Apabila sasterawan sukar cari makan

Apabila sasterawan sukar cari makan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebelum ini dibincangkan mengenai isu kesukaran penulis atau sasterawan tempatan yang sukar mencari makan hanya bergantung kepada bidang penulisan semata-mata .

Timbul persoalan , ada pro dan kontra mengenai nasib mereka kerana Malaysia bukanlah syurga bagi pengkarya tempatan . Ini kerana peminat bidang kesusasteraan dan perbukuan bukan ramai peminatnya di tanah air.

Dilaporkan bahawa pada 2022 industri buku di Malaysia menunjukkan perkembangan yang positif.

Pada tahun tersebut, sebanyak 24,317 judul buku telah diterbitkan, meningkat daripada 13,655 judul pada tahun 2021 dengan sumbanghan kira-kira RM4.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2021.

Berdasarkan rekod ini pula adakah penulis atau pengkarya sastera menganggap sesuatu yang memberangsangkan.

Dari segi pendapatan, pasaran buku di Malaysia dianggarkan mencapai AS$122.20 juta (kira-kira RM510 juta) pada tahun 2024, dengan kadar pertumbuhan tahunan kira-kira 0.92 peratus sehingga 2029.

Selain itu, kajian oleh Picodi.com mendapati bahawa 76 peratus rakyat Malaysia membeli sekurang-kurangnya sebuah buku setahun, dengan 19 peratus membeli buku setiap bulan. Ini menempatkan Malaysia di kedudukan keenam paling aktif dalam pembelian buku secara dalam talian dalam kalangan 41 negara yang dikaji.

Secara keseluruhan, industri buku di Malaysia menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan, baik dari segi penerbitan mahupun jualan.

Penulis prolifik , Datuk Dr. Lim Swee Tin berkata, agak sukar bergantung kepada buku atau novel.

Justeru katanya, jika memiliki aset seperti tanah, mereka boleh berkebun atau usahakan pertanian. Jika tinggal di pesisiran dan ada pulau-pulau, usahalah bot penumpang untuk tujuan pelancongan, jadi pensyarah sambilan, jadi penerbit buku, buka warung makan dan sebagainya.

“Sastera bukan untuk cari makan, minat membaca belum menjadi amalan, jadi tidak banyak yang membeli buku sastera.

Dengan satu buku sahaja, kelihatannya sukar. Mungkin ada, bukan mustahil. Tetapi, berapa ramai. Lagi pun pasaran buku di negara ini tidaklah sebesar mana.

Dengan hanya ada satu novel, berapa ratus ribu naskhah terjual? Puluhan ribu? Bersyukur kalau ribuan!

Kata beliau lagi demi kelangsungan hidup pengarang pelru “multiskill”.

“Ini bukan bertujuan memperkecilkan peranan atau sumbangan pengarang, atau menyentuh mana-mana individu. Saya seorang pengarang. Selama bertungkus lumus berkarya sambil itu saya juga membantu penerbit buku-buku saya memasarkan buku demi memperoleh royalti yang lebih besar, “ ujar beliau

Bermakna kata beliau, pengarang perlu ada sumber pendapatan lain bukan bergantung hidup kepada karya sahaja.

Sasterawan Sarawak Abang Patdeli Abang Muhi bersetuju bidang sastera bukan untuk cari makan.

Ada beberapa faktor kata beliau, antaranya minat membaca belum menjadi amalan, jadi tidak banyak yang membeli buku sastera.

Kedua, banyak sangat genre, sedangkan pembaca terbatas, dan pembaca ada genre yang diminati masing-masing yang menyebabkan mereka hanya membeli genre yang digemari

Pokoknya, rata-rata pengarang (sastera) menulis bukan untuk cari makan, tetapi sebagai seniman tulen. Memang ada yang menulis untuk menambah pendapatan, tetapi bilangannya agak sedikit.

“Saya berpendapat boleh cari makan dengan sastera, tetapi perlu mempelbagaikan kaedahnya seperti mengadaptasikan karya masing-masing menjadi filem, drama pentas (berbayar), menghasilkan animasi berdasarkan karya sastera dan embangunkan kandungan AI berdasarkan karya sastera,” ujar Abang Patdeli.

Bagi tokoh Sasterawan Sabah Hasyuda Abadi, memang agak sukar sekiranya sasterawan atau penulis tidak mendapat sokongan agensi tertentu.

Ini kerana sekiranya penulis atau pengkarya tidak berusaha memasarkan karya mereka sendiri maka agak sukar untuk menjual atau memperoleh pendapatan menerusi jualan .

Sekiranya ada pihak lain membantu seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau penerbit memasarkan karya berkenaan dan membayar royalti yang banyak, maka penulis memperoleh pendapatan yang tinggi.

Kalau penerbit karya berkenaan membayar pada harga rendah, itu akan menjadi masalah pengkarya memperoleh pendapat lumayan.

Seorang lagi pengkarya prolifik Ramlee Awang Murshid mengakui meski pun ada penerbitan buku tetapi pasaran menurun namun ia bukan faktor susah cari makan.

Kini selepas lima tahun pasaran buku jatuh telah mula berlaku kebangkitan klata beliau.

“Novel-novel saya pun terkesan sama namun masih boleh cari makan lagi. Saya bersyukur dan berasa beruntung kerana syarikat RAMFC membantu jualan ujar Ramlee yang telah menghasilkan 50 novel sejak 1995. Beliau menambah, penulis perlu menghasilkan bermacam-macam kisah menarik,

Penerbitan novel tahun ini menunjukkan kebangkitan semula dunia novel menunjukkan penulis masih boleh mencari makan menerusi penulisan

“Yang penting kita perlu bijak mengadaptasi diri dengan suasana semasam, “ ujar beliau.

Pendapat penulis tempatan itu mungkin sesuatu yang per,u mendapat perhatian banyak pihak supaya pengkarya kita tidak menjadi pengemis sedangkan sumbangan mereka amat bernilai.

Sekadar contoh, kita belum melahirkan melahirkan J. K Rowling yang popular dengan novel Harry Potternya. Sekurang-kurangnya tidak ada lagi luahan rasa tidak puas hati berkenaan isu atau mogok seni kedua yang pernah berlaku satu ketika dulu. Penulis juga manusia biasa yang perlu pendapatan demi kelangsungan hidup.

Kini antara yang boleh dilakukan oleh penulis untuk terus hidup dengan karyanya adalah menjadi penerbit kepada karya masing-masing.

Itu pun mereka perlu pastikan supaya menghasilkan karya yang memenuhi permintaan pasaran atau sudah mengenal pasti kelompok pembaca.

Dana RM 50 juta yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2025 diharap tempiasnya dinikmati penulis. Dewan bahasa dan Pustaka (DBP) Yayasan Karyawan dan Institut Terjemahan Negara Berhad diharap ada perancangan bagaimana memanfaatkan dana tersebut untuk menyuburkan industri perbukuan dan penulis sekali gus mengangkat martabat. golongan tersebut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN