fbpx

8 Disember 2021, 10:39 am

  TERKINI

Longkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cerpen karya Farahana Hussain

KAIN dalam acar dikutip dicuci hendak masuk ke longkang jua, begitulah ibaratnya asas perniagaan Seri Muyati dan Seri Mahani, dua beranak. Setiap hari, rutin Seri Mahani sebelum subuh tidak lain tidak; mencedok air hijau kekuningan dalam longkang kecil yang mengalir dari Istana Lindungan Sakti.
Mulut dan hidungnya terpaksa dilapik dua lapis kain batik lepas bercorak bunga kerak nasi berwarna merah kesumba kegemarannya sambil kain kelubungnya yang berwarna kuning telur turut diguna menghalang bau busuk menerobos ke rongga deria. Tekaknya sedikit meloya mual kerana membayangkan apakah buangan yang diceboknya ke dalam kendi logam saban hari.
Tidak dia membantah, demi memenuhi perancangan ibunya mengubah nasib mereka berdua dalam perniagaan kecantikan wanita di Wilayah Kesembilan. Air dalam kendi itu merupakan ramuan rahsia bedak sejuk yang menjadi kegilaan wanita di Wilayah Kesembilan.
Hasrat ibunya tinggi dan cita-citanya besar bagi menakluk pasaran kecantikan dari Wilayah Satu hingga ke Wilayah Tujuh Puluh Tujuh. Kini sememangnya bedak sejuk buatan Seri Muyati menjadi rebutan para gadis malahan isteri pembesar juga mula mempercayainya.
Seri Muyati meletakkan 99 biji bedak sejuk yang diprosesnya dalam bekas perak bercorak ukiran bunga jawa sebesar telapak tangan dengan harga lima keping dinar emas. Harga yang dikenakan sangat tinggi namun bedak yang dinamakan Seseri ini menjadi rebutan.
Kebijaksanaan Seri Mahani mencadangkan agar ibunya menjual isian semula bagi pelanggan yang datang kali kedua dan seterusnya dengan memberikan isian semula bedak sejuk sebanyak 111 biji bersyarat pelanggan membawa bekas perak sendiri sangat mendapat sambutan. Keberhasilan perniagaan mereka ini berlaku secara tidak sengaja. Semuanya bermula ketika Seri Mahani mendapat bisul dan jerawat di belakang badan dan hampir merebak ke seluruh wajah. Berlalu sudah sepurnama tidak sembuh-sembuh jua maka Seri Muyati berusaha keras mencari dedaun dan herba di pinggir hutan bagi tujuan menyembuhkan Seri Mahani.
Sudah dicuba daun tembakau, daun gelenggang dan daun sireh namun tidak berapa berhasil sekadar menghilangkan kegatalan sahaja, bisul dan jerawatnya masih merah bernanah jua. Jauh merayau tanpa sengaja Seri Mahani yang menemani ibunya terjatuh ke dalam longkang kecil. Longkang kecil itu mengalirkan air kumbahan dan buangan dari Istana Lindungan Sakti ke sungai berdekatan.
Ketika kejadian mereka kelam-kabut kerana terdengar seperti ngauman harimau dari dalam hutan yang menyebabkan mereka lari bertempiaran pulang ke rumah tanpa sebab membilas badan.
Ajaibnya kuasa Tuhan, bisul dan jerawat Seri Mahani yang sebesar penumbuk merata badan itu telah kecut dan tidak meninggalkan parut. Langsung mereka terlupa betapa meloyanya ketika mereka membau badan Seri Mahani yang basah berlumur air longkang dengan bau tidak ubah seperti bau bangkai.
Sejak itulah, menjadi tugas Seri Mahani mencedok air kumbahan sebanyak lima kendi saban hari untuk dibawa pulang ke rumah. Mereka lakukan secara sulit dan senyap agar tidak menarik perhatian orang.
Setelah mendapat satu kendi air, Seri Muyati mengadun bancuhan rahsia bagi pembuatan bedak sejuknya. Jika sebelum jualan mereka kurang laris namun kini tidak ada satu titik bedak sejuk pun yang tinggal lantaran gadis dari Wilayah Kesembilan yang sanggup berebut dan hampir bergaduh demi membeli Bedak Seseri. Seri Mahani yang tidak putus asa menjadi bahan ujikaji bedak sejuk ibunya.
Dek kerana baunya tidak mudah dihilangkan mereka terpaksa memproses air kumbahan itu sebagai bahan campuran dalam bedak sejuk. Khasiatnya diketahui bukan sahaja menyembuhkan jerawat dan bisul malahan parut lama juga hilang dengan hanya sebekas penggunaan. Seri Mahani semakin jelita dari hari ke hari dan menjadi kegilaan pemuda di kampungnya.
Sesekali hatinya ragu, sesekali timbul keliru atas pilihan mereka berdua menghasilkan Seseri namun ibarat telur dua sebandung pecah satu pecah kedua. Seri Mahani lebih berhati-hati menjaga penampilan.
Kini, kelubung penutup kepalanya hanyalah kain hitam tiada lagi daripada warna kegemarannya hijau serindit, merah kesumba atau kuning telur. Dia tidak mahu menjadi perhatian walaupun kecantikannya menjadi buah mulut jejaka di Wilayahnya malah sudah ada pemuda bangsawan dari wilayah lain datang meminangnya namun ditolak berhemah.
Sejak itu berita kejelitaannya makin tersebar malah lebih menjadi buah mulut. Seri Muyati berjaga-jaga dalam urusan melebarkan perniagaannya kerana khuatir dihidu menggunakan barang terlarang.
Adalah menjadi kesalahan besar mencuri harta istana hatta buangan istana sekali pun. Seri Muyati nekad untuk menutup perniagaan di Wilayah kesembilan dan memulakan perniagaan lain. Tidak semudah dijangka belum sempat mereka berpindah ke Wilayah lain, Seri Mahani dan Seri Muyati telah dipanggil menghadap Maharaja.
“Bagaimana penghasilan perniagaan kalian? Beta dikhabarkan kalian berdua hendak berpindah ke Wilayah lain. Cukai yang dikutip Ketua Pengawal Mamanda Perdagangan terlalu membebankankah?” Titah Maharaja Lindungan Sakti sambil berdehem dan mencuri pandang kepada Seri Mahani.
“Semuanya baik sahaja Tuanku, tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain, bagi pacal yang hina seperti kami wilayah inilah segala-galanya. Cuma patik berdua yang hina ingin mencari angin baru.” Seri Muyati beralas bicara. Seri Mahani memang diisyaratkan agar diam.
“Sudikah diangkat wajahmu, untuk Beta lihat dengan lebih dekat.” Titah Permaisuri Baiduri sambil memohon keizinan daripada Maharaja Lindungan Sakti. Maharaja Lindungan Sakti mengangguk, mengarahkan Seri Mahani dibawa mendekat Permaisuri Baiduri dan kain kelubung hitamnya diselak sedikit.
Permaisuri Baiduri terus mengucapkan kalimah tasbih memuji Pencipta. Memang molek, mulus wajah Seri Mahani menambat hati dengan bibir sederhana lebar dengan warna merah bunga raya semulajadi, bertahi lalat di pinggir kiri bibir, kulitnya semulus kuning cempaka.
Hati irinya terus mengalirkan minda fikir menghalang langkah panjang Maharaja Lindungan Sakti, “Adinda berkenan benar gadis ini sebagai calon isteri Putera kita.” Begitu sahaja caranya menghalang Maharaja Lindungan Sakti daripada menambah calon madunya. Seri Muyati menggumpal penjuru kain kelubungnya menahan kesal, tentu saja Seri Mahani tidak lagi dapat diselamatkan daripada menjadi permainan mereka yang berkedudukan.
“Kita dengar pendapat dan nasihat Ketua Pengawal Keagamaan dan Adat. Bagaimana Datok Mamanda Ketua?” Maharaja Lindungan Sakti telah memberi isyarat yang difahami Ketua Pengawal Keagamaan dan Adat agar hasrat permaisuri disulitkan. Setelah mengangkat sembah, beribu ampun, maka dizahirkan,
“Tuanku Permaisuri, bagi memilih calon isteri Putera Mahkota perlu mengikut pemilihan yang ketat sebagaimana pemilihan Tuanku dahulu sebagai isteri pertama. Putera Mahkota masih belum pernah bernikah. Jika perkahwinan kedua, atau ketiga tidaklah terbatas kepada peraturan istana yang ada. Patik juga memohon beribu ampun mengingatkan bahawa Cik Seri Mahani jua bukan keturunan bangsawan. Ampun Tuanku.” Ketua Pengawal Keagamaan dan Adat melirik ke arah Maharaja Lindungan Sakti.
“Tengku Permaisuri ada baiknya kita berbicara perihal penghasilan ajaib mereka. Beta titahkan mereka ke sini kerana kagum dengan penghasilan Seseri. Sudah mereka bawa untuk Tengku Permaisuri khusus bekalan setahun.”
Maharaja Lindungan Sakti pintar menyembunyikan hasratnya. Permaisuri Baiduri menerima lima bekas bedak sejuk Seseri dalam bekas ditempa emas dan berlian sebagai ufti. Istimewa untuk baginda Permaisuri dijelaskan bahawa itulah set terakhir untuk Permaisuri Baiduri sebelum mereka berdua memohon izin berpindah ke wilayah lain. Permaisuri Baiduri teruja ingin mencuba lalu memohon izin berlalu ke kamarnya. Terlupa baginda akan kegusaran Seri Mahani menjadi calon madunya. Ternyata Maharaja Lindungan Sakti lebih pintar dan bijaksana.
