Air minum bebas radioaktif - Utusan Malaysia

Air minum bebas radioaktif

Norfaizal Mohamed (kiri) bersama kakitangan makmal melakukan pemanasan air mineral bagi mendapatkan sisa untuk dianalisis. – UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kesedaran yang semakin penting dalam kalangan pengguna berhubung tahap keselamatan makanan dan minuman mendorong wujudnya kaedah-kaedah nyah kuman dan bebas daripada unsur pencemaran.

Penularan wabak Covid -19 seakan memberi kesedaran baharu kepada masyarakat bahawa makanan dan minuman yang mereka ambil setiap hari sepatutnya melalui proses nyahkuman dan bebas daripada pencemaran.

Terdapat banyak unsur pencemaran dalam makanan dan minuman antaranya mikrob serta bahan radioaktif.

Mengambil makanan dan minuman yang diragui kebersihannya pasti mengundang risiko mendatangkan penyakit.

Dalam hal mencegah pencemaran ini, ada beberapa cara dan teknologi yang boleh dimanfaatkan demi kepentingan orang ramai.

Sebagai contoh Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) menggunakan sinaran gama bagi teknologi iradiasi makanan dan menggunakan teknik nuklear untuk mengukur aras keradioaktifan dalam air minuman.

Bagi tujuan itu, agensi tersebut diletak di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mempunyai kemudahan makmal untuk menganalisis air minuman supaya selamat daripada kesan bahan radioaktif terutama pemancar alfa dan beta.

Kemudahan yang dinamakan Makmal Radiokimia dan Alam Sekitar (RAS) itu mempunyai dua fungsi utama iaitu menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan memberi perkhidmatan analisis pengukuran keradioaktifan dalam sampel makanan, minuman dan alam sekitar.

Kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) makmal tersebut lebih memfokus kepada kajian keradioaktifan pada persekitaran marin dengan menganalisis sampel air laut, sedimen marin dan biota laut.

Makmal RAS terlibat secara langsung dalam melaksanakan program pemantauan marin secara menyeluruh untuk membangunkan pangkalan data keradioaktifan marin negara.

Projek penyelidikan yang dilaksanakan dari 2003 hingga 2007, data keaktifan radionuklid semula jadi dan antropogenik (buatan manusia) dalam air laut, sedimen marin dan biota laut dikumpul dan didokumenkan.

Bagi parameter keradioaktifan, analisis gros alfa dan gros beta akan dijalankan bertujuan mengesan kehadiran jumlah pemancar alfa yang sepatutnya berada pada aras maksimum 0.1 Becquerel (Bq) seliter dan pemancar beta pada aras maksimum 1 Bq seliter.

Sampel air minuman yang mencatatkan bacaan melebihi kedua-dua angka tersebut tidak layak diberi lesen. Menurut peraturan itu juga, pihak pemegang lesen perlu menghantar sampel untuk dianalisis bagi tujuan pemantauan setiap tiga tahun.

Sampel juga perlu lulus ujian di Jabatan Kimia yang menganalisis lebih 30 parameter termasuklah antaranya kandungan fosforus dan arsenik seperti yang disenaraikan dalam Jadual Kedua Puluh Lima, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Selain AMS dan AMB, mesin jual air yang membolehkan orang ramai mengambil air minuman daripada mesin tersebut yang biasanya diletakkan di hadapan lot kedai juga perlu memohon lesen Kementerian Kesihatan.

Walau bagaimanapun, sampel air daripada mesin tersebut tidak melibatkan agensi berkenaan, sebaliknya pengusaha perlu menghantar kepada Jabatan Kimia sahaja.

Selain itu, syarikat penjual air batu (ais) juga wajib menghantar sampel ais dan punca air yang digunakan kepada kedua-dua pihak iaitu Jabatan Kimia dan Nuklear Malaysia bagi memastikan produk ais yang mereka jual bebas pencemaran mikrobiologi, kimia dan radioaktif.

Mereka yang terlibat dalam industri tersebut juga perlu menghantar sampel setahun sekali bagi tujuan pemantauan.

Namun begitu, persampelan kali kedua akan dijalankan oleh Kementerian Kesihatan dan setakat ini, semua keputusan analisis kali kedua ini mematuhi paras yang ditetapkan.

Mengenai sama ada mesin mendispens air yang berjenama tertentu perlu dianalisis, Norfaizal berkata, buat masa ini, hanya pemilik mesin jual air bagi tujuan perdagangan atau perniagaan dan mesin jual air yang mendispens air minuman tanpa apa-apa bahan tambah sahaja yang perlu memohon lesen daripada Kementerian Kesihatan.

Usaha tersebut sekali gus membuktikan bahawa teknologi nuklear digunakan pada hampir semua aspek kehidupan manusia.

Ini kerana sebahagian besar daripada kita mungkin mempunyai sedikit pengetahuan mengenai kepentingan teknologi nuklear memandangkan penggunaannya kadang kala tidak sedari ramai.

Lebih merumitkan, teknologi nuklear hanya dianggap penting dalam pembuatan bom, sedangkan aplikasinya sebenarnya berada di sekeliling kita. Dengan kata mudah, teknologi nuklear penting tetapi bukan penghasilan inovasi semata-mata.

Sebaliknya bagi tujuan perkhidmatan tertentu merangkumi pelbagai bidang sama ada pertanian, perubatan, alam sekitar, makanan dan sebagainya demi keselamatan pengguna.

Hanya persepsi negatif yang digembar-gemburkan berterusan terhadap sisa nuklear yang berisiko mengancam alam sekitar, seolah-olah membayangi sudut positif kepentingan teknologi tersebut.

Sinaran gama sebagai contoh digunakan dalam untuk iradiasi untuk mensteril makanan selain digunakan dalam aruhan biji benih tanaman. Sinar-X juga adalah contoh teknologi nuklear yang digunakan untuk pengimejan mendiagnosis pesakit.

Hari ini teknologi nuklear terus mendapat pengiktirafan apabila digunakan dalam menguji kualiti air minuman kita supaya bebas radioktif.

Sebagai contoh Makmal RAS, Agensi Nuklear Malaysia telah diberi pengiktirafan oleh Kementerian Kesihatan sebagai makmal yang diberi kelulusan untuk menjalankan analisis radioaktif dalam air minuman bagi memastikan kualitinya berada pada aras yang selamat.

Menurut Norfaizal lagi, isu ancaman bakteria dan virus kini semakin mendapat perhatian pengguna tetapi sejauh manakah kesedaran tersebut disokong oleh penggunaan teknologi bagi menjamin keselamatan makanan kita.

 

Norfaizal Mohamed memeriksa sampel makanan yang hendak dianalisis.

 

PERKHIDMATAN KEPADA INDUSTRI

Norfaizal berkata, makmal tersebut diwujudkan antaranya untuk memberi perkhidmatan kepada industri yang terlibat dalam pengeluaran air minuman.

Menurutnya, terdapat dua kategori air minuman yang puncanya perlu dilesenkan oleh Kementerian Kesihatan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983 iaitu air minuman semula jadi (AMS) dan air minuman berbungkus (AMB).

Beliau berkata, pengusaha, pengilang atau industri yang ingin mengeluarkan produk air minuman seperti AMS dan AMB perlu menghantar sampel punca air tersebut yang diperoleh ke Jabatan Kimia dan Nuklear Malaysia untuk dianalisis.

Jabatan Kimia akan menganalisis kandungan mikrobiologi dan kimia manakala Makmal RAS, Nuklear Malaysia akan mengukur aras keradioaktifan.

“Yang dilesenkan adalah punca air dan bukan jenamanya,’’ ujar beliau.

Norfaizal berkata, setakat April 2020, sebanyak 95 punca AMS telah dilesenkan iaitu domestik sebanyak 49 dan import (46).

Bagi syarikat AMS, mereka perlu menghantar laporan geologi termasuk yang di import iaitu mereka perlu menghantar laporan geologi dari negara asal punca air tersebut.

“Bagi AMB, setakat ini sebanyak 281 punca domestik yang dilesenkan dan tujuh daripada luar negara. Pelesenan itu perlu bagi mengawasi punca sumber air yang dijual di negara ini bebas daripada pencemaran sama ada mikrobiologi, kimia dan radioaktif,’’ ujarnya.

Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, selama berkhidmat di Makmal RAS dalam tempoh 18 tahun, kurang daripada 10 sampel yang dianalisis gagal mematuhi paras yang ditetapkan (gros alfa).

 

  • AMS merujuk kepada sumber daripada strata kandungan air bawah tanah melalui mata air, gerakan dan lain-lain jalan keluar serta tidak boleh diperkaya atau diperkuat atau ditambah dengan vitamin atau mineral
  • AMB pula merujuk kepada semua punca air yang selamat seperti dari sistem bekalan air awam atau air paip, air permukaan (sungai, kolam, tasik) dan air tanah (telaga tiub, mata air)
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×