Para ‘hantu’ di Pekan Lama - Utusan Malaysia

Para ‘hantu’ di Pekan Lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kebanjiran para ‘hantu’ memenuhi kawasan Pekan Lama merisaukan Gambiau sejak akhir ini. Para hantu berkeliaran dan bergentayangan tidak menentu arah selalu menimbulkan ketakutan penghuni di sini. Wajah para hantu yang bengis sentiasa kelihatan berlegar di segenap penjuru Pekan Lama.
Gambiau tidak sekali-kali melayani provokasi gila para hantu itu. Bukan pasal takut hantu, tapi mana dia sanggup menghadapi mereka yang biasa datang beramai-ramai membelasah seorang lawan. Hal itu memaksa Gambiau berfikir 10 kali sebelum berdepan dengan mereka secara satu lawan satu.
Kerisauan Gambiau turut sama dirasai oleh Sidek juga. Rakan baiknya sejak sama-sama menuntut di bangku sekolah menengah hingga tamat tingkatan 5 aliran sastera. Sidek benci sikap segelintir para hantu yang besar kepala dan cuba menunjuk lagak di kawasan Pekan Lama.
Para hantu bertambah berani berkeliaran di waktu malam disebabkan mereka yang ramai. Berlonggokkan macam ulat tahi. Apakah Gambiau dan Sidek mampu lakukan selaku orang kecil untuk mengatasi kemelut ini? Selain sekadar melihat para hantu menjadikan kawasan pinggir Pekan Lama itu koloni mereka yang merupakan kawasan tanah perkuburan sesak, kotor, tidak tersusun dan berbau hanyir. Kawasan perkuburan para hantu menularkan banyak gejala sosial, menakutkan sesiapa sahaja melintas di situ.
Gelagat segelintir para hantu yang menjengkelkan menimbulkan rasa muak Gambiau tidak terkira. Hampir setiap pelosok Pekan Lama ini kelibat para hantu dilihatnya bergentayangan sana-sini.
Fenomena ini seolah tiada kesudahan. Kedatangan para hantu tidak harus diambil mudah. Bilangan mereka sekarang sukar dianggarkan. Barangkali sudah mencapai enam angka atau lebih. Gambiau risau bilangan mereka yang bertambah itu tidak mustahil bakal menimbulkan ancaman besar suatu masa nanti. Terutama melibatkan aspek keselamatan yang harus diambil perhatian serius.
“Semua ini angkara para hantu yang tiada disiplin dan pendidikan sivik,” rungut Gambiau yang terlihat bawah tangga sebuah banggunan menuju ke tingkat atas dicemari sampah sarap dan bau busuk meloyakan tekak.
“Dasar makhluk pengotor. Kalau hantu tetap hantulah juga,” kata Gambiau sendirian, nada geram bercampur jijik.
Bermacam spesies para hantu berlegar di pekan ini. Hantu begini memang mendiami ‘kawasan perkuburan’. Kawasan tersebut sudah beberapa kali terbakar hangus gara-gara penyambungan bekalan elektrik haram. Kebakaran mengorbankan harta benda tidak pula membuat mereka rasa serik hendak mendirikan semula koloni di tempat sama.
“Selepas beberapa bulan nanti, kau akan nampaklah para hantu itu akan memacakkan batu nisan mereka semula di kawasan bekas terbakar itu,” kata Sidek pada Gambiau semasa mereka berkereta melintasi kawasan perkuburan yang musnah teruk disambar api dua tahun lepas.
“Ah, mereka itu mana pandai serik. Kalau kawasan perkuburan itu terbakar banyak kali pun, mereka tetap pacak batu nisan di situ juga. Kuburan mereka bertambah cantik pula dihiasi batu marmar,” balas Gambiau, teringat kawasan perkuburan itu tempat bersarangnya segala aktiviti kurang sihat.
“Masalah ini juga berpunca daripada sikap orang tertentu yang berkepentingan, sanggup menggunakan mereka untuk berbagai tujuan lain,” balas Sidek berasa kurang selesa terhadap mereka yang menjadikan para hantu ini alat.
Perkara dibenci Sidek ialah, mereka yang dungu turut menggunakan alasan perikemanusiaan bagi membenarkan para hantu datang ke sini berlindung. Lari menyelamatkan diri daripada pergolakan dan kekacauan di tanah asal mereka hampir berdekad lalu. Alasan tersebut sudah tidak releven lagi di zaman Milenium ini.
“Itulah yang bikin tempat kita ini jahanam oleh tangan-tangan gatal mereka yang menimbulkan masalah.” Gambiau sedar kejadian jenayah melibatkan para hantu sangat menggusarkan.
“Ya, para hantu itu pembawa masalah sosial sahaja.” Sidek bersetuju apa yang Gambiau katakan itu. Sikap segelintir para hantu menimbulkan masalah menyebabkan para hantu lain ikut sama dibabitkan. Sidek senada suara Gambiau dan mahu tindakan lanjut untuk menangani masalah pertambahan para hantu yang sangat kritikal. Bukan mencanangkan isu perikemanusiaan bagi menghalalkan para hantu terus duduk tinggal di Pekan Lama.
Tindakan Tok Bomoh dan Pawang menangkap dan mengusir para hantu menimbulkan rasa tidak senang orang tertentu yang bersimpati. Mereka meminta Tok Bomoh bertimbang rasa atas alasan para hantu makhluk Tuhan. Sidek langsung tidak menzahirkan simpati membuta tuli. Simpati Sidek dan Gambiau ada batasan. Mereka berdua tidak sewenang-wenangnya bersimpati pada hantu yang membuat onar.
Usaha Tok Bomoh memburu dan menangkap para hantu yang terbang bergentayangan tidak mengira waktu mendapat sokongan orang ramai. Sidek dan Gambiau menyambut baik operasi para Tok Bomoh dan Pawang sebagai langkah pencegahan. Operasi tangkapan ke atas para hantu melegakan orang ramai yang selama ini dibelenggui kerisauan dan ketakutan.
Kejadian jenayah melibatkan para hantu beransur-ansur dapat dikurangkan seketika. Para hantu yang ditangkap dimasukkan ke dalam pelbagai jenis botol kaca dan plastik lalu dihanyutkan ke tengah laut atau pun ditanam. Pengusiran para hantu adakalanya kurang berkesan. Para hantu dihantar pulang pasti muncul semula bergentayangan.
“Ah, mereka yang diusir pun tetap datang juga balik ke sini.” Sidek rasa jengkel melihat hantu yang pernah diusir itu tiba-tiba kembali terbang bergentayangan macam Superman. Dia kebetulan bertemu Gambiau di Pekan Lama pada petang Sabtu.
“Kau taulah, botol-botol dihanyutkan ke laut itu, kadangkala tidak sampai ke tempat asal mereka. Botol-botol itu berpatah balik dan terdampar di mana-mana pantai. Kalau orang kita yang terjumpa botol itu pula pasti mereka akan buka penutupnya secara tidak sengaja lalu hantu di dalamnya pun terlepaslah,” kata Gambiau, kesal.
“Seeloknya, botol-botol yang terjumpa itu ditanam saja atau dibuang semula ke laut, tidak usah diusik lagi.”
Sidek dan Gambiau seakan tidak tahu mahu bercakap apa lagi tentang para hantu yang kerap menimbulkan bermacam masalah menyakitkan. Masalah ini turut hangat diperdebatkan di media sosial oleh para netizen.
Sidek dan Gambiau melihat berbagai koman para netizen yang kurang menyenangi kehadiran para hantu ini. Komen-komen panas para netizen merobek mental mereka yang segelintirnya mendokong para hantu. Para netizen saling menegakkan hujah pro dan kontra di antara satu sama lain. Terdapat pula pihak tertentu menggunakan isu agama untuk menghalalkan kemasukan para hantu itu. Sidek kurang menyetujui pendapat sebilangan netizen yang disifatkannya terlalu bias. Dia cuma membiarkan para netizen berperang sesama sendiri tanpa niat ikut menyampuk.
Lambakan para hantu benar-benar menyesakkan fikiran Sidek dan Gambiau. Sidek dan Gambiau sedar, para hantu merupakan makhluk halus yang mampu menjelma bermacam rupa bentuk dan menyukarkan dikesan keberadaannya. Mereka turut menyerap ke bidang ekonomi, politik, pentadbiran, pendidikan, perladangan, perikanan, keselamatan selain menikmati hak keistimewaan seperti orang lain. Ada para hantu mengahwini orang setempat hingga beranak-pinak.
Dua puluh tahun akan datang apakah bentuk kejadian akan berlaku bila para hantu ini berjaya dineutralkan oleh orang tertentu yang berkepentingan?
Selain Sidek dan Gambiau, orang lain turut beranggapan jika para hantu ini menguasai segenap lapangan, bermakna satu malapetaka besar tercetus. Para hantu tidak mustahil menjadi tuan besar kepada masyarakat setempat. Sidek minta perkara ini dijauhkan selagi kawalan keselamatan sempadan diperkasakan setiap masa supaya tidak mudah dibolosi para hantu.
Minggu depan Gambiau mahu menghadiri perhimpunan aman di Pekan Lama. Perhimpunan dianjurkan oleh Persatuan Penduduk Asal Bersatu yang dianggotai kaum peribumi begitu aktif mengadakan perjumpaan di segenap pelosok daerah. Berita tentang perhimpunan tersiar di media sosial mendapat sokongan pelbagai lapisan masyarakat yang ingin turut serta menyatakan bantahan terhadap pihak yang mahu meneutralkan para hantu.
Perhimpunan itu menarik minat Sidek mahu menyertai untuk membuat bantahan di kawasan Pekan Lama. Sidek yakin permit perhimpunan aman itu sudah diluluskan oleh pihak berkuasa.
“Kau tahukah, minggu depan ada perhimpunan di pekan ini?” Gambiau mengingatkan Sidek yang termenung memandang keluar restoran mamak ini ke arah orang lalu-lalang.
“Ya, pengerusi penganjur itu ada buat hebahan di Facebooknya. Bagus juga ada rapat umum sebegitu untuk mendengar penjelasan mereka.”
“Ayuh, kita pergi ke sana mendengar ucapan, manalah tahu ada perkara penting yang mereka mahu sampaikan,” ajak Gambiau.
“Ya, kita bersolidariti bersama pemimpin lain yang mungkin akan berucap di sana nanti,” ajak Sidek penuh bersemangat.
Ketika Sidek dan Gambiau bersiap hendak menghadiri perhimpunan umum di kawasan Pekan Lama pagi Sabtu itu, mereka dikejutkan dengan kebakaran di tanah perkuburan. Asap tebal menghitam jelas kelihatan dari arah Pekan lama, tempat mereka berdiri. Orang di Pekan Lama riuh-rendah menyaksikan kebakaran itu, satu perkara biasa.
“Eh, ada kebakaranlah di kawasan kuburan itu,” kata Gambiau separuh terkejut melihat kepulan asap tebal menghitam di udara.
“Huh, habislah kalau sudah begitu kejadiannya,” keluh Sidek yang berdiri menatap asap itu sejenak.
“Ini mesti pasal penyambungan elektrik haram lagi. Kawasan perkuburan itu sudah banyak kali terbakar. Nasib baik tidak meletup macam bom atom,” balas Gambiau, tersengih.
“Fuh, bom atom lagi dahsyat. Silap-silap kawasan sana itu jadi padang jarak, padang tekukur.”
Sidek tersenyum membayangkan tanah perkuburan itu punah ranap macam bandar Hiroshima dan Nagasaki selepas digugurkan bom atom pada 1945. Gambar bandar Hiroshima dan Nagasaki itu pernah dilihatnya di buku sejarah.
Sidek terus diam membisu. Matanya terpaku ke arah kepulan asap tebal pekat menghitam itu. Dia mengiyakan kata-kata Gambiau tadi memang ada kebenaran yang sukar disangkal.
Kebakaran meranapkan kawasan perkuburan itu tentu berpunca daripada sambungan kabel elektrik haram. Sidek seolah-olah ternampak kelibat para hantu terbang bergentayangan di sebalik asap tebal berkepul menyelubungi langit biru Pekan Lama ini begitu menjengkelkannya. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya