Mastera ke-7 milik Pak Samad Said

Mastera ke-7 milik Pak Samad

SAMAD Said menerima Anugerah MASTERA ke-7 yang disampaikan daripada Pengerusi Lembaga Pengelola DBP SN Datuk Datuk Dr. Anwar Ridhwan sambil disaksikan Hazami (kiri), baru-baru ini. – gambar sumber DBP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dunia kepengarangan tanah air akan terus disemarak dengan karya-karya sastera yang berkualiti untuk tatapan khalayak dan pencinta karya penulisan termasuk yang disumbanglan penulis seperti Sasterawan Negara (SN) Datuk Samad Said.

Namun sastera tempatan terus dahagakan karya yang bukan sahaja membantu menyemarakkan sastera tanah air tetapi menyuburkan bidang penulisan ke persada yang lebih tinggi. Pengkarya tempatan ramai jumlahnya tetapi kebanyakannya sudah berusia dan sumbangan mereka terus dihargai.

Sastera bukan sahaja memartabat bidang bahasa dan penulisan tetapi lebih daripada itu menggerakkan tamadun bangsa dan membantu dalam perjuangan kemerdekaan seperti yang dilakukan oleh ASAS 50 dulu.

Kita sudah memartabatkan 15 sasterawan negara dan kebanyakan mereka sudah menginjak usia.

Sumbangan mereka dalam sastera tanah air tidak dinafikan tetapi sampai bila kita masih terus berharap kepada mereka yang sudah berusia. Adakah penulis muda sanggup mengambil tempat mereka.

Anugerah demi anugerah bagi mengiktiraf sumbangan penulis sudah diperkenalkan sebagai menghargai jasa mereka.

Anugerah itu bukan sahaja di peringkat domestik tetapi ada yang diberi di peringkat antarabangsa termasuklah yang terbaru diberikan kepada Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr. A Samad Said.

Samad baru-baru ini dinobatkan, menerima Anugerah Sastera Mastera sebagai penerima ke-7 yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP.)

Menurut Ketua Pengarah DBP, Hazami Jahari, Samad memberikan sumbangan luar biasa dalam dunia kesusasteraan sama ada di peringkat nasional mahu pun serantau.

“Anugerah Sastera Mastera bukan sahaja satu pengiktirafan, tetapi juga lambang penghargaan tertinggi terhadap dedikasi, kreativiti, dan semangat perjuangan dalam memperkaya budaya dan warisan bahasa bangsa kita,” ujar beliau.

Samad kata Hazami, menunjukkan kepakaran dan kehebatan dalam mencipta karya yang bukan sahaja mengangkat martabat kesusasteraan, tetapi juga menjadi cerminan identiti dan jiwa masyarakat.

Karya-karya beliau telah berjaya melangkaui sempadan geografi dan bahasa, menyatukan rakyat Malaysia dengan nilai-nilai universal yang menyentuh hati dan jiwa pembaca.

Beliau percaya pengiktirafan seperti itu akan menjadi dorongan kepada Sasterawan Negara lain serta penulis-penulis untuk terus berkarya dengan lebih tekun dan kreatif.

Anugerah tersebut diberi oleh Majlis Sastera Asia Tenggara yang diasaskan oleh ketiga-tiga negara asas pendiri iaitu Brunei, Malaysia dan Indonesia menerusi Deklarasi Mastera semasa Kongres Bahasa Melayu Sedunia pada 25 Ogos 1995 di Kuala Lumpur.

Penubuhan Mastera dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Khalid Yunus ketika itu dalam sidang pertama Mastera di DBP pada 1996.

Antara tujuan penubuhan Mastera adalah mengusahakan peluang peluang bersama untuk sasterawan mengembangkan bakat, penterjemahan, penerbitan dan pengiktirafan terhadap mutu karya ciptaan sastera.

Hazami berkata, pada 1 Oktober lalu, beliau mewakili Samad untuk menerima anugerah tersebut daripada Menteri Pembangunan selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan,

Negara Brunei Darussalam Datuk Seri Setia Awang Muhammad Juanda Abdul Rashid dalam majlis penyampaian Anugerah Sastera Mastera 2024 di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, Brunei.

Dalam majlis tersebut, Samad menerima hadiah dalam mata wang Brunei BND3,000, sijil pengiktirafan dalam bentuk plak dan sebidang kain tenunan Brunei.

Dalam pada itu Samad yang berucap dalam majlis tersebut menyifatkan penganugerahan itu ditujukan kepada semua penulis kerana mereka menyumbang kepada bidang kesusasteraan.

Samad atau nama sebenarnya Abdul Samad Muhammad Said merupakan seorang pengarang Melayu yang agak unik dan tersendiri dalam perkembangan penulisannya yang dimulai dengan puisi dan cerpen, kemudian meningkat kepada penulisan novel, drama dan kritikan sastera.

Beliau mengarang dalam tahun 1950, beliau telah memperlihatkan kekuatan daya kreatif yang sentiasa berkembang dan lebih bersifat meneroka. Samad dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Semasa berumur enam bulan, beliayu dibawa oleh keluarganya ke Singapura dan mendapat pendidikan asas dan menengah di sana.
Samad belajar di Sekolah Melayu Kota Raja hingga lulus darjah IV (1940 – 1946) sebelum meneruskan pengajiannya dalam kelas petang di Victoria Institution. Daripada situ, beliau belajar sendiri hingga memperoleh sijil Senior Cambridge (1956).

Sejak di bangku sekolah menengah lagi, Samad sudah mulai berkenalan dengan kesusasteraan di dalam dan luar negeri.

Malah, pengarang-pengarang penting di Singapura seperti Asraf, Usman Awang, dan Han Suyin telah diketemuinya. Sajak dan cerpennya mula tersiar sewaktu beliau masih di bangku sekolah.

Sebelum terbitnya novel Salina yang mengharumkan namanya, Samad membaca karya-karya Ajip Rosidi, Rendra, Pramoedya Ananth Tur , Achdiat, Hamzah dan Wijaya Mala.

Kegiatan menterjemah beberapa karya sastera asing juga secara tidak langsung memperkuat minatnya terhadap kesusasteraan.

Segalanya ini membulatkan tekad dan fikirannya untuk berkecimpung dalam bidang penulisan, dan hasilnya, Samad berupaya menghasilkan penulisan pelbagai genre iaitu sajak, novel, drama, esei/kritikan dan terjemahan.

Daripada pengakuannya yang merendah diri, Samad berkata: “… kalaulah saya diterima sebagai penulis – saya lahir daripada “Batu Belah batu Bertangkup”. Saya masih tetap mendengar cerita ini walaupun orang yang menceritakannya ketika memandikan saya, menyuapkan makan saya dan menidurkan saya sudah tidak ada lagi.”

Pekerjaan pertama Samad ialah sebagai kerani di Hospital Umum Singapura.

Samad kemudian berpindah ke Kuala Lumpur untuk bekerja dengan khbar Fikiran Rakyat di bawah pimpinan Ahmad Boestamam. Selepas enam bulan di Kuala Lumpur, beliau kembali semula ke

Singapura dan bekerja dengan akhbar mingguan Utusan Zaman di bawah Usman Awang.

Karya utama beliau termasuklah antaranya novel Salina (1961) Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri (1966) Sungai Mengalir Lesu (1967), Di Hadapan Pulau (1978), Adik Datang (1980), Langit

Petang (1980) Daerah Zeni (1985) . Hujan Pagi (1992) dan Cinta Fansuri (1985)

Samad juga menghasilkan novel remaja kanak-kanak seperti Bendera Merah di Atas Bukit Lima Kawan ke Rumah Rahsia) dan Jangan Ikut Jalan Ini.

Karya-karya beliau yang lain antaranya kumpulan Cerpen seperti Liar di Api, Daun-daun Berguguran (bersama Salmi Manja), Debar Pertama, Ke Mana Terbangnya Si Burung Senja Panorama Hati Muda Bulan Muda dan Dosa Pejuang

Samad juga menulis esei dan krtitikan Tema dan Tugas Sastera Melayu Moden (bersama Usman Awang) Tangan yang Simpatik dan Antara Bulan dan Wira.
Beliau juiga menulis Warkah kepada Salmi Manja, Antara Bulan dan Wira dan Warkah Eropah.

Terdapat banyak lagi karya Samad termasuklah antaranya drama seperti Di Mana Bulan Selalu Retak, Ke Mana Terbangnya Si Burung Senja, Wira Bukit, Lazri Meon Daerah Zeni , Lantai T. Pinkie, dan Soneta Pohon Ginkgo serta autobiografi Dari Salina ke Langit Petang

Dalam pada itu Sasterawan Sarawak Dr. Abang Patdeli Abang Muhi menyifatkan pengiktirafan dan penghargaan kepada mana-mana penulis tidak mengira faktor umur, wilayah dan suku kaum kerana ia berdasarkan jawatanluasa penilaian.

Katanya, jawatankuasa penilai akan membuat penilaian  berdasarkan kriteria kriteria tertentu yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang pertikaian daripada pihak tertentu.

Apa yang perlu diubah sekiranya berlaku kelemahan  adalah  menilai atau merombak semula semula kriteria kriteria berkenaan, “ ujarnya.

Tiga Sasterawan Negara (SN) yang hadir dalam majlis penganugerahan tersebut turut mendeklamasikan puisi iaitu SN Muhammad Haji Salleh Dr Zurinah Hassan dan Datuk Dr. Rahman Shaari sebagai penghargaan kepada jasa Samad. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×