PEMUISI giat perjuangkan sastera, muda sibuk bermain Tiktok

PEMUISI giat perjuangkan sastera, orang muda sibuk bermain Tiktok

PEMUISI giat menyemarakkan aktiviti sastera dengan penyertaan lebih ramai golongan muda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam arus kemodenan ini, banyak cabaran yang timbul dalam memperjuangkan kesusasteraan warisan bangsa, khususnya genre puisi. Selain kerajaan, peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti PEMUISI penting dalam menyemarakkan bidang kesasteraan serta berusaha mengangkat martabat puisi di persada sastera negara.

Jika hendak menuding jari, ramai pihak boleh dipersalahkan, NGO kerajaan, swasta malah sekolah sekali pun mungkin juga mangsa tuding jari kita, tapi itu bukan penyelesaian.

Justeru apabila Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) mengambil tanggungjawab menganjurkan banyak program deklamasi puisi , maka usaha tersebut wajar disokong bagi mengelak minat orang ramai terhadap bidang sastera genre puisi terus menipis khususnya dalam kalangan generasi muda.

Bagi mencapai maksud tersebut PEMUISI bertindak sebagai platform kepada generasi muda mudi untuk mengembangkan bakat.

Namun pertubuhan tersebut menyedari dan mengenal pasti beberapa cabaran dalam perjuangan memartabatkan puisi sastera tanah air. Cabaran ini meliputi cabaran di luar dan begitu juga cabaran dalam sesebuah persatuan atau badan bukan kerajaan itu sendiri.

Menurut Presidennya , Datuk Dr. Radzuan Ibrahim, cabaran di luar, antaranya sikap terkini golongan muda mudi yang semakin tidak meminati puisi.

 

Ini kerana kata beliau, banyak diperkatakan bahawa puisi kini hanya diminati dan dihayati golongan berusia manakala anak muda semakin menjauhkan diri daripada puisi dan hanya leka dengan peranti, permainan video serta gemar melayari media baharu seperti TikTok, Facebook, Instagram dan sebagainya.

“Soalnya, mengapa terjadi fenomena sedemikian? ujar beliau

Radzuan berkata, sistem pendidikan kita telah menghapuskan mata pelajaran sastera khususnya puisi dalam silibus pembelajaran arus perdana.

Ini menyebabkan sastera sudah tidak lagi didedahkan dalam kalangan pelajar kita, menyebabkan mereka semakin jauh dan akhirnya tidak lagi meminatinya. Budaya membaca menjadi semakin kurang dan anak muda kita berpindah meminati perkara-perkara baharu dalam teknologi moden masa kini.

Maka kata beliau, dasar-dasar yang sedia wujud haruslah dipertingkatkan penguat kuasaannya, dan dasar baharu harus digubal bagi mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Salah satu cara adalah dengan memartabatkan sastera, yang sekali gus mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Banyak lagi isu berkaitan bahasa yang belum diselesaikan seperti penggunaan bahasa Melayu di sektor awam dan swasta,iIsu papan tanda jalan dan perniagaan, isu kuasa penguat kuasaan bahasa kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Apapun, penguat kuasaan undang-undang dalam memartabatkan bahasa Melayu amat diperlukan, bukan sekadar memberi nasihat atau teguran semata-mata.

Usaha berterusan dalam isu bahasa ini akan memberikan impak yang besar, terutama dalam konteks penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat dan dalam masa yang sama memupuk minat mereka kepada aktiviti puisi dan sastera.

Selama ini ramai yang mempersoalkan kerelevanan kesusasteraan Melayu dalam konteks kehidupan seharian. Bagi mereka, sastera Melayu bersifat abstrak, tidak sebagai mana sains dan matematik. Justeru, sikap anak muda yang kurang membaca akan menyebabkan mereka semakin jauh daripada berteduh di bawah bumbung sastera.

Selain itu, bidang kesusasteraan Melayu dianggap tidak menjamin pekerjaan seperti bidang-bidang yang lain.

Dalam hal ini, aktiviti dan program puisi sastera Melayu harus diperhebatkan supaya berkembang secara menyeluruh di seluruh negara.

Sehubungan dengan itu kata Radzuan, PEMUISI kerap menganjurkan pelbagai aktiviti dan program bagi mengangkat martabat kesusasteraan tanah air.

Antaranya, PEMUISI merupakan NGO seni sastera budaya yang pertama mengesyorkan kepada kerajaan melalui DBP , dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) supaya diadakan satu hari khusus yang dinamakan Hari Puisi Malaysia (HPM).

Dengan adanya perisytiharan kerajaan kementerian berkenaanbermula 2021, maka sambutan Hari Puisi Malaysia (HPM) diadakan pada 13 Jun setiap tahun dan disambut oleh seluruh rakyat Malaysia.

Selain itu, PEMUISI merasakan perlu diadakan perubahan dalam deklamasi atau cara bacaan puisi.

Memandangkan perkembangan teknologi terbaharu dan demi untuk menarik minat anak muda terhadap puisi, pertubuhan berkenaan telah merangka dan membentuk corak deklamasi puisi artistik yang lebih moden.

Radzuan berkata, berdasarkan perkembangan terkini pihaknya tidak menolak jika yang berkaitan AI juga akan dimasukkan sama dalam persembahan deklamasi puisi artistik pada masa hadapan.

PEMUISI yang kini memasuki empat penubuhannya, juga pernah menganjurkan Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) yang mendapat sambutan luar biasa, terutama dalam kalangan muda mudi.

“PEMUISI diharap menjadi platform kepada muda mudi untuk bergiat dan memupuk minat berpuisi. Setiap kali aktiviti ini diadakan, PEMUISI memastikan golongan muda mudi diundang dan membuat persembahan,” ujarnya.

Dari segi keanggotaan , terdapat sayap muda mudi PEMUISI atau Kerabat Remaja PEMUISI yang terdiri daripada pelajar-pelajar di peringkat sekolah, kolej atau universiti. Dengan peluang yang terbuka luas, dapat dilihat sudah ramai muda mudi yang telah mula mendekati PEMUISI.

PEMUISI yang ditubuhkan pada 2019 mempunyai keanggotaan yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, agama, pelbagai pekerjaan dan taraf hidup. Penglibatan masyarakat dalam puisi kerana puisi sastera dapat mengimbangi aspek kehidupan manusia. PEMUISI dengan visinya, Suara Kemanusiaan Sejagat’ dan ‘Memasyarakatkan Puisi’ telah menjalankan kegiatannya bukan sahaja di peringkat nasional, malahan juga di peringkat antarabangsa. Antaranya program Konvensyen Pemuisi Sedunia (KONPES) yang diadakan dua tahun sekali dan kali terakhir telah diadakan di Bachok Kelantan pada September 2023 dengan penyertaan lebih 200 peserta daripada 12 buah negara.

PEMUISI juga telah memsastera berikan penghargaan kepada tokoh-tokoh PEMUISI yang berjasa dan mengangkat martabat puisi tanah air. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN