Adakah ini sesuatu idea iaitu penubuhan majlis sastera yang sudah terlambat namun perlu juga dilakukan bagi maksud tertentu.
Sesuatu yang bukan baharu disembang-sembangkan, tetapi apabila dibangkitkan semula, mungkin ada sesuatu yang menarik untuk dibahaskan.
Cadangan penubuhan Majlis Sastera Nasional sesuatu yang wajar difikiran dalam usaha memartabatkan bidang kesusasteraan tanah air dengan harapan ada manuver bagi pengembangan sastera dan penulisan tanah air.
Mungkin tujuannya bukan sekadar memartabatkan sastera tanah air tetapi mengukuhkan ikatan antara penulis baharu dan veteran dan mereka boleh bergabung tenaga melakukan sesuatu positif dalam memajukan bidang penulisan ini.
Cadangan mewujudkan Majlis Sastera disebut dalam resolusi Perhimpunan Penulis Malaysia IIV (PPM IV) dan sidang Kemuncak Penulis Malaysia III (SKPM III) anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) tahun lepas.
PENA sebagai gerakan intelektual dalam bidang sastera, bahasa dan budaya sejak penubuhannya pada 1961 sebelum itu menganjurkan kedua-dua program tersebut tahun lalu.
Penganjuran kedua-dua kegiatan itu selaras dengan hasrat untuk membina generasi penulis yang kental berwibawa dalam menghasilkan karya yang dapat memberi sumbangan besar kepada pembinaan dan peneguhan peradaban bangsa.
Program yang bertemakan Penulis sebagai Teras Masyarakat Madani bagi SKPM III dan tema Penulis Muda Mendepani Cabaran Revolusi Teknologi bagi Perhimpunan Penulis Muda IV) dihadiri oleh 300 penulis dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh tanah air.
Tokoh-tokoh utama Pena seperti Dr. Mohamad Saleeh Rahamad (Pengerusi) dan Khair Ngadiron serta Dr. Mohd. Hanafi Ibrahim, Dr. Shamsudin Othman dan Zaifulnizam Wagiran antara jawatankuasa yang terlibat dalam penyediaan resolusi.
Menerusi seminar itu dijadikan resolusi penubuhan Majlis Sastera Nasinal. Beberapa penulis dan sasterawan tersohor memberi perspektif masing- masing mengenai cadangan tersebut dan kebanyakannya secara umum bersetuju mengenainya.
Sasterawan Sarawak Abang Patdeli Abang Muhi berkata, semasa Mesyuarat Agung tahunan (AGM) Budiman Malaysia, beliau ada mencadangkan agar diadakan mesyuarat atau seminar yang dihadiri oleh semua guru sastera/bahasa, persatuan penulis pegawai bahagian kurikulum Kementerian Pendidikan dan munsyi sastera.
Apa yang penting kata beliau adalah siapa yang hendak mengetuai atau menjadi sekretariatnya yang akan merangka terma rujukan majlis tersebut kerana mesti ada kuasa dan wibawa.
“Kalau tidak, tidak ke mana akhirnya. Bagus juga idea,” ujarnya.
Malah sewaktu masih bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebelum ini, beliau telah mendraf kertas Dasar Kesusasteraan Kebangsaan, tetapi tidak tahu apa yang terjadi selanjutnya.
“Dalam kertas itu, juga saya masukkan perihal Pengajaran dan Pembelajaran Kesusasteraan Kebangsaan,” ujarnya.
Justeru katanya, penubuhan Majlis Sastera Nasional merupakan satu langkah yang amat relevan dan wajar untuk memperkukuhkan peranan sastera dalam pembangunan tamadun negara bangsa.
Beliau bersetuju dengan gesaan PENA agar kerajaan mengambil inisiatif untuk menubuhkan majlis ini yang akan memberikan fokus lebih besar terhadap sastera sebagai satu aspek penting dalam pembinaan identiti negara.
“Dengan adanya Majlis Sastera Nasional itu nanti, sastera bukan sahaja akan dilihat sebagai bidang seni semata-mata tetapi medium penting dalam membentuk pemikiran dan nilai masyarakat.
“Ia dapat memberi perhatian sewajarnya kepada penulis tempatan untuk membangunkan karya sastera yang berkualiti dan memperkenalkan hasil karya tersebut di peringkat yang lebih luas.
