Dapur ikan bakar Ibunda kembali 'berasap' - Utusan Malaysia

Dapur ikan bakar Ibunda kembali ‘berasap’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGGEMAR makanan laut yang berkunjung ke medan ikan bakar di Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan dan pernah singgah di Restoran Ibunda kini boleh melepaskan rindu setelah sekian lama tidak dapat menikmati sajian enak di situ.
Bukan hanya hidangan lauk-pauk pelbagai jenis ikan tetapi kelazatan pencicah kicap berlada, sos warisan dan kerangupan kuping tepung goreng tidak dijual sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Sikap mesra pelanggan, hidangan yang pantas disediakan dan premis bersih menjadi faktor utama menggamit kehadiran pengunjung ke Restoran Ibunda yang merupakan salah sebuah kedai makan di medan ikan bakar Tok Bali, ini.
Berkongsi resipi kejayaan dengan Mingguan Malaysia, pengusaha restoran itu, Zailani Ariffin, 56, berkata keenakan masakan perlu menjadi asas utama menarik pelanggan.
Menurutnya, restoran yang terletak di lokasi strategik jalan utama Tok Bali – Bachok itu bermula sejak lima tahun lalu menyediakan ruang luas kepada pengunjung termasuk membuat tempahan awal.
“Syukur, selepas hampir dua tahun restoran ini tidak beroperasi disebabkan PKP kini kami kembali menemui pelanggan dengan pematuhan operasi standard (SOP).
“Dapur kami kembali ‘berasap’ selepas makan dalam restoran dibenarkan,” katanya ketika ditemui di restorannya baru-baru ini.
Menurut Zailani, pelbagai jenis ikan seperti ikan pancing dan bubu yang segar disediakan dari 500 gram hingga tiga kilogram seekor.
Dia memberitahu, ia bergantung kepada cita rasa pelanggan untuk memilih ikan merah, kerapu, aji-aji, jemuduk, cermin dan lain-lain. Dua pilihan disediakan untuk menu ikan segar iaitu sajian bakar tawar bersama pencicah kicap berlada atau ikan bakar berempah bersama nasi putih.
“Udang dan sotong celup tepung juga ada dengan pencicah pedas manis. Udang dan sotong segar itu adalah hasil tangkapan nelayan Tok Bali dan Kuala Besut yang ditempah khas,” jelasnya.
Zailani berkata, sajian siakap tiga rasa turut disediakan selain beberapa masakan panas termasuk maggi ketam dan ada menempah ketam bakar.
“Restoran ini beroperasi setiap hari dengan 15 pekerja. Kebanyakannya penduduk tempatan,” terangnya.
Sebelum pandemik Covid-19, katanya, restoran itu sering dikunjungi pemain bola sepak dan artis terkenal tanah air.
Apa pun, katanya, asnaf, anak yatim dan pelajar tahfiz berdekatan sering diundang makan di restoran itu kerana rezeki dan nikmat makan sedap perlu dikongsi bersama.

Restoran Ibunda
Lokasi: Tepi jalan utama Kuala Semerak-Tok Bali – Bachok
Waktu perniagaan: 3 petang – 12 malam
Syarat utama masuk: Dua dos suntikan vaksin

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya