‘Menjual’ budaya dan warisan dalam kartun itu perlu - Kerengge - Utusan Malaysia

‘Menjual’ budaya dan warisan dalam kartun itu perlu – Kerengge

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA yang pernah membaca majalah Gila-Gila atau Geli Hati pasti mengenali nama Kerengge.
Karyanya yang sarat dengan jenaka serta nasihat berunsur sinis sudah cukup membuatkan pembaca tersenyum sendirian.
Tapi berapa kerat yang betul-betul mengenali Kerengge atau nama sebenar Mohamad Hanafiah Ibrahim.
Saya juga begitu dan berpandangan tidak lengkap kalau sekadar mengenali karya tanpa mengenali lebih rapat dirinya. Kemudian saya mengetahui Kerengge menerima anugerah Tokoh Kartunis 2023.
Walaupun tidak seperti anugerah muzik yang sering diberi tumpuan, Kerengge menyifatkan ia sudah cukup bermakna dan memberi dorongan pada dirinya untuk terus berkarya di sebalik kesuraman industri pada ketika ini.
“Ia juga menjadi satu penghormatan terhadap diri saya untuk terus bekerja walaupun orang lebih tertumpu kepada wadah baharu seperti Facebook atau Instagram.
“Ruang sentiasa terbuka. Mungkin kita sahaja yang tidak tercapai di platform media sosial sedia ada,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Selain Lembing Awang Pulang ke Dayang dan Itu Ini Begitu Begini, karya beliau yang turut menjadi tumpuan termasuk 3 Segi 4 Segi dan Diari Rang Bujang.
Di samping kartun, Kerengge turut menjadi insan bertanggungjawab yang melukis logo kumpulan Wings untuk album Hukum Karma dan kulit album pertama Sohaimi Mior Hassan.Dalam pada itu, anak kelahiran Kuala Lumpur ini berkata, karya yang berkualiti dan bagus akan terus kekal dan mampu diketengahkan dalam media sosial.

“Itulah yang menjadi tarikan di media sosial dan pengkarya secara tidak langsung mempunyai pengikut sendiri, sekaligus dapat mengetengahkan karya masing-masing.
“Malah, kalau kita lihat dari segi perkembangan internet dan gajet di samping perkara lain seperti Instagram, Facebook atau Youtube, kartun sebenarnya sudah berkembang dan bercambah.Dengan teknologi yang ada, pelukis boleh pergi ke peringkat global, “ ujarnya.
Jelas Kerengge, ia seharusnya bergerak sebagaimana siri animasi sama ada dalam dan luar negara.
“Dengan adanya teknologi inilah ia semakin maju dengan pembaharuan atau penambahan seperti 3D yang kemudian akan terus dipertingkatkan daripada semasa ke semasa.
“Paling penting sudah semestinya isi kandungan.Kalau menarik masyarakat akan pilih. Namun apa yang paling diharapkan biarlah ada unsur kemelayuan dan warisan supaya dapat membezakan antara kartun dari negara lain.
“Lihatlah Jepun sebagai contoh yang mengekalkan identiti sendiri. Pada saya, karya Upin dan Ipin antara yang boleh dicontohi. Sebab itu, ia turut mendapat sambutan termasuk di negara Indonesia,” ujarnya.
Mengulas berkenaan penerimaan golongan muda terhadap kartun tempatan, dia berkata, ia akan terus mendapat sambutan di semua peringkat.
“Kartun adalah hiburan yang tidak akan diketepikan baik yang tua atau muda sepanjang zaman. Apa yang penting kita perlu tahu kemahuan pengisian dan juga platform sesuai untuk menarik mereka meminati kartun. Kartunis harus berterusan berkarya dengan memberi hasil terbaik,” katanya.
Kerengge turut berharap agar setiap negeri mempunyai Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM) bagi mengetengahkan hasil karya anak tempatan.
“RKKM mempamerkan hasil kerja kartunis sepanjang zaman dan dihimpunkan serta dibaca pengunjung. Selain itu, pengunjung boleh melihat teknik garis lukisan serta sentuhan warna dalam variasi yang mengasyikkan.
“Tambahan pula setiap negeri di Malaysia punyai ramai kartunis. Jadi, ia juga boleh dijadikan sebagai suatu daya tarikan pelancongan dalam dan luar negara di samping boleh juga memberikan peluang ekonomi kepada para kartunis,” terangnya.
Kerengge kini tinggal dan menghabiskan masa di Langkawi dengan menghasilkan barangan cenderahati, karikatur dan juga kerja-kerja grafik. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya