Kayak Monsun sejauh 26 kilometer tarikan baharu Sungai Lembing - Utusan Malaysia

Kayak Monsun sejauh 26 kilometer tarikan baharu Sungai Lembing

SERAMAI 21 peserta berjaya menamatkan ekspedisi Kayak Monsun sejauh 26 kilometer di laluan Sungai Lembing di Sungai Lembing, Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai 21 peserta berjaya menamatkan ekspedisi Kayak Monsun sejauh 26 kilometer di laluan Sungai Lembing di sini dengan meredah lebih 15 jeram dan lubuk di samping berkayak di atas air besar serta berarus deras bagi menguji keupayaan mereka untuk mengendalikan peralatan air tersebut dengan baik.

Pemangku Presiden, Kelab Perkhemahan Pendakian dan Pengembaraan Pahang, Nor Khalilah Gusti Hassan berkata, acara Kayak Monsun musim kedua tahun ini lebih mencabar sekali gus membolehkan setiap peserta merasai cabaran sebenar berkayak.

“Tahun ini air besar dan cukup deras. Pada awalnya kita merancang lebih 30 kilometer perjalanan iaitu bermula di Lubuk Beruk iaitu laluan masuk ke Air Terjun Pelangi, menuju ke tapak perkhemahan Campstay.

“Namun disebabkan faktor air deras dan besar, juga berdasarkan pengalaman dua jurulatih yang hadir bersama serta empat pegawai dan anggota bomba, kami memendekkan sedikit perjalanan iaitu bermula dari simpang Sungai Kliu sehingga ke Campstay.

“Sungai Kliu ni dahulunya ialah salah satu tempat perkhemahan atau persinggahan jika mendaki ke Gunung Tapis. Inilah daya tarikan Sungai Lembing yang ramai orang tidak tahu.

“Sungai Lembing ini jika musim bukan monsun, ada bahagian sungai yang airnya sangat cetek sampai buku lali. Jadi kalau nak berkayak tanpa perlu angkat kayak disebabkan sungai putus, masuklah Expedisi Kayak Monsun KCHAT Club yang dianjurkan setiap tahun selama dua hari satu malam. Ini adalah tarikan pelancongan terbaharu di Pahang khasnya daerah Kuantan kerana sebelum ni, tak pernah lagi ada ekspedisi Kayak musim hujan di Sungai Lembing melebihi 20 kilometer,” katanya di sini hari ini.

Jurulatih Rekreasi Luar Kebangsaan, Azman Abdullah berkata, laluan Sungai Lembing begitu mengagumkan bagi beliau selaku individu yang berpengalaman luas dalam bidang kayak.

“Peserta Kayak Monsun Sungai Lembing sangat bertuah. Bukan sahaja dapat berkayak dia tempat yang cantik dan pemandangan yang memukau berlatar belakangkan gunung Tapis tapi juga, dengan keadaan air dan jeram seperti itu, level antarabangsa.

“Kalau perkemaskan lagi sedikit demi sedikit, lokasi ini boleh terkenal di dunia. Memang cantik. Tahap air saya boleh sebut level satu dan dua. Cantik, kalau pengayak beginner dan pertengahan, sesuai. Bagi yang sukakan cabaran, kena datang ke sini, padu,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Peramu, Wan Samsul Affendi Wan Mahmud berkata, pasukan penyelamat turut berdepan cabaran getir dalam memastikan keselamatan para peserta terutama ketika menyelamatkan peserta yang terbalik dan dibawa arus deras.

“Kami bekerja sehabis baik dan menggunakan segala method yang ada bagi mengurangkan risiko kecelakaan, kerana kebanyakan peserta adalah baharu dalam arena berkayak.

“Mereka berdepan cabaran untuk mengawal kayak, bukan lagi bagaimana nak berkayak.

“Arus kali ini deras dan besar berbanding tahun lepas. Tahun lalu, ada kawasan yang cetek dan boleh lepas kayak bagi peserta yang takut. Tapi tahun ni, semua kena buat sebab air besar dan luas. Apapun tahniah dan terbaik. Syukur semua peserta selamat walaupun banyak cabaran dan halangan mereka tempuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.