Hamka bukan lagi milik bangsa Indonesia. Tetapi, juga telah menjadi kebanggaan bangsa-bangsa Asia Tenggara”
Demikianlah kenyataan Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ke-2 pada tahun 1974 ketika menganugerahkan Doktor Kehormat kepada Buya Hamka oleh Universiti Kebangsaan Malaysia.
Hamka ialah tokoh ulama dan penulis terbilang di Nusantara. Nama sebenarnya ialah Abdul Malik Karim Amrullah, dilahirkan pada 17 Februari 1908 dan meninggal dunia pada 24 Julai 1981.
Almarhum seorang pendidik, ulama, wartawan, sasterawan, budayawan, sejarahwan, politikus dan negarawan.
Justeru, apabila diizin Allah dapat melancong ke Padang dan Bukittinggi, Indonesia, salah satu tempat menarik yang dapat dikunjungi adalah Museum Rumah Kelahiran Buya Hamka yang terletak di sekitar tepian Danau Maninjau atau lebih tepat lokasinya di Jorong Batung Panjang, Nagari Sungai Batang, Kecamatan Tanjung Raya, Kabupaten Agam, Sumatera Barat, Indonesia.
Ketika bas pelancong menyusuri daerah Danau Maninjau, mata ahli rombongan terpukau dengan pemandangan yang sangat indah suasana pergunungan yang dilingkari kabus dan Tasik Maninjau yang seolah-olah sedang berombak.

Setelah hampir dua jam perjalanan, bas pelancong sampai di Museum Rumah Kelahiran Buya Hamka. Kedatangan ahli rombongan disambut oleh anak putera bongsu Buya Hamka bernama Amir Syakib Hamka yang kini berusia 70 tahun.
Berdasarkan keterangan Amir Syakib, rumah kelahiran Buya Hamka sudah lama runtuh sewaktu penjajahan Jepun. Namun idea dan usaha membina kembali rumah kelahiran Buya Hamka telah dicadangkan oleh rakyat Malaysia iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim (kini Perdana Menteri Malaysia), Siddiq Fadzil (Almarhum Datuk Dr.) dan Datuk Ahmad Azam Abd Rahman yang merupakan orang kuat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ketika itu.
Bersumberkan bantuan dana pelbagai pihak terutamanya dari Malaysia, muzium Buya Hamka telah dapat disiapkan dalam tempoh 11 bulan dan dirasmikan pada 11 November 2001.
Seperti yang diberitahu oleh Amir Syakib, sejak muzium itu dibuka kepada umum, pengunjung yang paling ramai datang adalah dari Malaysia.
Memasuki muzium Buya Hamka, banyak dipaparkan tentang riwayat Buya Hamka. Dipaparkan salasilah, perjalanan hidup, dan buku-buku karya Buya Hamka yang meliputi pelbagai bidang.
Dipaparkan juga tongkat-tongkat yang digunakan Buya Hamka, mesin taip yang digunakan Buya Hamka untuk menulis dan potret Buya Hamka bersama tokoh-tokoh nasional Indonesia. Malah berdekatan tebing tangga, diletak poster besar yang mengandungi kata-kata bijak Buya Hamka.
Paling menarik, menurut cerita Amir Syakib bahawa ayahnya pernah dipenjarakan pada zaman pemerintahan Presiden Soekarno atas kesalahan kononnya bekerjasama dengan Malaysia untuk menjatuhkan Presiden Soekarno.
Sedangkan Hamka dan Soekarno adalah dua sahabat yang sangat rapat. Malah sewaktu Soekarno meninggal dunia, Hamka diminta menjadi imam menyembahyangkan jenazah Soekarno.
Telah diketahui umum bahawa sepanjang usianya 73 tahun, Buya Hamka telah menulis lebih kurang 118 buah buku, sehingga nama Buya Hamka terkenal sebagai seorang sasterawan dan karya-karya Buya Hamka menjadi rujukan para peneliti pelbagai bidang. Buya Hamka banyak menghasilkan novel dan dua novelnya yang telah difilemkan adalah Di Bawah Lindungan Ka’bah pada
2011 dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck pada tahun 2013.
Antara novel Buya Hamka adalah Si Sabariah (1928), Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (1938), Di Bawah Lindungan Ka’bah (1938), Tuan Direktur (1939), Terusir (1940) dan Merantau ke Deli (1941). Sehingga kini novel-novel Buya Hamka sentiasa dibaca termasuk generasi anak-anak muda pada zaman ini.
Apabila ditakdirkan dapat berkunjung ke Museum Rumah Kelahiran Buya Hamka yang terletak di negara Indonesia, sudah pasti ada bahan kenangan yang mesti dibeli dan dibawa balik ke Malaysia.
Di luar muzium terdapat warung yang menjual buku-buku karya Buya Hamka. Buku yang pertama dihasilkan hinggalah yang terakhir sebelum Buya Hamka meninggal dunia.
Sebagai bahan kenangan, sebuah buku bertajuk Kenang-Kenangan Hidup dibeli untuk simpanan dan bahan bacaan. Isi kandungan buku ini berasal daripada empat tajuk buku dengan judul sama yang telah diterbitkan pada 1951 hingga 1952.
Keempat-empat jilid buku ini kembali diterbitkan dalam satu buku pada tahun 2018 oleh penerbit Gema Insani, Depok, Indonesia.
Dan buku Kenang-kenangan Hidup ini turut ditandatangan oleh putera bongsu Buya Hamka, Amir Syakib Hamka sebagai tanda kenangan buat seorang pembeli yang datang dari jauh.
Antara isi kandungan buku ini ialah Kehidupan Masa Kecil dan Keluarga, Menentukan Tujuan Hidup dan Berkarya, Masuk dalam Pergerakan dan Revolusi Kemerdekaan dan Sahabat Karib.
Biarpun sosok tubuh Buya Hamka telah tiada di dunia ini, namun buku-buku karya Buya Hamka tetap menjadi khazanah bernilai dan berharga buat nusa dan bangsa Nusantara serta sentiasa menjadi rujukan manusia dalam pelbagai bidang termasuk ulama, sasterawan dan negarawan. – UTUSAN









