlalu ramai sewaktu uji bakat diadakan.

Menurut Hidayah, penyertaan yang terlalu ramai bukanlah sesuatu yang negatif, tetapi apabila terlalu banyak bakat yang hendak dipertontonkan, ia menyukarkan pihaknya untuk memilih pelakon.

“Setiap pelajar yang menyertai uji bakat ada kelebihan dan kekurangan mereka masing-masing, jadi kami tidak tahu mahu pilih siapa ketika itu.
“Mereka juga tahu keperluan mereka untuk aktif di universiti, oleh itu mereka terus merebut peluang yang ada tanpa mengira penat lelah.

Kata Hidayah, di UPM sendiri ada kelab teater yang dikenali sebagai Kelab Pentas.
Pihaknya merisik pelajar tersebut dan menggunakan kemahiran mereka untuk membuat pemilihan.

“Seramai 60 orang tercalon sewaktu uji bakat, untuk watak utama sahaja 14 orang yang boleh berlakon.

“Jadi kita buat latihan demi latihan dan kepada yang dapat menjadi watak utama itu, rezeki bagi dialah,” katanya.

Watak utama iaitu Mahdi, dilakonkan oleh Irsyadi yang juga merupakan TOP 5 Global Finalist of Gimme the Mic Malaysia.

Watak Mahdi merupakan seorang lelaki berperwatakan lembut yang ingin menyambung usaha ayahnya dalam mengekalkan warisan budaya Pahang dalam seni tarian Pelanduk.

Dalam pada itu, Hidayah berkongsi cabaran lain yang dihadapi untuk menjayakan teater itu adalah masalah kewangan.

“Teater ini perlukan kos yang besar kerana kostum yang dibuat untuk penari, persediaan set atas pentas itu memerlukan kos yang tinggi, bukannya sekadar lukisan sahaja,” katanya.

Jelasnya, dia berasa amat bangga dengan para pelakon, penari dan mereka yang terlibat dengan pementasan ini kerana majoritinya adalah kali pertama melaluinya.

“Mereka bukan berlakon di pentas sekolah rendah dan sekolah menengah, mereka terus membuat pementasan di pentas yang besar, bagi saya mereka berjaya menjayakannya dengan sangat baik walaupun hanya dalam 10 kali latihan,” katanya.

Mengulas mengenai sambutan teater Pelanduk Terakhir, Hidayah gembira kerana selama tiga hari pementasan itu dipentaskan, penonton memenuhi ruang auditorium dan dianggarkan lebih 350 orang menyaksikan teater tersebut setiap kali pementasan.

Tambah Hidayah, pementasan teater Pelanduk Terakhir itu bakal dipentaskan di pentas antarabangsa di Universiti Hankuk, Korea Selatan pada November ini.

Pementasan di negara itu bakal melibatkan lakonan, tarian, muzik dan jalan cerita yang sama tetapi watak suami isteri yang dilakonkan oleh pelakon veteran bakal digantikan kepada pelajar-pelajar UPM bagi mencungkil bakat mereka.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN