Zull Design Autotronic (ZDA) bukan lagi satu nama asing dalam bidang sains, reka cipta dan inovasi di Malaysia. Ia turut dikenali di negara Asia.
ZDA yang sentiasa tampil dengan pelbagai ciptaan baru seringkali memberi inspirasi kepada anak muda untuk terus berfikiran kreatif.
Kini Zulkifli Haron, 62, pengasas ZDA memberi sepenuh kepercayaan kepada pelapis muda ZDA menghasilkan ciptaan terbaharu mereka iaitu Blu-Kar.
Menurut Pengurus Projek ZDA, Muhammad Asif Zulkifli, Blu-Kar ialah mesin rumput kawalan jauh yang pertama di Malaysia.
“Ia digelar sebagai Blu-Kar kerana fungsinya yang bertujuan untuk membersihkan kawasan belukar,” ujarnya.
Kata beliau, meskipun mesin seumpamanya telah dibangunkan di negara luar, namun Blu-Kar yang dihasilkan oleh pelapis ZDA ini amat berbeza spesifikasi dan konsepnya.

Kata Muhammad Asif, hampir setahun mereka menjalankan pengujian terhadap Blu-Kar bagi menjamin spesifikasi dan reka bentuk yang terbaik untuk kegunaan di Malaysia mengikut kesesuaian struktur tanah, kebun, padang, belukar dan juga cuaca di negara ini.
Selain itu, mesin yang dibuat di negara sendiri adalah lebih baik berbanding negara luar kerana alat ganti, komponen elektrikal dan mekanikal mudah didapati.
Oleh itu, jika berlaku sebarang kerosakan pembaikan boleh dilakukan sendiri di bengkel-bengkel tempatan.
Blu-Kar itu siap dihasilkan pada awal tahun ini sejajar dengan sektor pertanian yang kian berkembang.
Ramai pengusaha pertanian, petani, pekebun dan kontraktor sering mengalami masalah untuk membersihkan kawasan belukar dengan cepat dan bersih.
Ini kerana kekuatan mesin yang sedia ada tidak mampu untuk memotong ranting tebal selain bimbang keselamatan semasa membersihkan belukar yang turut dihuni haiwan berbisa.
“Membersihkan belukar menggunakan mesin rumput kawalan jauh ini ternyata lebih selamat apabila bahaya yang muncul dapat dikesan lebih awal dan tindakan boleh dilakukan dengan cepat bagi mengelakkan sebarang kecelakaan berlaku kepada petani dan pekebun.

Selain itu, Blu-Kar yang dihasilkan mampu membersihkan sehingga satu ekar kawasan dalam masa satu jam sahaja.
Cara pengendalian alat kawalan jauh yang sangat ringkas dan mudah membolehkan setiap pengendali mesin rumput ini tanpa memerlukan kemahiran tinggi.
Cara mengawalnya adalah dengan menggerakkan tuil gerakan sama ada ke kiri, kanan, hadapan dan belakang pada alat kawalan jauh.
Pengendali alat kawalan jauh juga tidak perlu risau tidak dapat mengawalnya jika Blu-Kar ini bergerak jauh kerana mesin ini akan terhenti secara automatik sekiranya hilang isyarat kawalan.
Walaupun Blu-Kar ini menggunakan mata pisau selebar 20 inci, namun ia masih tidak membahayakan pengguna kerana mata pisau tersebut terletak di dalam lingkungan mesin.
Mata pisau juga mempunyai sistem kaunter kunci yang menguatkan cengkaman pisau kepada batang syaf. Semakin kerap mata pisau bergerak, semakin kuat cengkamannya.
Dari segi bahan api pula, mesin ini menggunakan enjin yang menggunakan minyak diesel untuk menghidupkannya selain penggunaan butang mula automatik supaya ia senang dihidupkan.
Ini bermakna pengguna tidak perlu menarik tali minyak berulang kali untuk menghidupkan mesin.
Kelebihan lain menggunakan enjin diesel ialah mesin akan tahan lasak dan tidak memerlukan penjagaan rapi.
Rutin penyenggaraan mesin yang ringkas turut memudahkan pengguna untuk mengekalkan kekuatan mesin untuk beroperasi.
Mereka hanya perlu menukar minyak hitam pada enjin dan menyapu minyak pelincir pada bahagian rantai mesin.
Selain fungsi utama untuk membersihkan belukar, mesin ini turut mempunyai aksesori tambahan yang boleh dibuat mengikut keperluan pengguna dan kesesuaian objektif penggunaan seperti menabur baja, mengangkat hasil tanaman dan mampu menarik beban sehingga 20kg.
Secara tidak langsung, pekebun dan pengusaha tanaman tidak perlu bersusah-payah membawa keluar hasil kebun yang berat seperti buah durian, cempedak, nangka dan lain-lain.
Ia juga mampu mendaki curaman sehingga 30 darjah.
Sepasang papan curaman turut dibekalkan sebagai aksesori tambahan jika perlu bagi memudahkan pengusaha untuk menaik dan menurunkan Blu-Kar daripada kenderaan berpacu empat tayar, lori dan trak.

Blu-Kar versi itu sudah mula dijual dan mendapat tempahan daripada pengusaha tempatan. Memandangkan konsep perniagaan ZDA adalah pembuatan mengikut tempahan pelanggan, jadi mereka tidak mempunyai mesin yang sedia ada.
Hubungi ZDA untuk sebarang maklumat lanjut dan tempahan agar sama-sama dapat membantu meningkatkan industri pertanian tanah air dengan menggalakkan para petani bercucuk tanam di kawasan yang lapang agar dapat meraih hasil dari membiarkan sesuatu kawasan itu dipenuhi semak samun terbiar.
Pada masa akan datang, Blu-Kar bakal mempunyai model yang lebih canggih dengan konsep kawalan automatik sepenuhnya.
Sistem penentu kedudukan global (GPS) akan dipasangkan pada mesin rumput kawalan jauh ini dan membolehkan ia dikawal secara automatik menggunakan sistem komputer setelah ia ditetapkan.










