Gerakan mengangkat sastera tanah air supaya terus dimartabatkan perlu diteruskan supaya bidang ini bukan sekadar karya kreatif tetapi mampu memberi sumbangan kepada pembangunan tamadun bangsa dan pemikiran masyarakat.
Apakah sebenarnya sastera ini,?
Perkataan sastera dikatakan berasal daripada bahasa sanskrit iaitu “castra”. Susastera yang bermaksud kata yang membawa maksud khusus iaitu:
Su indah, baik, lebih berfaedah
Sastera huruf atau buku
(ke) susastera (an) kumpulan buku-buku yang indah bahasanya dan baik isinya
Sastera terbahagi kepada pelbagai genre termasuklah antaranya puisi novel dan bahan penulisan lain yang menggunakan kata-kata indah.
Maka sastera boleh dimanfaatkan dalam pendidikan bangsa dan pembinaan tamadun, wadah perjuangan dan jurubicara bangsa menerusi kata kata indah dan pernyataan daripada hati yang meronta dan memberontak memperjuangkan sesuatu.
Oleh kerana bidang ini mengutamakan kata-kata indah, pernyataan atau luahan hati, bahasa halus, lunak tetapi bermakna boleh dijadikan wadah perjuangan dan didokumentasikan sebagai satu wacana ilmu, justeru tidak boleh diketepikan begitu sahaja bagi membantu memperkasa bidang pendidikan.
Ada dakwaan bahawa sastera dalam bidang pendidikan tidak lagi diberi keutamaan. Jika keadaan ini benar, ia sepatutnya boleh mencetuskan kebimbangan kalangan kita yang cintakan negara dan sentiasa meletakkan jati diri sebagai pasak utama kehidupan.
Maka apabila bidang ini tidak lagi menjadi pilihan generasi muda dan tidak menjadi subjek penting di sekolah, kita sepatutnya bimbang apakah citra generasi akan datang.
Ini kerana bidang sastera bukan sekadar subjek dalam silibus sekolah, tetapi mampu mengisi pembinaan bangsa yang akan datang sesuai dengan Falsafah Pendidikan Negara.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera baru -baru ini menganjurkan Persidangan Meja Bulat : Memberikan Makna dan Nilai Sastera Era Digital yang boleh dianggap penting bagi meneliti semula perkembangan sastera tanah air.
Persidangan tersebut yang dipimpin Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari sebagai moderator melibatkan 15 ahli panel terdiri daripada pelbagai pakar dan tokoh bidang sastera tempatan.

Mereka antaranya termasuklah Sasterawan Negara (SN) Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang merupakan pakar dalam puisi, Prof. Dr. Hashim Ismail (cerpen dan novel), Prof. Dr. Abdul Halik Ali (teori kritikan), Dr.
Abdul Rahman Napiah (teori kritikan), Dr. Norhayati Ab. Rahman (cerpen), Prof Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani (teori), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad (kritikan, penggiat sastera) , Dr. Shamsudin Othman, Dr Nur Afifah Vanitha Abdullah (drama). Dr Azman Ismail (puisi) dan Dr. Hanafi Ibrahim (cerpen).
Pertemuan tersebut memberi harapan baharu dalam usaha memberi sinar perkembangan bidang persuratan dan sastera, apatah lagi ramai pakar berkaitan memberi pandangan. Turut disentuh adalah isu perkembangan sastera dalam era teknologi digital.
Usaha DBP itu kena pada masanya sebagai penelitian kerencatan perkembangan pembinaan sastera di Malaysia selepas tahun 2000. Ini kerana penggiat sastera berharap DBP sepatutnya menjadi pendahulu pembinaan teori sastera selaras dengan objektif penubuhannya untuk memperkembang bakat sastera.
Kata penggiat sastera, pelru usaha menggalakkan pembinaaan teori sastera tempatan yang mutakhir bersifat semasa (dalam karya novel, cerpen, puisi).
Maka beberapa rumusan menarik termasuklah antaraya penelitian kualiti karya sastera mutakhir, cabaran keaslian karya, pembangunan aplikasi untuk mengesan plagiat dan merakyatkan sastera rakyat antaranya:
DBP berdamping dengan penulis sastera popular
Pewujudan satu lembaga/badan yang menilai cadangan penyelidikan sastera yang dilaksanakan oleh DBP.
DBP patut menjadi peneraju usaha membangun kesasteraan tempatan, apatah lagi diberi peruntukan RM50 juta dalam Belanjawan RM50 juta tahun ini.
Seperti diakui Hazami, persidangan tersebut bertujuan mendapatkan dan mengumpul input pandangan pakar dan sarjana bagaimana memperkasa sastera dan bahasa sebab DBP memang diakui sebagai agensi pembinaan bahasa dan sastera tempatan .
“Dua bidang yang terletak dibahu untuk digalas DBP adalah pembinan bahasa dan sastera.
“(Tetapi) sastera kita macam tenggelam,” ujar Hazami yang ditemui selepas persidangan.
Perbincangan tersebut antara lain menyentuh isu kritikan dan sastera bandingan dan mencari makna apakah maksud sastera itu, peranan sastera kebangsaan, pihak yang terbabit secara langsung dan tidak langsung dalam bidang kesusasteraan , memberi penekanan dalam silibus pendidikan sebagai sebagai subjek teras bagaimana teknologi membantu bidang tersebut, manakala aspek yang tidak kurang pentingnya iaitu pendanaan, mengiktiraf kedudukan dan peranan bukan soal kreatif serta aset pembinaan negara bangsa.
“Perbincangan tersebut juga sebagai usaha merangka pelan strategi DBP 2026-2030,” ujar beliau.
Rumusan perbincangan tersebut juga akan dipertimbangkan untuk dijadikan garis panduan merangka dasar sastera kebangsaan kerana ia bermanfaat hasil pandangan pemegang taruh bidang itu.
Dasar tersebut sudah pun digubal sebelum ini yang memfokus kepada beberapa isu termasuklah antaranya aspek pemerkasaan bahasa Melayu sebagai garis panduan pelaksanaannya
Hazami turut membayangkan dasar tersebut akan diumumkan sempena pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Oktober ini.
Sementara itu, SN Muhammad berpandangan negara maju menggunakan sastera untuk memupuk budaya hidup yang baik, membincangkan masalah manusia, tamadun, dan nilai nilai yang harus dikekalkan.
“Itu (dilakukan) negara maju dan berfikiran tinggi dan meletakkan sastera sebagai pelantar yang membincangkan masalah dan kehidupan manusia.
“Fizik (sains) tidak membincangkan masalah atau isu kemanusiaan, geografi juga begitu,” ujar Muhammad.
Menurut Muhammad lagi, kepentingan sastera jelas kerana ia berkata-kata dengan falsafahm menghuraikan isu kemanusiaan dan tamadun manusia. Antara isunya yang disentuh:
Pewujudan masyarakat yang kritis terhadap sastera.
Pendidikan sastera (sastera bukan sebagai bahan bantu mengajar, tetapi sastera sebagai bahan pengajaran penting dalam membina pemikiran, peradaban)
Persembahan teater disebar luaskan ke sekolah-sekolah tidak sahaja tertumpu di DBP.
Pembinaan maklumat dan teras sastera melalui laman web DBP.
Pembelaan kepada penulis negeri – anugerah sastera negeri sebagai merit kepada penulis untuk ke tahap lebih tinggi.
Pengantarabangsaan karya dan karyawan melalui kajian sastera bandingan.
Peluasan sastera lisan (kaedah sastera multimedia)
Peluang kepada mahasiswa mengkaji sastera bandingan. – UTUSAN










