Kerjaya Datuk Dr. Lim Swee Tin dalam bidang kesusasteraan bukan digapai mudah. Beliau asalnya seorang guru di sebuah kawasan pedalaman di Kelantan. Ada pengalaman mestinya menjadi kelebihan sebagai penulis.
Demikian secara ringkas diungkapkan mengenai sosok tubuh sasterawan tersohor tersebut.
Beliau menjadi guru pada 1973 selepas mendapat latihan perguruan di Pulau Pinang. Beliau tertumpu kepada latihan perguruan terutamam dalam ilmu psikologi.
“Tumpuan saya adalah Bahasa Melayu dan Matematik,” ujarnya yang memilih bidang psikologi kanak-kanak dan remaja sebagai tumpuan.
Maka tidak hairanlah minat beliau dalam bidang penulis psikologi kanak-kanak dan remaja terserlah sejak awal pembabitannya dalam bidang penulisan. Selepas tamat pengajian perguruan beliau terus memilih kerjaya perguruan pada 1974 dan dalam masa berkecimpung dalam bidang penulisan.

Sebelum tahun berkenaan beliau menjadi guru sandaran selama dua tahun dan kerjaya beliau berkembang selepas berpindah ke Kuala Krai pada 1976 kerana situasi sekeliling yang mendorongnya menjadi penulis.
Suasana alam yang menghijau dengan sungai yang mengalir sangat tenang di pinggir bandar Kuala Krai menjadi pemberat utama kepada jiwanya yang damai tetapi tertekan untuk menulis
Apabila teras untuk menulis fokusnya adalah menghasilkan puisi kanak-kanak dan remaja kerana beliau berpendapat kita harus menakluki psikologi supaya dapat menakluk mereka. Maka kata beliau, gaya mempengaruhi atau pun menakluki psikologi, mendorong mereka terasa dekat dengan karya itu antara faktor terpenting.
Dalam bidang pendidikan beliau berkongsi pandangan supaya pedagogi atau kaedah diberi penekanan. Maka beliau memperkenalkan tema yang mula melayan kognitif mengikut kepandaian mereka sama ada kanak-kanak dan remaja supaya tertarik kepada karya dan seolah -olah mereka masuk ke dalam alam mereka.
Swee Tin berkata, penghasilan karya dalam buku itu akan menguji mereka dari segi keilmuan. Dengan kata lain, kaedah itu akan lebih mencabar mereka untuk meluaskan dimensi dan cara berfikir

“Biasanya dalam karya saya begitu, mesti ada satu perempat daripada karya itu yang agak mencabar susah sikit. Mula-mula senang-senang dalam lingkungan hidup atau dalam lingkungan yang terjangkau akal mereka,” ujarnya.
Mengenai bidang kebahasaan yang berkemungkinan satu lagi cabaran golongan muda memahami karya sastera, beliau mengakui perkara itu dan berpendapat sepatutnya bahasa diajar bermula Tingkatan Empat atau Tingkatan Lima.
Ini kerana ada kalangan penulis yang kerap menggunakan bahasa bahasa lama atau arkaid bermaksud kata-kata purba yang masih dipakai. Misalnya kata beliau pawana. Apa itu pawana ?
“Pawana adalah ribut atau angin yang mendayu-dayu Genta ialah loceng yang besar.” Beliau menggunakan kaedah menggunakan bahasa bahsa purba dalam karya karyanya.
“Saya bawa dalam karya-karya saya Jadi mudah-mudahanlah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pun terbuka hati. Terbit ketiga-tiganya semua itu satu sudah terbit dua dalam proses diterbitkan. Dua dalam proses,” ujarnya.
Dari segi karya, beliau merupakan pengarang sastera kreatif sejak era 70-an. Swee Tin muncul daripada semangat yang dibawakan Sasterawan Negara Datuk Dr. Usman Awang sehingga menyemarakkan kekentalan minatnya dalam berkarya. Beliau terlibat dalam pelbagai genre sastera seperti puisi penulisan novel, dan buku. Beliau menghasilkan juga sajak-sajak yang memenuhi ruangan akhbar dan majalah berbahasa Melayu segera mematangkannya dalam penciptaan karya.
Karya-karya beliau mula memenangi hadiah, terpilih mengisi antologi teks kesusasteraan Melayu di sekolah manakala pada 1983, manuskrip (yang belum terbit) kumpulan puisi yang diajukan ke Anugerah Puisi Putra 2 (anjuran Bank Bumiputra, peringkat antarabangsa) terpilih menerima hadiah penghargaan.
Manuskrip Akrab ini kemudiannya diterbitkan oleh DBP pada 1985. Sejak itu, nama beliau menonjol dan karya-karyanya semakin banyak diterbitkan. Beliau merupakan pengarang yang tekun dan gigih. Beliau kemudian menghasilkan pula cerpen, mengarang novel, rencana kesusasteraan dan giat mendeklamasikan sajak di serata pelosok tanah air.
Beliau menekankan aspek kemanusiaan dalam karya, kemasyarakatan, perjuangan, keadilan sosial menurut jejak langkah Usman Awang.
Perkenalan ini mengukuhkan iltizam sasterawan ini untuk terus mencipta karya yang lebih besar mencakup kemanusiaan melangkaui wilayah dan sempadan negara, kebudayaan yang tergugah oleh teknologi yang kian mengasak, kesan perang yang sering ditangisi, damai, alam sekeliling, kasih sayang, selain kerap menyorot isu-isu dalam negara pula.
Dengan yang demikian, karya-karyanya semakin mendapat perhatian masyarakat, sentiasa diperkatakan, menjadi rujukan, dan kerap pula dipilih teks kajian di universiti untuk tujuan disertasi dan sebagainya.

Puisi-puisinya turut diterjemah ke belasan bahasa utama dunia oleh minat dan kecenderungan penterjemah kepada karya beliau, antaranya bahasa Inggeris, China, Jepun, Korea, Rusia, Macedonia, Thai, Tamil, Portugal dan beberapa lagi.
Atas kegigihan dalam berkarya dan tahap pencapai Lim, kira-kira 30 hadiah karya sastera dimenanginya sehingga ini, dengan yang terpenting adalah Hadiah Sastera Perdana Malaysia daripada kerajaan.
Beliau turut diundang menyampaikan deklamasi juga oleh nama beliau yang menyerlah di peringkat serantau serta antabangsa, misalnya di Thailand, Singapura, Indonesia, Republik Rakyat China, Taiwan , dan United Kingdom (UK).
Di UK, beliau merupakan undangan sekretariat penganjur ASEM 2 di London dengan Swee Tin mengisi jadual deklamasi di Royal Festival Hall, pada 1997.
Pencapaian itu sesungguhnya membuktikan beliau antara pengarang sastera kreatif moden tanah air yang terpenting yang telah menghasilkan 181 buku perseorangan manakala lebih 250 lagi dalam bentuk antologi. Pada tahun 2000 , Majlis Anugerah South East Asia Write Award memilih beliau untuk menerima anugerah S. E. A. Write Award di Bangkok, Thailand. Beliau selanjutnya menerima Anugerah Aminuddin Baki (2016) sebagai Tokoh Membaca Kebangsaan.
Pada tahun sama, beliau menerima Anugerah Tokoh Maulidurrasul Peringkat Kebangsaan atas sumbangan besar beliau dalam bidang penulisan karya kreatif dan kerja-kerja kebajikan yang dilakukan. Beliau menerima lima lagi Anugerah Buku Kebangsaan dengan terkini pada 2022 melalui buku biografi terbaik. Sementara pada 2023, Lim dianuegarahkan Tokoh Puisi Kebangsaan 2023 oleh Gabungan Persatuan-persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) manakala yayasan The Brandlaureate antarabangsa menganugerahkan beliau “The Brandlaureate Brand Icon Leadership Award Literary Grand Master 2023”.
Sehingga kini pengarang prolifik ini menghasilkan 42 kumpulan puisi, dengan 110 lagi dalam bentuk antologi, dan ratusan lagi berupa novel, kumpulan dan antologi cerpen, buku kebahasaan dan kajian-kajian kesenian. Satu-satunya anugerah besar yang beliau belum raih adalah Sasterawan Negara.
Yang pastinya beliau akan terus berkarya dan berpandangan golongan muda perlu dicabar untuk memahami menikmati karya karya sastera berat. Maka, cabarannya berat kerana golongan muda bukan lah cepat meminati sastera melainkan novel dan cerpen manakala puisi dan drama agak jauh daripada mereka. Itu belum lagi bidang pementasan pentas seperti makyung dan wayang kulit serta dikit barat yang menjadi elemen penting dalam kebudayaan Melayu.
“Dikir barat sebenarnya milik kita bukan milik negara lain,” ujarnya yang kini menyiapkan sebuah buku coffee table berkaitan dikir barat dengan tujuan memulihara khazanah bangsa itu.
Kesibukan berkarya menyebabkan beliau tidak sedar 12 tahun bersara daripada perkhidmatan sebagai pensyarah di Universiti Putra Malaysia (UPM). – UTUSAN









