Ikan Singgang, buah Mencupu - Utusan Malaysia

Ikan Singgang, buah Mencupu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Aku mendongak dan melihat tepat pada dahan pohon mencupu yang dilindungi gugusan daun merimbun. Mataku meliar, memerhatikan jika ada buah mencupu sama ada yang sudah masak atau sebaliknya. Pokok itu berada tidak jauh dari rumah pusaka keluargaku dan tumbuh berdekatan tebing sungai. Sebagaimana kelazimannya, pokok ini tidak ditanam tetapi tumbuh sendiri di tebing sungai setelah benihnya dihanyutkan air.
Ia bukanlah buah yang sentiasa mengeluarkan hasil sepanjang tahun, tetapi mempunyai musimnya yang tersendiri dan sukar didapati pada zaman serba moden ini. Malah ramai anak muda yang tidak mengenalinya, jika disebutkan buah mencupu mereka akan terpinga-pinga tertanya buah apakah itu? Bagi sesetengah lokaliti, mencupu mungkin dikenali dengan nama lain seperti ceropu, kecupu dan banyak lagi nama yang hampir sama berdasarkan loghat negeri masing-masing. Jika dicari di pasar-pasar sekalipun jarang sekali peniaga yang menjualnya kerana sukar untuk mendapatkan bekalan.
Masih tersemat kukuh di fikiran bagaimana buah ini sentiasa menjadi rebutan pada umur kanak-kanakku kerana pada waktu itu tiada lagi kehadiran buah-buahan luar, untuk mendapatkan buah tempatan lain seperti durian, rambutan dan sebagainya perlu menunggu musimnya. Itupun, jika ada yang sudi menghulur kerana keluarga tidak mempunyai kebun.
Golongan tua, termasuk ibu menjadikan mencupu sebagai bahan masakan ataupun dimakan sahaja dengan asam. Warnanya kuning, adakalanya oren kemerah-merahan memikat hati setiap orang melihatnya, membuatkan kecur liur dan mengidam-ngidam untuk merasainya. Namun itu lama dulu, kisah yang menjadi sejarah dan jadi sebahagian cebisan-cebisan kenangan yang bercampur baur, kenangan yang membuatkan bibir tersenyum, juga mengalir hangat air mata. Meskipun kini pokok mencupu itu sudah tua, menunggu masa rebah ke bumi, masih mengeluarkan hasil walaupun tidak selebat dahulu.
Sementara, ikan singgang pula adalah menu tradisi bagi masyarakat Melayu di Pantai Timur. Ia boleh disediakan dengan begitu sahaja, tetapi jika terdapat mencupu ia boleh digunakan dengan memasukkannya bersama ikan singgang sebagai pengganti asam keping. Pelbagai jenis ikan boleh digunakan dalam singgang seperti kembung, tambang, selayang dan tongkol. Paling sedap pastilah singgang ikan tongkol. Namun pada masa kanak-kanakku, cukup sekadar anak selayang atau tambang kerana sukar untuk mendapatkan ikan lain yang harganya juga agak mahal.
Kenangan itu mengimbau dalam fikiranku saat aku ralit memerhatikan buah mencupu yang kelihatan kekuning-kuningan. Setelah aku pasti terdapatnya buah yang sudah masak, galah kecil diambil untuk mengaitnya. Sekali jolok, buahnya jatuh ke dalam sungai, jolok lagi dan jatuh lagi ke dalam sungai seterusnya dibawa arus sungai. Sepatutnya ada seseorang yang menunggu di dalam sungai mengutip buah yang jatuh, tapi kini aku hanya berseorangan. Tiada sesiapa yang dapat membantu.
Setelah hampir setengah jam aku mengerah keringat, hanya satu baldi kecil yang diperoleh. Aku jangkakan buah yang jatuh ke dalam sungai pun hampir setengah baldi. Aku hanya tersenyum melihat hasil diperoleh. Galah disandarkan pada dahannya dan baldi yang mengandungi mencupu itu aku angkut bersama. Aku bawa baldi itu ke dapur rumah dan meletakkannya di atas meja. Isteriku yang sudah bersiap-siap untuk memasak makan tengah hari kami kelihatan tenang menyiang ikan di sinki.
“Banyak ke buah mencupu yang abang dapat?”
“Ada la sikit ini, boleh la sebiji dua guna untuk diletakkan dalam singgang terutamanya yang belum masak tu, yang dah masak boleh simpan untuk makan dengan asam petang nanti.”
“Oh… baguslah.”
“Banyak juga buah yang jatuh ke dalam sungai, mungkin ini saja rezeki kita hari ini”. Aku menjelaskan apa yang berlaku.
“Alhamdulillah, abang keluarlah dulu. Tak lama lagi waktu Zuhur, boleh rehat-rehat dulu.” Aku melangkah meninggalkan dapur menuju ke ruang tamu. Di situ kelihatan ibuku melayan kerenah dua cucunya. tersenyum sambil duduk bersandar di kerusi ruang tamu. Kerusi kayu lama itu masih kukuh walaupun umurnya sudah melebihi 20 tahun, aku hanya perlu menukar kusyen sahaja beserta alasnya. Tapi apa yang lebih menarik perhatianku tentulah pemilik susuk badan yang melahirkan aku itu. Perubahan pada diri ibu sudah semakin ketara kelihatan. Kulit wajahnya sudah semakin menampakkan kedutan seribu, tapi senyuman masih tetap manis. Senyuman ikhlas dan penuh kegembiraan menerima kehadiran dua cucunya. Meskipun sikap degilnya masih lagi bersisa.
Tanpa ditemani sesiapa, ibu meneruskan kehidupannya di kampung sebagaimana biasa, seperti arwah ayah masih ada. Ibu jarang sekali berkongsi dengan anak-anak mengenai perasaannya bahkan apa yang dilalui bersama arwah ayah. Seingatku, ibu keras menolak ajakanku untuk tinggal di kota bersamaku sejurus pemergian ayah. Malah dia bertegas untuk terus mendiami rumah pusaka itu, dan takkan meninggalkannya walaupun untuk seminggu dua atas alasan yang pelbagai. Aku mengerti bahkan sudah dapat menduga akan keputusan ibu. Aku tidak memaksa dan menghormati keputusannya.
Aku beranggapan kehidupan ibu tentu lebih mudah apabila tinggal bersama anak menantu daripada tinggal bersendirian di kampung. Dirinya juga sudah semakin berusia dan tahap kesihatannya juga tidak menentu dengan penyakit kronik seperti diabetes dan tekanan darah tinggi. Apabila tinggal sendirian, tentu amat merumitkan meskipun terdapat jiran berhampiran untuk meminta tolong. Masalah pengangkutan juga perlu diambil kira jika berhasrat untuk ke pekan bagi mendapatkan keperluan harian dan rawatan penyakitnya. Takkan setiap kali memerlukan, ingin meminta tolong pada jiran.
Aku melangkah masuk ke bilikku. Niat di hati ingin berbaring sekejap menanti masuknya waktu Zuhur. Tubuh dirasakan penat dan lenguh-lenguh kerana sebelum mengait buah mencupu sudah sepagi aku menyapu di halaman rumah. Apalah daya ibu untuk membuang rumput yang sudah semakin memanjang di kala sendirian di kampung. Aku pula hanya pulang ketika waktu cuti sekolah atau musim perayaan.
Baru sahaja ingin melelapkan mata, ingatanku melayang jauh mengimbau kembali saat-saat akhir ayah berada di sisi kami sekeluarga. Kebetulan pada hari itu, aku dan isteri pulang ke kampung sempena cuti Tahun Baru Cina. Pada saat itu, isteriku sedang mengandungkan anak kedua kami dengan usia kandungan baru memasuki bulan ketiga. Seperti biasanya ibu memasakkan singgang, namun tanpa buah mencupu yang belum memasuki musimnya. Sebagai orang kampung terutamanya ayah, nasi putih berlaukkan ikan singgang pun sudah cukup bersyukur. Aku melihat itulah sikap ayah yang amat mudah dalam soal makan dan minum. Apa yang dimasak ibu, itulah dimakannya, meskipun perlu memakan ikan singgang setiap hari.
Jarang sekali aku menemui seseorang yang sikapnya mirip arwah ayah. Dia sentiasa menerima dengan hati terbuka akan apa yang ditakdirkan Tuhan kepada dirinya dan ahli keluarganya. Cuma apabila anak-anak pulang ke kampung barulah berpeluang untuk menikmati makanan yang lebih ‘mewah’. Bukan bermaksud dia tidak mempunyai perbelanjaan yang lebih tetapi itulah tabiatnya, tidak suka bermewah-mewah dalam makan minum. Baginya cukup dengan satu lauk dan ulaman. Kalau nasi kering tanpa kuah tak mengapa, tapi ibu sebagai isteri sentiasa menitik beratkan makan-minum ayah, tetap juga memasak lauk berkuah untuk suaminya itu.
Menjelang hari akhirnya, ayah masih sihat. Bahkan, pemergiannya tidak disangka-sangka. Ayah meminta ibu memasak ikan singgang dan itu adalah suatu yang jarang-jarang berlaku, kerana kami amat kenal sikap ayah yang tidak suka membuat apa-apa permintaan termasuklah soal makan dan minum. Kebetulan pada hari itu, aku membeli seekor ikan tenggiri dan isteriku mencadangkan untuk menyediakan ikan singgang tenggiri untuk ayah. Suatu yang berbeza dan jarang sekali sama ada ibu atau isteriku, memasak ikan tenggiri singgang, biasanya kari sahaja.
Ayah kelihatan begitu berselera sekali ketika menjamu juadah dimasak, tidak cukup dengan sepinggan nasi, ditambah lagi. Aku melihat ia sebagai perkara biasa tapi aku perasan situasi berbeza mungkin berlaku pada ibu. Dia memandang lama pada ayah yang begitu berselera menyuap nasi. Dia seolah-olah dapat merasai perubahan pada diri ayah. Selepas selesai makan tengah hari, perkara itu berlalu dengan begitu sahaja daripada fikiranku sehingga pada malamnya, ayah mengadu sakit dada dan sukar bernafas.
Ayah dikejarkan ke hospital dan ternyata Tuhan lebih menyayanginya. Menjelang subuh, ayah dijemput Ilahi setelah beberapa jam pihak hospital berusaha untuk menyelamatkannya. Berat sekali untuk diterima namun kami sekeluarga reda dengan pemergian ayah. Dengan sakit yang mendadak itu, aku bagaikan tidak percaya ayah sudah tiada. Terasakan baru sahaja ayah bergelak tawa bersama kami. Dunia seperti sunyi buat seketika. Ayah menyembunyikan sakitnya daripada sesiapa termasuk ibu. Menurut ibu, ayah pernah sesekali mengadu sakit tapi bila diajak ke hospital dia menolak. Dia menganggap ia sakit biasa.
Bermula dari situ, ibu mula menyepi dan bersifat menolak. Sikapnya menjadi dingin dengan anak cucu. Dia seolah-olah hidup bersama kenangan arwah ayah. Dia begitu sayang untuk meninggalkan rumah pusaka yang menjadi latar kenangan mereka bersama. Ibu seperti berada dalam satu proses transisi, namun ia kelihatan sukar sekali untuk menyesuaikan diri dengan hidup tanpa pasangannya itu. Bayangan ayah sentiasa hadir pada pandangan matanya, saat berada di meja makan, bila menu ikan singgang menjadi hidangan, begitu juga apabila mencupu menjengah pada musimnya. Semuanya menjadi punca ingatan kekal mekar.
Kenangan itu hilang bila aku mendengar azan Zohor berkumandang dari masjid berdekatan. Niat untuk tidur sekejap hilang begitu sahaja. Aku bingkas mencapai tuala keluar menuju ke bilik air bersiap-siap untuk solat Zuhur. Aku melihat isteriku sudah pun siap menghidangkan lauk di meja makan. Turut kelihatan dua anakku yang sudah menunggu duduk di berhampiran meja makan. Turut kelihatan ibuku.
“Faiz, Fayyad, pergi mandi dengan papa, nanti lepas mandi, solat, boleh makan sama-sama.” Isteriku menyuruh. Mataku mencuri pandang pada ibu dan isteri yang kelihatan berbual-bual kosong. Sebagai menantu, hubungan yang lebih mesra terserlah pada kedua-duanya. Sebagaimana diriku, isteri juga tidak pernah berputus asa untuk mengembalikan kegembiraan pada diri ibu setelah pemergian arwah ayah.
Pada petangnya, kami sekeluarga duduk bersantai di serambi sambil makan mencupu dengan asam. Buah yang hampir masak itu sungguh enak sekali dimakan meskipun menahan rasa masam. Ibu hanya mengambil sebiji dua dan menjadi pemerhati. Makan masam ini bagus tapi jalan berlebih-lebihan, pesan ibu. Nanti tak pasal-pasal beratur depan tandas. Usikan ibu itu membuatkan kami ketawa berderai. Bukan mudah berkumpul dan merasai suasana sebegini.
Angin petang bertiup lembut mencium wajah kami. Terasakan sungguh nyaman sekali. Dalam kegembiraan yang dilalui, dititipkan doa buat ayah. Segala usaha dan penat lelah masa hidupnya kini dapat dirasai oleh anak cucu.
Itulahh amal jariah yang sentiasa mengalir menyinari tempat beradu ayah. – Mingguan Malaysia 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.