Buat penggenggam nyawa media mulia

Buat penggenggam nyawa media

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA tamatkan perkhidmatan di Media Mulia Sdn. Bhd. secara rasmi pada 29 November 2024. Tetapi kerana baki cuti yang masih banyak, 12 November ialah tarikh akhir saya bertugas.

Bolehlah dikira ini (dan bahagian kedua minggu depan) catatan akhir saya di mana-mana produk syarikat ini. Mungkin, kalau ada pun, saya akan hantar karya kreatif di sini nanti.

Maka saya mahu imbas empat tahun gemilang di sini. Saya belajar banyak hal — tentang kewartawanan, penulisan dan semestinya, tentang hidup.

Saya masuk sebagai wartawan tujuh tahun lalu tanpa sedikit pun pengetahuan teknikal tentang kewartawanan. Paling jauh pun, belajar karangan format berita di sekolah dan universiti.

Hari pertama bertugas, saya baca sebanyak mungkin berita yang ada di akhbar Utusan Malaysia dan Utusan Online. Saya bedah dan selidik, cuba dapatkan templat penulisan berita.

Dengan templat itu saya bertatih menulis berita, sambil dibantu rakan dan senior. Saya sedar sedang ketinggalan dengan rakan sejawat lain. Kebanyakannya ada pengalaman empat tahun belajar kewartawanan.

Saya sentiasa teruja mahu belajar tentang kewartawanan dan kerana ilmu kewartawanan saya hampir kosong, teruja selalu berbunga api dalam kepala apabila ditawar peluang belajar itu dan ini.

Peluang berdiri di belakang pengarang ketika mereka menyunting artikel sangat menyeronokkan. Saya boleh lihat apa kesalahan yang dibuat dan bagaimana ia dibetulkan. Herman Hamid dan Aziah Jaafar jadi guru kewartawanan saya yang pertama.

Saya ini anak bertuah Di Media Mulia, kerjaya saya bergerak cepat. Kakitangan sudah berkurang, maka banyak kerja yang biasa dibuat senior pun masuk dalam skop kerja junior.

Tapi saya dapat peluang yang senior pun belum tentu dapat, iaitu kolum muka penuh setiap minggu di Mingguan Malaysia.

Saya namakannya Rondivu dan di situ bab penting dalam sejarah hidup saya bermula. Hal ini dah kerap saya catat, maka kita tinggalkan dulu.

Cuma dengan Rondivu, setiap minggu saya berpeluang mengendali satu muka surat khabar secara hampir penuh.

Saya temu bual pemuzik, tulis rencana, sunting sendiri sebelum serah kepada artis grafik. Selesai direka grafik, saya dapat peluang untuk sunting reka letak halaman itu pula. Selepas itu baru diserahkan untuk diluluskan pengarang.

Kembara penulisan saya di Rondivu, saya percaya, dalam graf menaik.

Sejak di Utusan lama, saya sudah mencuba-cuba menulis rencana. Seninya berbeza dengan laporan berita — lebih halus dan berwarna. Dengan Rondivu, ruang eksperimen terbentang luas.

Daripada awal saya sudah guna laras bahasa aneka adjektif dan puitis. Saya mahukan ketepatan makna dan dalam banyak-banyak golongan kata, adjektif yang paling sarat nuansa.

Tiada pilihan, perlu membaca

Pengalaman pembacaan sangat membantu. Ramai penulis bukan fiksyen fikir bacaan fiksyen tidak bermanfaat. Itu silap.

Kalau penulis hanya membaca apa yang mahu ditulis, gaya mereka tertutup. Penulisan jadi kering dan bertemplat. Mudah kata — bosan.

Tapi tetaplah lebih baik berbanding penulis yang langsung tak membaca. Rukun menulis: perlu lebih banyak huruf yang dibaca berbanding yang ditulis.

Penulis yang tidak membaca tidak akan bertahan lama. Sama ada dia sendiri terpaku tak tahu nak tulis apa atau kerjayanya bertakung.

Bahaya yang perlu diawasi penulis tidak membaca: jangan sampai kecerdasan buatan boleh menulis lebih baik berbanding anda.

Ada wartawan yang cepat selesa. Penulisannya diterima pengarang, dapat muka depan sekali dua terus berbesar hati. Orang begini lambat berkembang, hatinya cepat puas.

Baca Zin Mahmud. Lihat bagaimana Hishamuddin Aun mengumpul dan menyaring maklumat. Letak orang sebegini sebagai penanda aras, baru ada kegesaan untuk menjadi lebih baik setiap hari.

Ada pula wartawan yang nyaman dalam persekitaran kewartawanan kuning. Cekap cari gosip dan cipta spekulasi sensasi, maka rasa diri sudah besar dan hebat. Tapi apabila diminta menulis berita serius tentang seni, tak ada apa yang menyerlah melainkan kejahilan.

Wartawan sebegini perlu fikir maruah diri. Yang kuning memang menguntungkan tapi tak berbaloi untuk nama yang buruk dan tidak berimpak.

Kerja kita melapor atau membentuk fikiran?

Selama tujuh tahun, saya memerhati perkembangan industri media. Ini zaman edan. Kecelaruan berleluasa dan masyarakat bergentayang mencari pemimpin akal.

Dan media selalu gagal mengisi kekosongan itu. Metafora Usman Awang tentang di depan duri dan di belakang api semakin berlapis-lapis apabila kita melihat nasib media hari ini.

Masyarakat tidak peduli. Bagi mereka, media hanya tukang lapor dan pembekal maklumat. Ini melunturkan fungsi media sebagai pembentuk pemikiran dan penyebar ilmu.

Tapi saya selalu percaya, nyawa media ada dalam genggam penulis dan pengarangnya – “kawan-kawan” yang dirujuk Usman dalam sajak Duri dan Api itu.

Selagi penulis dan pengarang ada pegangan lurus tentang kewartawanan, berusaha keras mendalami ilmu menulis serta berani meredah tajam dan panas demi menegakkan kebenaran, media akan terus bernafas.

Kalau penulis dan pengarang bersikap sebaliknya, media akan luput ditelan zaman. Kita terpaksa berpuas hati dengan fungsi sebagai tukang lapor dan penulis pamplet demi sesuap gaji setiap bulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×