Kekuatan metafora dalam puisi

Kekuatan metafora dalam puisi

NOR AINI MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kebiasaannya tajuk buku kumpulan puisi diambil daripada salah satu tajuk puisi di dalam buku tersebut. Setelah membaca 64 tajuk sajak di dalam buku kumpulan sajak “Alam, Hati dan Perasaan seperti Benang Terjahit (AHPSBT)”, tidak ditemukan tajuk sajak sama dengan tajuk buku itu.

Jelas penulis buku ini Nor Aini Muhammad menggunakan unsur metafora untuk memikat pembaca membaca kesemua 64 sajak dalam buku itu. Setelah dibaca kesemua sajak, ditemui dua baris ayat dalam sebuah sajak bertajuk “Pantai Balok di Sisimu Kulepas  Rindu” yang dijadikan tajuk buku.
Alam, hati dan perasaan seperti benang yang terjahit

Menurut Sasterawan Negara, Datuk Rahman Shaari, metafora ialah bahasa kiasan yang menyatakan sesuatu dengan menyebut sesuatu yang lain manakala menurut Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, metafora adalah elemen penting dalam puisi dan menentukan nilai estetikanya.

Seorang penulis atau penyajak yang baik ialah yang banyak menulis menggunakan perlambangan atau metafora sebagai perbandingan dalam kehidupan. Dengan menggunakan perlambangan atau metafora, sesuatu karya sastera itu akan menjadi wacana pemikiran yang berharga biarpun zaman terus berubah kerana pemikiran yang terkandung dalam karya tersebut sentiasa digali oleh pengkaji khususnya pengkaji sastera.

Setelah diamati kesemua sajak dalam buku ini, didapati hampir kesemua sajak terdapat unsur metafora yang membuatkan pembaca berimaginasi dan berfikir untuk mencari maksud sesebuah sajak.

Setelah hampir 60 tahun Nor Aini berkecimpung dalam dunia penulisan sajak, beliau tampil dengan buku ketiga kumpulan puisinya AHPSBT yang mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri.

Secara tidak langsung menggambarkan jati dirinya sebagai penulis mapan berpengalaman.
AHPSBT diterbitkan oleh Persatuan Penulis Alam Maya Malaysia (Jom Sastera) dengan cetakan pertama tahun 2024.

Seperti yang tercatat dalam sejarah sastera tanah air, Nor Aini Muhammad dilahirkan di Kampung Duyong, Kuala Terengganu pada 30.1.1949. Mendapat pendidikan di Sekolah Agama Khairiah dan Sekolah Menengah Sultan Zainal Abidin, sehingga tamat sijil 4 Thanawi dan Sijil Tinggi Persekolahan.

Nor Aini mendapat bimbingan menulis sajak daripada Allahyarham T. Alias Taib dan cerpen daripada Sharif Putera. Sejak sajak pertamanya berjudul “Kepada Gadis yang Tempang” tersiar di majalah Mastika (Disember 1967), sajak-sajaknya sering tersiar di akhbar perdana dan majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Paling membanggakan, sajaknya bertajuk “Mengerti” yang tersiar di Dewan Sastera telah dipilih sebagai pemenang Hadiah Sastera Malaysia 1971. Beberapa tahun kemudian, kumpulan sajaknya berjudul “Perjalanan Mencari Kekasih” telah diterbitkan oleh DBP (1994).

Setelah lama menghilang dalam peta sastera, pena Nor Aini kembali menyemarak dalam antologi puisi dan penerbitan kumpulan sajak yang kedua bertajuk “Mengutip Syahdu” (2022). Nor Aini juga aktif bersajak di alam maya melalui Facebook beliau.

Justeru itu, apakah kelebihan dan kekuatan AHPSBT? Benarkah Nor Aini dapat menguasai unsur metafora dalam sajak-sajaknya?

Bertepatan pandangan dua Sasterawan Negara tentang metafora, Nor Aini telah mengaplikasi unsur metafora dalam AHPSBT dengan menguasainya sebaik mungkin.

Diperturunkan dua sajak sebagai contoh untuk dikesan unsur metafora yang menjadi penguasaan penulis di dalam buku AHPSBT.

PANTAI BALOK DI SISIMU KULEPAS RINDU

Pagi ini
kudakap rindu bertahun
pada senyum mentari
muncul dari sisik awan
putih bersih
bagai muzik klasik
berlagukan siulan burung
yang menari di pohon- pohon.

Alam membias kenangan
hari-hari bersama air mata rindu
perkasihan dua jiwa
yang terakamdi peta ingatan.

Alam, hati dan perasaan
seperti benang yang terjahit
di sehelai baju
menjadi pakaian diri
selamanya.

DETIK JAM DAN DEGUP JANTUNG

Jarum jam di dinding
setiap detik berpusing
hitungan tepat dan tentu
selagi bateri kuat dan jitu.

Jantung di rekah dada
berdetak tiada henti
denyutnya adalah kehidupan
bagi setiap diri.

Tetapi hayat yang hidup
menghidupkan,
antara keduanya
tidak sama
walau hampir serupa.

Hayat melingkari jantung
kekal abadi
sekalipun terhenti
tetapi dalam bateri jam
matinya lenyap sendiri
tiada lagi dicari.

Detik jam
degup jantung
mengingatkan
hujung perhentian
pada setiap permulaan.

Apakah yang ingin disampaikan oleh penulis kepada pembaca? Di sinilah pembaca akan bermain dengan imaginasi mencari makna tersirat yang ingin disampaikan penulis. Biarpun tafsiran pembaca itu pelbagai makna, setidak-tidaknya unsur metafora berperanan menjadikan pembaca seorang pemikir bertaraf intelek.

Dalam AHPSBT terdapat sekelompok sajak bertemakan keagamaan. Juga penulis turut menggunakan unsur metafora bagi memberi kekuatan kepada sajak-sajak yang mendalam mesejnya tentang agama Islam kepada manusia.

Memang tidak dinafikan, sajak yang baik adalah sajak yang bahasanya mempunyai nilai-nilai estetik. Yang apabila dibaca mempunyai maksud yang berlapis-lapis. Atau dalam erti kata lain, sajak tersebut mengandung falsafah. Sajak-sajak seperti ini banyak menggunakan perlambangan atau metafora untuk menyampaikan maksud kepada pembaca.

Puisi yang baik mampu menggerakkan minda dan emosi pembaca ke tahap yang lebih baik, yang berupaya mengembangkan indera dan menganjakkan kebijaksanaan pembaca berdaya intelek.

Kesimpulannya, buku AHPSBT ditulis oleh Nor Aini dengan penuh teliti dan memiliki ciri-ciri sajak yang antaranya tema dan metafora yang mampu menggugah fikiran pembaca mencari maksud yang terbaik dan sesuai dengan situasi kehidupan. Secara tidak langsung sajak-sajak di dalam buku AHPSBT mampu menjadi medium yang mengajak pembaca menghayati pengertian atau mesej yang hendak disampaikan dalam sesebuah sajak dan menjadi wahana dan wacana khazanah sastera bangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×