Apabila dunia kini berlaku peperangan di antara beberapa negara yang bersengketa dan bersifat kejam, jutaan nyawa terkorban. Paling menyedihkan golongan wanita dan kanak-kanak yang banyak menjadi korban peperangan.
Justeru itu, buku kumpulan puisi Berdamailah Sengketa karya Abdullah Shuib, antara 123 buah buku yang berjaya diterbitkan menerusi projek penerbitan Buku PENA – Malaysia Madani 2024 adalah luahan penulis tentang kekejaman dan kehilangan sifat manusiawi terhadap peperangan yang tiada titik noktahnya.
Ini amat jelas pada petikan Prakata, Abdullah menyatakan judul buku Berdamailah Sengketa dipilih atas kesedaran bahawa sudah sampailah masanya dunia yang diselimuti perpecahan ini harus kembali kepada keamanan dengan mengeratkan perpaduan. Sebarang tindakan yang di luar peri kemanusiaan harus dihentikan demi mengembalikan keamanan yang menjadi hak semua insan untuk mengecapi nikmat Tuhan yang adil dan saksama mengikut lunas-lunas yang ditetapkan.
Abdullah Shuib seorang penulis puisi, cerpen dan novel sejak tahun 1980. Sajak pertama beliau tersiar di akhbar Mingguan Malaysia bertajuk Amat Sukar. Malah Abdullah turut memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2001.
Abdullah merupakan seorang pesara guru telah menerbitkan novel remaja Di Bawah Rumpun Silara, Eastview Publications, 1995 dan kumpulan puisi “Raung Merdeka”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2008.
Hadiah yang pernah diraih adalah Tempat Pertama, Sayembara Anugerah Puisi Sejarah Nasional, 1991; Hadiah Utama Pertandingan Karya Seni Kreatif Puisi Kebangsaan PNB, 1999; Hadiah Sagu
Hati Kategori Cerpen Peraduan Formula Malaysia, 2000 dan Hadiah Penghargaan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, 2001.
Setelah dibaca 60 puisi yang mencakupi pelbagai tema, ada dua buah puisi yang tajuknya memperkatakan tentang persengketaan dan peperangan.
Dua puisi itu adalah Berdamailah Sengketa dan Menyalak Keamanan. Tidak dinafikan kesemua puisi dalam buku ini menyerapkan unsur estetika dan kehalusan seni puisi. Paling menarik, hampir kesemua puisi menggunakan unsur metafora untuk pembaca berfikir dan memahami maksud puisi.
Diperturunkan sepenuhnya dua buah puisi yang dinyatakan tadi.
BERDAMAILAH SENGKETA
Berdamailah sengketa
di pentas dunia
kembalikan hak, kepada haknya
maruah ingin dipertahankan
daripada kalah menanggung malu.
Antara benar dan salah
saling beradu
walaupun diingatkan pepatah –
kalah jadi abu
menang jadi arang
namun tetap mahu berjuang.
Berdamailah sengketa
di pentas masalah
yang salah memohon ampun
yang betul ampunkan
buang yang keruh
ke hutan resah.
MENYALAK KEAMANAN
Puisi tidak akan dapat menghentikan peperangan
menghantar peluru kata
ke daerah berdarah
selagi keadilan tidak ditegakkan
selagi kebenaran terus dijajah
oleh alasan-alasan
yang sengaja direka
demi menggapai cita.
Manusia menjadi katak
berjiwa murah
yang mati percuma
digilis kuasa.
Jelas kedua-dua puisi ini memperkatakan tentang keamanan yang perlu dinikmati oleh makhluk bernama manusia. Sejarah membuktikan bahawa peperangan meninggalkan kesan yang amat mendalam terhadap kehidupan manusia.
Unsur hiperbola dapat dikesan dalam puisi Menyalak Keamanan. Adakah keinginan memberhentikan peperangan hanya perbuatan yang sia-sia? Seperti perbuatan anjing menyalak bukit.
Ini dapat dikesan apabila ada negara terus-terusan menyerang dan berperang tanpa ada perasaan belas ihsan terhadap ribuan manusia yang terkorban nyawanya.
Apakah tidak ada jalan penyelesaian mendamaikan persengketaan kerana negara gila kuasa memiliki hati yang luar biasa tentang peri kemanusiaan? Banyak nyawa yang terkorban kerana peperangan adalah ‘mati katak’, mati yang sia-sia kerana dianiaya manusia bersifat kejam.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia mesti sentiasa bersepakat demi perpaduan kaum yang berbilang bangsa. Keamanan dan kedamaian yang dimiliki sekarang mesti dipelihara supaya tidak berlaku persengketaan dan peperangan.
Sejarah Malaysia sendiri telah tercatat tentang peperangan apabila Malaysia pernah dijajah ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511 hingga Perang Dunia Kedua pada tahun 1942. Malaysia pernah dijajah Portugis, Jepun dan British.
Sewaktu Malaysia dijajah inilah rakyat Malaysia mengalami kesukaran dan kesengsaraan dalam kehidupan dan menghadapi kekejaman penjajah. Ketika Malaysia dijajah Jepun pada tahun 1942 hingga 1945, kehidupan rakyat amat menyedihkan dengan kesukaran mendapatkan makanan dan sentiasa dalam ketakutan kerana kekejaman tentera Jepun.
Malah Malaysia turut berdepan dengan Parti Komunis Malaya yang melancarkan pemberontakan bersenjata menentang pemerintah British termasuk menghuru-harakan kehidupan rakyat Malaysia yang ketakutan sepanjang masa.
Ini dinyatakan oleh penulis Abdullah melalui puisi bertajuk Tabahlah Malaysiaku dan Malaysia Memilih. Diperturunkan sepenuhnya sajak tersebut.
TABAHLAH MALAYSIAKU
Tabahlah Malaysiaku
meniti tiap liku
biar luruh air matamu segantang
jangan luruh semangatmu berjuang
langkah ini akan terus diatur
iktibar jadikan guru
biar di hadapan duri beronak
pantang pahlawan berundur tidak
ketakutan sentiasa menerpa
dari segala penjuru
ngaum serakah harimau dan singa
menggentar sukma
demi bumi pertiwi yang menopang kaki berdiri
serta langit biru yang memayungi nusa
Malaysia akan terus maju menapak ke muka
menghela nafas di persada dunia.
MALAYSIA MEMILIH
Malaysia memilih biru
sebiru nila langit
buat burung-burung
riang bertebaran
berpapasan menuju arah tuju.
Malaysia memilih putih
ke kapas awan bersih
meneduhkan panas mentari
dan dingin hujan
menimpa atap rambut.
Malaysia memilih kuning
sesayup padi di bendang
senyiru budi ditatang
menampi beras gemilang.
Malaysia memilih merah
semerah sirap
menghirup manis nikmat
di bumi berkat.
Kesimpulannya, puisi mampu menjadi alat menentang kezaliman sama ada peperangan, pemerintah, rasuah, kejahatan dan sebagainya yang boleh mewujudkan suasana kehidupan dalam ketakutan dan tidak harmoni. Justeru, puisi bukan sekadar kata-kata yang puitis dan indah, tetapi kata-kata yang menentang kezaliman dan kekejaman sesama manusia. – UTUSAN










