Menelusuri perkembangan bidang sastera tanah air, banyak persoalan yang perlu diambil kira. Penghasilan karya berkualiti yang konsisten, dan pelbagai genre bidang tersebut yang harmoni dan rangkaian pemegang taruh yang saling menyokong juga memberi satu petanda baik masa depan bidang sastera tempatan.

SM ZAKIR menunjukkan antara dua karya dihasilkannya
Pihak pemegang taruh pula terdiri daripada pelbagai pihak dan masing masing mempunyai kepentingan sendiridalamn rantaian industri.
Pengkarya, syarikat penerbitan, pekerja industri, pereka letak, penyunting, pembaca pruf dan pelukis grafik antara pemegang taruh dalam industri sastera tanah air yang mempunyai peranan masing masing.
Persoalannya adakah pengkarya boleh mendapat faedah daripada pertumbuhan bidang sastera tempatan jika hanya bergantung kepada honorarium atau royalti jualan karya mereka.
Penulis atau sasterawan tempatan perlu aktif berkarya dan banyak menghasilkan produk penulisan mereka untuk menampung hidup. Isunya bukan semua penulis mempunyai nama besar sehinggakan karya mereka laris terjual dan dicetak berulang kali.
Justeru bergantung sepenuhnya kepada hasil jualan karya yang diterbitkan tidak membantu kelangsungan hidup penulis terutama sasterawan veteran.
Karyawan atau penulis muda yang menghasilkan buku atau novel popular mungkin agak bernasib baik kerana karya mereka biasanya mendapat sambutan daripada pembaca golongan muda tetapi sebaliknya pula berlaku terhadap sasterawan veteran apabila hasil penulisan yang agak berat, tidak laris terjual melainkan dicetak penerbit kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan, Institut Terjemahan Negara Berhad (ITNB), itupun bayarannya agak lambat dan cetakannya hanya dalam jumlah yang agak rendah.

Dewasa ini antara pendekatan mereka berdepan dengan isu bayaran adalah menulis.mencetak menerbitkan dan mempromosi dan menjual karya mereka sendiri.
Menurut seorang penulis prolifik SM Zakir terdapat dua pendekatan menerbitkan karya iaitu yang pertama menghantar ke syairkat atau rumah penerbitan. Dengan cara ini, kata beliau, penulis akan memperoleh royalti dan tidak perlu keluar apa-apa kos.
“ Karya lebih terjamin dari segi kualiti. Cuma tidak terjamin manuskrip diterima dan mungkin ditolak,” ujar beliau.
Pendekatan kedua adalah swaterbit iaitu penulis perlu keluar modal sendiri untuk kerja-kerja mencetak, reka letak (lay out) dan lain-lain kos.
Pencetakan melibatkan antara 3,000 hingga 4, 0000 naskhah minimum.
Menerusi kaedah ini, kualiti karya tidak terjamin kerana tidak melibatkan kerja-kerja penyuntingan akibat ketiadaan editor dan pembaca pruf dan jika diupah maka akan memerlukan modal lagi.
Dengan cara ini, kaedah promosi agak terhad dan jualan selalunya tidak balik modal.
Bagaimanapun untuk jangka panjang, kaedah ini tidak dapat bertahan dan tidak memberikan pulangan atau pendapatan yang stabil kepada penulis.

Namun ia bagus bagi penulis komersial yang ada nama mereka dicari oleh rumah penerbitan dan lebih selesa terbit di rumah penerbitan.
“Kalau terbit sendiri mereka berdepan dengan masalah pemasaran dan jual beli yang kompleks,” ujarnya.
Maka, SM Zakir tidak menggalakkan kerana pendekatan tersebut tidak membantu penulis mencari pendapatan untuk menyara hidup dengan berkarya sahaja.
Sementara itu bagi penulis dan usahawan Ain Maisarah Daliman, beliau mula berjinak jinak dengan pendekatan mempromosi dan menjual karya sendiri sejak 2008 ketika masih berkhidmat di sebuah syarikat penerbitan PTS Sdn. Bhd.
Pada 2010, ketika kali pertama beliau selaku seorang penulis, mengeluarkan modal menyewa sendiri reruai di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) dan menjual buku sendiri, bukan bawah penerbit atau syarikat penerbitan.
Beliau pada asalnya mula berjinak jinak selepas mendapat jemputan Sekolah Menengah (P) Raja Zarina Klang menganjurkan bengkel dan ketika itu ramai pelajar ingin menerima bahan penulisan. Beliau berkunjung ke sekolah berkenaan setelah menerima undangan bertemu dengan pelajar sempena Minggu Perpustakaan sekolah tersebut. Bagi beliau ia merupakan satu pengalaman dan kenangan berharga yang tidak mungkin dilupakan kerana berpeluang beramah mesra dengan pelajar.
Menurutnya, ketika itu dia diberi dua meja bersebelahan kantin untuk mempamerkan buku-buku syarikat PTS.
Beliau membawa dan memperkenalkan sembilan buah buku AinMaisarah.
Selain itu, Ain Maisarah turut membawa novel-novel remaja PTS yang lain juga dan mendapat pujian daripada kalangan pelajar yang menyatakan novel berkenaan.
Daripada situ ada cara dan peluang promosikan buku untuk menjana pendapatan.
“Ini kali pertama saya menjual karya dan dan guna pelbagaikan lagi cara, ” ujarnya.
Bagaimanapun beliau berharap penulis terutama golongan muda yang baru berjinak jinak dalam bidang tersebut supaya membuang perasaan malu dan introvert .
Ini kerana apabila ingin menjual hasil karya sendiri mereka perlu agresif dan ada keyakinan karya mereka
Cabaran lebih besar bakal mereka tempuhi apabila karya mereka dikritik, ditegur daripada pembaca yang mempunyai kerenah dan cita rasa yang pelbagai .
“Jika mereka dikritik, dikutuk, perlu berjiwa besar terima segala kritikan apa sahaja yang perlu diperbetulkan ditegur,” katanya.
Selain itu, penulis yang mahu mempromosi sendiri karya atau swaterbit ini perlu memastikan mempunyai karisma dalam kerja-kerja menjual dan menulis karya
“Saya nasihatkan penulis muda supaya amalkan pendekatan mudah . Macam saya gunakan pendekatan story telling di sekolah sekolah, memberitahu pembaca apa menariknay penulisan kita.
“Saya tidak sebut supaya beli buku tetapi lebih kepada mengenali kandungan,” kata Ain Maisarah yang memiliki syarikat sendiri yang diasaskannya Blinkbook.
Bagaimanapun, kata Ain Masarah, buku yang bagus akan menarik perhatian pembeli dan mereka akan menunggu keluaran seterusnya hingga mengumpul koleksi buku penulis yang mereka minati.
Beliau turut mengakui peranan media sosial yang beliau sentiasa memanfaatkan penggunannya supaya pembaca sentiasa mengetahui perkembangan terkini.
Beliau juga berharap penulis muda sentiasa bersemangat dan sentiasa mencari ruang dan peluang melakukan sesuatu yang lebih mencabar.
“Saya sampai sekarang saya sentiasa kreatif dan berinovasi dalam kerjaya ini. Setakat ini saya menjalinkan hubungan kira-kira 1,000 sekolah,” kataya yang mengambil contoh usaha gigih penulis Abd. Latip Talib. -UTUSAN










