PENAMA meneruskan tradisi membimbing penulis

Meneruskan tradisi membimbing penulis

SEBAHAGIAN peserta peserta-pada hari kedua, Bengkel Pemupukan Pengkarya Wibawa 2024 (BPP) di Melaka, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKANLAH sesuatu luar biasa bagi persatuan penulis menganjurkan bengkel penulisan untuk manfaat ahli atau calon penulis di lingkungan. Namun, penganjuran dengan pendekatan bengkel secara bergabung genre jarang-jarang dilakukan. Demikianlah terciptanya kenangan bagi 35 peserta Bengkel Pemupukan Pengkarya Wibawa 2024 (BPP Wibawa) anjuran Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA) baru-baru ini.

BPP Wibawa menampilkan tiga pembimbing iaitu Zaiton Abu Samah, bekas editor di Bahagian Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pembimbing bidang esei/kritikan, manakala Tuan Ab Rani Embi (penyair/penyajak) diamanahkan sebagai pembimbing penulisan sajak. Sementara itu, Lily Haslina Nasir, novelis tersohor yang juga alumni Minggu Penulis Remaja DBP diberikan tanggungjawab sebagai pembimbing bidang cerpen.

Program BPP Wibawa 2024 diadakan bagi mencapai misi memupuk pengetahuan tentang ilmu penulisan kreatif dan non kreatif selari dengan Rukun Madani dalam aspek daya cipta.

Selain itu, misi program juga adalah untuk mendukung proses kemajuan bahasa dan sastera melalui penulisan dalam kalangan peserta projek. Penganjur juga ingin menggerakkan pasukan penerbitan buku dalam usaha menerbitkan karya kreatif dan non kreatif peserta.

Bengkel dua hari itu berlangsung di dua premis berlainan. Pada hari pertama, bengkel dijayakan di premis niaga milik seorang ahli PENAMA.

 

Zaiton dan Lily bergabung tenaga dengan berkongsi pentas bimbingan dengan para penulis yang berlatarkan pelbagai peringkat pengalaman. Perkara yang paling berharga dapat dikongsikan dengan peserta adalah pengalaman pengkaryaan, termasuk kaedah menghasilkan karya yang mudah menembusi ruang karya di majalah, akhbar atau media lainnya.

Lily Haslina dengan himpunan puluhan karya kreatif khususnya novel tidak lokek dengan petua berkarya. Novelis yang pernah memenangi lebih 15 anugerah perbukuan dan kewartawanan cenderung berkisah tentang pengalamannya menangani karya novel, termasuk Menunggu Cinta Tuhan (PTS Litera, 2009), Pulang (Karya Seni, 2018), Sesekali (DBP, 2019), dan Layar Damar (Karya Seni, 2024).

Meskipun menulis cerpen tidak seberat menekuni kerja menulis novel, petua-petua yang dikongsikan dapat merangsang minat calon penulis cerpen dan novel.

Peserta kian teruja apabila Zaiton Abu Samah turut berkongsi petua tentang penulisan esei atau rencana yang memenuhi keperluan piawai penerbitan majalah DBP. Lebih bermakna lagi, para peserta turut didedahkan konsep hak cipta dan harta intelek dalam ranah pengkaryaan.

Dalam kepadatan jadual bengkel, PENAMA bagaikan pihak yang mendapat dua kali laba dalam satu penganjuran. Pertama, bukan mudah menggabungkan tiga orang pembimbing yang mewakili tiga genre berwacana di satu pentas, tetapi masih mampu menampakkan pertautan dua genre, cerpen dan esei dalam konteks penerbitan yang berwibawa.

Kedua, dalam kesempatan singkat, peserta turut dilimpahkan peluang untuk pergi lebih jauh dalam dunia pengkaryaan menerusi sesi taklimat Dana Penggerak Industri Buku Negara (PIBN) daripada Bahagian Pengeluaran dan Penyelarasan Penerbitan (3P) DBP.

Peserta bengkel, Mohd. Hafizuddin Mohamad Ghazali, mengakui bahawa jadual bengkel padat dengan ilmu dan teknik penulisan serta pendedahan pengalaman penulis yang boleh dicontohi.

“Bengkel yang menghimpunkan penulis mapan dan penulis baharu membuatkan saya teruja ingin berkenalan serta mahu mencedok ilmu daripada mereka,” kata Hafizuddin, yang sempat menggarap cerpen berjudul Debu-debu di Kesang Tua untuk projek BPP.

Hafizzuddin yang juga merupakan Munsyi Muda Bahasa telah menulis dua anekdot, menulis cerpen dalam 10 antologi, selain sudah menghasilkan tiga novelet seram: Pukau Seri Wajah, Penunggu Lubuk dan Puaka Bilik Muzik.

Daripada buku terbitan khas sempena sambutan 50 tahun PENAMA 1970 – 2020, dapat dirumuskan PENAMA dengan reputasi sebagai sebuah badan bukan kerajaan telah melewati sejarah lebih 50 tahun, dipimpin oleh enam insan penulis yang telah kembali menemui-Nya, iaitu Allahyarham Sabtu Manaf (Noor S.M.) yang berkhidmat sebagai Ketua Satu pada 1969 – 1972;

Allahyarham Ahmad Haji Taib, 1972 – 1976; Allahyarham Dr. Othman Puteh, 1977 – 1979; Allahyarham Dato’ Profesor Dr. Sidek Baba, 1979 – 1982; dan Datuk Wira Othman Muhamad, 1982 – 2021. Ketua Satu ketika ini ialah Ahmad Zauawi Che Cob, sejak 2021.

Menurut Ahmad Zauawi, bengkel dua hari itu memanfaatkan dana Inisiatif Belanjawan 2024 yang disalurkan menerusi Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA).

Katanya, tiga antologi dijangka diterbitkan untuk mengetengahkan hasil garapan peserta bengkel. Antologi itu terdiri daripada Suluh Kalbu (cerpen), Suluh Nurani (sajak) dan Suluh Minda (esei/kritikan).

“PENAMA bertuah kerana dalam kalangan jawatankuasa serta ahli ada kepakaran yang dapat membentuk pasukan penerbitan, yang terdiri daripada mentor, editor, pembaca pruf, bahkan

Munsyi Dewan dan Munsyi Muda Bahasa. Semoga kita dapat meneruskan tradisi membimbing penulis untuk menjadi penulis pelapis akan datang,” jelasnya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×