Kisah sejarah di sebalik Rumah 1916 Batu Gajah

Kisah sejarah di sebalik Rumah 1916 Batu Gajah

RUMAH 1916 satu ketika dahulu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK ramai yang tahu mengenai sejarah Rumah 1916 yang terletak di Batu Gajah, Perak.

Mungkin kerana daerah yang tidak jauh dari Ipoh itu lebih dikenali dengan Kellie’s Castle dan Rumah Agam Charles Alma Barker.

Kalau ada yang tahu mengenai sejarah Rumah 1916 pun kebanyakan pengkaji dan peminat sejarah atau orang lama yang berasal dari Batu Gajah, bukannya generasi muda.

Rumah 1916 yang terletak berhampiran Sungai Kinta dan Jalan Kelab ini mempunyai sejarah tersendiri serta salah satu titik awal kepada pembangunan di Batu Gajah. Malah struktur rumah yang dibina daripada kayu dan batu lama ini menyimpan 1,001 kenangan kepada daerah Batu Gajah dan waris pemiliknya.

Menurut Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee, sejarah rumah yang dibina sejak tahun 1916 ini merupakan satu legasi penting kepada kewujudan daerah berkenaan.

“Rumah ini juga begitu sinonim dengan panggilan Royal English School dalam kalangan penduduk setempat.

“Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Rumah 1916 ini juga merupakan tarikan pelancongan warisan terbaru di Batu Gajah,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Menurut Nor Hisham, Rumah 1916 merupakan kediaman Toh Amar Diraja Sulaiman Pandak Akhat bersama isteri pertamanya, Andak Jijah Toh Sri Dewa Raja Domba dan lapan orang anaknya.

“Rumah ini pernah disewakan untuk menempatkan beberapa institusi pendidikan iaitu Sekolah Perniagaan Rakyat, Sekolah Sultan Yusuf, Royal English School dan kelas komputer,” katanya.

Tambah Nor Hisham, Rumah 1916 ini juga menjadi titik tolak kepada pembangunan pekan Batu Gajah satu masa dahulu dengan dipelopori Toh Amar Diraja Sulaiman.

“Terdapat kawasan perlombongan bijih timah di Sungai Terap dan dalam pameran di Rumah 191 6 baru-baru ini ada diceritakan tentang bijih timah.

“Selain itu, kalau diikutkan setiap pembesar mempunyai kawasan yang dikurniakan oleh sultan satu ketika dahulu. Jadi, ada kemungkinan pemilik rumah ini turut terlibat dengan aktiviti perlombongan bijih timah selain menjalankan aktiviti mengutip cukai,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nor Hisham berkata, kewujudan rumah tersebut juga menjadi tanda kejayaan pemimpin setempat yang membangunkan sosial ekonomi setempat.

Katanya, kedudukan berhampiran pekan lama Batu Gajah dan kepelbagaian fungsi rumah berkenaan menjadi bukti kepada pembangunan terbabit.

“Di Rumah 1916 ini turut menempatkan sejarah Batu Gajah menerusi peta-peta lama dan turut mempunyai kisah masyarakat setempat di Lembah Kinta.

“Turut dipamerkan barangan semasa persekolahan Royal English School yang dijumpai dan diselamatkan semasa kerja-kerja pemeliharaan,” jelasnya.

Nor Hisham menambah, inisiatif pemeliharaan diketuai oleh cicitnya, Datuk Zahim Al Bakri bersama dua beradik berjaya menjadi satu contoh terbaik dalam menggalakkan masyarakat untuk memelihara warisan tanah air.

Rumah 1916 dibuka untuk pengunjung Jun lalu dan kini menjalani pemuliharaan dengan kerjasama Think City Sdn. Bhd. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN