Di sebalik pembuatan busur - Utusan Malaysia

Di sebalik pembuatan busur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUKAN memanah tradisional sudah kembali mendapat tempat dan mula dikenali sejak kebelakangan ini. Apa yang menarik, di sebalik sukan sunnah ini terselit pelbagai kisah si pembuat busur yang turut menjadi penggerak kepada permainan ini.
Mengenali Zulkifli Latif, 59, secara tidak langsung memberi peluang mengetahui perkara asas dan rahsia dalam pembuatan busur. Dia yang menceburi sukan ini sejak 10 tahun lalu berkata, kemahiran pembuatan busur yang ada daripadanya bukanlah diwarisi daripada sesiapa.
Sebaliknya, ia bermula selepas beberapa tahun terbabit dalam sukan ini yang secara tidak langsung terus menyematkan minat untuk mempelajari sendiri pembuatan peralatan ini.
“Saya berjinak-jinak dengan memanah di hujung usia. Dekat-dekat umur 50 tahun baru belajar memanah. Sekarang umur sudah hampir 60 hampir. Selepas bermain dalam sukan memanah, barulah saya belajar buat busur.
“Pada masa itu, saya mencuba membuat sendiri busur dengan menggunakan bahan antaranya buluh, kayu, rotan dan batang joran. Maklumlah, sebab di Terengganu memang tiada tempat untuk mendapatkan peralatan memanah pada ketika itu,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Dia yang melakukan kerja-kerja pembuatan busur panah tradisional di Kampung Padang Hangus, Kuala Nerus juga berkata, setiap satu peralatan yang ditempah akan mengambil masa kira-kira empat hari sebelum berjaya disiapkan.
“Untuk bending (membengkok) sahaja sudah mengambil masa dua hari manakala dua hari lagi untuk buat tali dan kerja lain.
“Bahan utama dalam pembuatan busur pula saya menggunakan poxy fiber (EFG) yang boleh dilentur dan tidak patah selain penggunaan kayu untuk bahagian tertentu selain tali,” jelasnya.
Setiap busur yang dibuat akan dijual dengan harga RM400 sehingga RM450 setiap unit.
Ketika ditanya tentang jenis busur, Zulkifli berkata, terdapat empat kategori antaranya compound bow; recurve, busur tradisional dan barebow.
Ditanya perbezaan antara busur memanah statik dan memanah berkuda, Zulkifli berkata, ia hanya melibatkan saiz sahaja.
“Tidak jauh bezanya antara kedua-duanya. Ada yang mahu saiz yang pendek sedikit untuk memanah berkuda sebab keselamatan. Tambahan pula memanah di atas kuda memerlukan banyak pergerakan.
“ Untuk statik pula memang tiada masalah sama ada mahu yang panjang atau pendek. Bergantung kepada pengguna,” jelasnya.
Zulkifli turut menambah, untuk kualiti pula bergantung kepada jaminan daripada pembuat busur.
“ Bagi saya, untuk puaskan hati pengguna, saya akan beri jaminan selama setahun supaya ia benar-benar berbaloi dengan duit yang mereka keluarkan.
“ Mungkin ada yang beli dengan harga RM1,200 tapi bagaimana dengan bahan dan jaminannya? Adakah ia sesuai dengan cuaca kita? Pada saya, apa yang paling penting saya mahu buat busur yang mampu dimiliki demi menghidupkan sukan sunnah ini,” katanya. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya