Mengunjungi taman tema air memang tidak pernah gagal menjanjikan keseronokan. Lebih-lebih lagi bila ia dikongsi bersama rakan-rakan, setiap detik terasa lebih hidup dan penuh warna.
Itulah yang kami alami ketika menyertai sesi penerokaan media di SplashMania Waterpark baru-baru ini apabila ia menjanjikan satu pengalaman yang bukan sahaja menyeronokkan, malah sarat dengan debaran dan gelak tawa yang sukar dilupakan.
Terletak di Gamuda Cove, taman tema air ini tampil dengan pelbagai tarikan menarik. Daripada permainan ekstrem hinggalah ke aktiviti santai, semuanya tersedia untuk pengunjung dari pelbagai peringkat usia.
Permulaan penuh percikan di Treasure Tower
Pengembaraan kami bermula di Treasure Tower, struktur ikonik yang menjadi nadi utama taman ini. Dari jauh lagi, menara berwarna-warni ini seolah-olah ‘memanggil’ untuk dicuba, dengan pelbagai gelongsor dan laluan air yang mencabar.
Di sinilah segalanya bermula menerusi percikan air, jeritan teruja dan gelak ketawa yang tidak henti-henti.

Ada laluan yang tenang dan santai, sesuai untuk ‘warm up’, dan ada juga yang cukup ekstrem hingga membuatkan jantung berdegup laju.
Setiap gelongsor memberi pengalaman yang berbeza, menjadikan setiap cubaan terasa segar dan mengujakan.
Aksi perlumbaan di Maniac Racers
Keseronokan semakin memuncak apabila kami dicabar oleh rakan media lain untuk mencuba Maniac Racers. Di sinilah semangat kompetitif mula terasa!
Dengan pelampung masing-masing, kami meluncur laju dari atas sambil bersorak sesama sendiri.
Percikan air ke kiri dan kanan menambahkan lagi drama perlumbaan, sementara gelak tawa terus bergema sepanjang laluan.
Menang atau kalah bukan lagi soal utama, yang penting, pengalaman itu sendiri menjadi antara momen paling menyeronokkan sepanjang hari.
Sentuhan klasik di Whacka Boom Boom
Tak sah ke taman tema air tanpa mencuba gelongsor klasiknya. Kami tidak melepaskan peluang untuk menaiki Whacka Boom Boom, salah satu tarikan wajib di sini.
Walaupun kelihatan sederhana, gelongsor ini tetap memberikan sensasi kelajuan dan percikan air yang memuaskan. Malah, ia membuktikan tarikan klasik masih punya daya tarikan tersendiri, cukup untuk membuatkan kami ingin mengulanginya berkali-kali.
Rehat santai di Omba’King Cove
Selepas puas menguji adrenalin, kami beralih ke Omba’King Cove untuk berehat. Kawasan pantai buatan ini menawarkan suasana yang cukup menenangkan, lengkap dengan ombak beralun seperti di pantai sebenar.

Kami mengambil peluang untuk berenang santai, berbual dan sekadar menikmati momen tanpa tergesa-gesa. Ia benar-benar menjadi ‘recharge moment’ yang sempurna selepas seharian aktif.
Menariknya, tepat jam tiga petang, suasana di sini bertukar meriah dengan persembahan tarian K-pop. Muzik rancak menghidupkan suasana, malah ramai pengunjung turut sama menari di dalam air, sekali gus menjadikan pengalaman lebih interaktif dan penuh energi.
Kenangan yang sukar dilupakan
Secara keseluruhannya, pengalaman di SplashMania bukan sekadar tentang permainan air. Ia tentang detik-detik kebersamaan, gelak tawa dan kenangan yang tercipta sepanjang hari.
Bagi kami, penerokaan ini bukan sahaja mengisi hari dengan keceriaan, tetapi juga meninggalkan memori manis yang pasti akan dikenang untuk waktu yang lama.