“Beta dengar, kalian berdua berhasil membayar cukai yang tinggi. Malahan menjadi Orang Kaya Lapis 1 dalam tempoh tidak sampai 5 purnama dengan hasil seni kalian. Mengapa penghasilan lumayan mahu diberhentikan?” Maharaja Lindungan Sakti cuba mencungkil asbab pengunduran Seri Muyati.
“Patik berdua, memulakan perniagaan binatang ternakan Tuanku. Selain itu, anak patik berhasil dalam perniagaan kain tenun emas ke wilayah asing. Kami mahu menumpu kepada perniagaan berbeza.”
Seri Muyati tetap tegas berhemah mengharapkan agar mereka dapat lari daripada dihidu penguasa kerana Seri Mahani tidak sanggup lagi bergelumang air kumbahan istana.
Kebijaksanaan Seri Mahani mempelbagaikan hasil pendapatan mereka telah membuahkan hasil mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.
“Beta izinkan. Memandangkan kalian sudah tidak lagi mahu meneruskan perniagaan Seseri. Beta mahu menawarkan ganjaran lumayan bagi memiliki ramuan rahsia kalian,” Maharaja Lindungan Sakti berterus terang.
“Baiklah, sudi kiranya Tuanku berjanji tidak menghukum patik berdua jika ada asbab yang membuat Tuanku murka kelak dan mengizinkan kami berhijrah.” Seri Muyati cuba berunding demi masa depan. Sesekali dia merenung wajah Seri Mahani yang masih disorokkan dengan kelubung hitam.
Maharaja Lindungan Sakti berubah fikiran kerana baginya jawapan segera dan tidak bertangguh Seri Muyati terlampau mengejutkan.Baginda tertanya-tanya akan kecantikan Seri Mahani, “Cantik sangatkah?” Getus hati kecil baginda kerana api cemburu Permaisuri Baiduri terus menyala sehingga tanpa berfikir panjang hendak menjadikan Seri Mahani sebagai calon menantu.
“Izinkan beta tanyakan berapa umurmu? Dan berapa umur Cik Seri Mahani?” Apabila Seri Muyati memberitahu umurnya 65 tahun sementara Seri Mahani berumur 35 tahun Maharaja Lindungan Sakti melongo. Seri Mahani kelihatan seperti anak gadis belasan tahun, dikerling mulus tumit kaki Seri Mahani.
Alangkan tumit kakinya sudah seperti telur dikupas. Maharaja Lindungan Sakti ligat berfikir lebih molek jika baginda menyunting Seri Mahani ibarat bulan jatuh di ribaan, bukan sahaja ramuan rahsia menjadi miliknya, kepandaian, kecantikan, keindahan ciptaan Tuhan ini akan menjadi miliknya. Ibarat menarik rambut dalam tepung, baginda tidak mahu permintaan baginda kelihatan seperti hukuman.
Sebelum berkias kepada Ketua Pengawal Keagamaan dan Adat akan hasrat menyunting Seri Mahani sebagai isteri ketiga. Tidak mahu dipukul aib jika pinangannya ditolak, Baginda yang mengamalkan amalan seri wajah, seri hormat telah awal-awal membaca ayat jampi pelembut hati agar Seri Mahani terpaut menjadi suri baginda.
Namun Seri Muyati tidak khuatir, kerana kebijaksanaan Seri Mahani tentu sahaja berupaya menyelamatkan rahsia mereka. Tentu lebih mudah bagi Seri Mahani, dia tidak perlu lagi mencedok air longkang dan kumbahan itu dengan begitu sulit. Seri Muyati tetap meneruskan hasratnya berhijrah kerana tidak mahu helah mereka terhidu dan menyerahkan nasib Seri Mahani kepada Pencipta sama ada Seri Mahani ingin memberitahu kebenaran atau menyembunyikan hakikat daripada Maharaja.
Lebih kurang tiga purnama selepas pernikahan gilang gemilang Che Puan Seri Mahani dan Maharaja Lindungan Sakti tersebar luaslah penghasilan bedak Seseri sehingga sampai ke Wilayah Kesepuluh tempat Seri Muyati berhijrah. Seri Muyati menarik nafas lega.
Dalam warkah dikirimkan Che Puan Seri Mahani kepada Seri Muyati bersama lima peti sutera dan lima peti jongkong emas, tertulis – “Aur ditanam, betung tumbuh. Gunung juga yang dilejang panas. Bonda sudah menjadi Orang Kaya Lapis Kelapan, kini kita menjadi bangsawan.” – Mingguan Malaysia 

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN