BUAT peminat animasi tempatan dan mereka yang lahir antara tahun 1980-a dan awal 1990-an pasti tahu tentang siri kartun seperti Hikayat Sang kancil; Usop Sontorian, Kluang Man, Anak-Anak Sidek dan Kampung Boy.
Siri kartun ini antara yang mendapat tempat bagi golongan kanak-kanak pada pada masa itu dengan mengenengahkan karakter dan keunikan sendiri.
Selain itu, jalan cerita yang ringkas dan padat dengan kisah teladan serta pengajaran menjadikan ia antara diminati.

Apa yang paling penting, rancangan kartun pada masa itu walaupun tidak menggunakan teknologi sebagaimana pada hari ini, dilihat sebagai penanda aras awal kepada perkembangan animasi tempatan.
Namun, Presiden Persatuan Animasi Malaysia (Animas) Zahri Zamzuri atau nama penanya Jakall berkata, apa yang menjadi masalah, majoriti rakyat di negara ini masih tidak memahami dan mengetahui potensi animasi yang bukan hanya dijadikan sebagai wadah hiburan semata-mata.
“Setakat ini orang ramai masih kurang faham tentang animasi dan melihat ia untuk kanak-kanak sahaja. Malah ada yang beranggapan semua animasi sama sahaja bermula dari kanak-kanak berumur lima tahun sehingga 13 tahun, walhal tidak.
“Sebagai contoh untuk mereka yang yang berumur lima tahun, ciri kartunnya lain daripada kanak-kanak berumur tujuh tahun. Begitulah seterusnya untuk mereka yang berumur seperti sembilan sehingga 13 tahun “ katanya ketika kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Katanya lagi, terdapat kekangan dalam industri animasi yang memberi implikasi kepada perkembangan industri di Malaysia.
Menurut Zahri lagi, walaupun animasi sudah mencatatkan kejayaan demi kejayaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun ia seakan-akan tersekat dan ketinggalan berbanding animasi luar negara disebabkan beberapa faktor.
“Cerita seperti Upin dan Ipin; BoBoiboy; Mecahamato dan Ejen Ali ini antara kejayaan dalam yang kita sendiri tidak boleh nafikan. Namun masalahnya dana dan geran daripada kerajaan untuk filem animasi yang menelan kos tinggi.
“Sebab itu dana diperlukan. Apatah lagi kalau bercita-cita nak buat filem untuk anugerah. Kita dalam masa yang sama perlu lahirkan lebih banyak siri kartun seperti ini dan memberi peluang kepada semua 400 syarikat animasi yang ada di negara kita,” katanya.

Tambahnya lagi, keempat-empat siri animasi popular dihasilkan syarikat besar iaitu Animonsta Studios; Les’ Copaque Production; Warnakala Studios dan WAU Animation.
Dalam pada itu, Zahri berkata, animasi di negara ini perlu diangkat dan dijadikan sebagai industri yang boleh memberi pulangan jangka panjang serta menjadi salah satu pendapatan terbesar negara.
Katanya lagi, Malaysia perlu menjadikan Korea Selatan sebagai contoh dalam pembangunan animasi yang berjaya memberi keuntungan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyatnya.
Malah menurutnya, ia dalam masa yang sama dapat dijadikan sebagai penanda aras kepada kemajuan industri animasi sesebuah negara.
“Peluang pekerjaan dapat diwujudkan menerusi perkhidmatan yang disediakan syarikat tempatan kepada syarikat luar. Sebagai contoh menerusi kartun Disney. Sebelum ini dalam pembikinan cerita Star Wars, mereka hantar ke Malaysia untuk kerja-kerja pembikinan kesan khas. Begitu juga dengan cerita kartun Dragon Ball dan Slum Dunk yang menggunakan tenaga tempatan.
“Malangnya, disebabkan kita tidak hidu peluang pada masa itu dan kurangnya usaha untuk memberi geran atau dana kepada syarikat animasi, maka kita terlepas peluang lain,” jelasnya.

Katanya lagi, keperluan geran daripada kerajaan bukan hanya untuk digunakan dalam penghasilan filem animasi, tetapi turut melibatkan pembelian peralatan dan bayaran pekerja bagi melaksanakan tugas belakang tabir yang diterima daripada syarikat animasi luar negara.
“Sewa pejabat, gaji pekerja dan peralatan perlu dibayar. Kalau kerajaan beri dana, kita boleh cipta ruang kerjaya kepada banyak pihak.
“ Tambahan pula apabila Disney buang 7,000 pekerja mereka. Siapa yang nak gantikan yang dibuang itu? Inilah peluangnya,” jelasnya. – UTUSAN