“Lebih daripada itu, penubuhan majlis ini juga berpotensi untuk mengukuhkan peranan sastera dalam memperkayakan warisan budaya negara serta mendidik generasi muda tentang pentingnya nilai-nilai kemanusiaan, sejarah, dan jati diri bangsa, “ ujarnya lagi.
Dalam pada itu seorang lagi penulis daripada Sarawak, Zainal Abidin Suhaili atau Abizai bependapat penubuhan Majlis Sastera Nasional merupakan satu langkah yang amat relevan dan wajar untuk memperkukuhkan peranan sastera dalam pembangunan tamadun negara bangsa.
“ Lebih daripada itu, penubuhan majlis ini juga berpotensi untuk mengukuhkan peranan sastera dalam memperkayakan warisan budaya negara serta mendidik generasi muda tentang pentingnya nilai-nilai kemanusiaan, sejarah, dan jati diri bangsa, “ ujarnya yang juga Ketua 1, Persatuan Penulis Utara Sarawak, Sasterawan Negeri Sarawak ke-5 dan Penerima SEA Write Award 2017.
Dalam konteks yang lebih luas, Abizai berkata, Majlis Sastera Nasional boleh menjadi wadah untuk menyusun perancangan dalam memperkenalkan program-program sastera yang berkualiti, serta menjadi jambatan penghubung di antara penulis, institusi pendidikan, dan masyarakat.
Bagi sasterawan Sabah Hasyuda Abadi beliau berpendapat peranan Majlis Sastera yang dimaksudkan belum jelas peranannya.
“Apakah nanti akan bertindih dengan peranan DBP atau bagaimana, “ soal beliau Jika ia khusus untuk mengurus kesusasteraan kebangsaan saya fikir majlis ini wajar ditubuhkan, ujarnya.
RESOLUSI PERHIMPUNAN PENULIS MALAYSIAN IV (PPMN IV) DAN SIDANG KEMUNCAK PENULIS MALAYSIA III (SKPM III) PENA
Pembinaan Sastera Madani Peningkatan Pendidikan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Menggesa pihak berkuasa pendidikan memperkukuh kedudukan bahasa dan kesusasteraan Melayu dalam kurikulum dan sistem Pendidikan dengan meningkatkan pembelajaran berbentuk interaktif dan kreatif untuk menarik minat generasi muda terhadap karya sastera Melayu. Pembinaan Sastera Madani perlu ditangani oleh “penguasa” yang memegang punca kuasa sebenar-benarnya, dan penguasa itu mestilah yang memiliki etos ilmuwan, adab, akhlak serta teguh memegang nilai keadilan. Sastera Madani tidak 2 bertentangan dengan prinsip Rukun Negara, serta tidak boleh berkompromi dalam unsur syubhah.
Penerbitan dan Promosi Karya Sastera Melayu: Memperbanyak penerbitan karya sastera Melayu dalam pelbagai genre, termasuk yang bersifat kontemporari, dan terjemahan. Hal ini perlu penglibatan kolaborasi antara penerbit, penulis, dan kerajaan dalam usaha memasarkan karya sastera Melayu di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Pengiktirafan dan Sokongan kepada Penulis: Meningkatkan insentif dan sokongan kewangan kepada penulis, termasuk sasterawan muda, sebagai dorongan kepada penghasilan karya berkualiti.
Memperkasakan Ekosistem Sastera dalam Era Digital (Digitalisasi Warisan Kesusasteraan Melayu):
Memperkasakan Perpaduan dalam Kebudayaan Kebangsaan melalui Karya Sastera:
Kerjasama Serantau dan Antarabangsa: Mewujudkan hubungan dengan institusi atau komuniti kesusasteraan serantau dan global untuk memperkenalkan sastera kebangsaan ke persada dunia.
Pengurusan Dana yang Lebih Saksama kepada Institusi Penulis Mengusulkan perancangan pengagihan dana RM50 juta daripada kerajaan perlu membabitkan pemain industri kreatif dan persatuan yang berkaitan dengan sastera.
Penterjemahan, Pengantarabangsaan, Penyebaran dan Peluasan Karya Sastera kebangsaan
Penubuhan Majlis Sastera Kebangsaan yang bertujuan mengesyorkan kepada Kerajaan untuk menubuhkan Majlis Sastera Kebangsaan yang menjadi badan pengurus hal ehwal kesusasteraan di bawah Jabatan Perdana Menteri. – UTUSAN










