Wanita cekal ini sudah lama berdepan pelbagai masalah kesihatan, namun semangatnya untuk terus bertahan memberi inspirasi kepada ramai.
Sejak berusia 19 tahun, Ashfareena Abdul Talib disahkan menghidap diabetes jenis 1, apabila pankreasnya langsung tidak mampu menghasilkan insulin.
Bukan berpunca daripada faktor pemakanan, tetapi hakikat tubuhnya sendiri yang tidak lagi berfungsi seperti orang lain.
Sejak itu, hidupnya bergantung kepada suntikan insulin sebanyak empat kali sehari, tanpa gagal.
Ketika masih muda, doktor sudah memberi amaran cepat atau lambat wanita berusia 37 tahun ini akan mengalami kerosakan buah pinggang.
Cuma, jika pemakanan dijaga dengan baik, dialisis mungkin boleh ditangguhkan.
Namun, selepas melahirkan anak ketiganya pada 2016, Ashfareena disahkan mengalami masalah buah pinggang kronik (CKD) tahap tiga.
“Pesakit seperti saya memang berisiko tinggi dapat masalah buah pinggang apabila mengandung.
“Namun, saya reda dan meneruskan menjaga pemakanan yang seimbang mengikut saranan doktor,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ikhtiar mudarat
Namun, pada 2021, Ashfareena mengalami sembelit teruk.
Demi mencari kelegaan, seorang rakan di media sosial mencadangkan minuman sunnah berasaskan herba. Katanya, cukup setengah gelas setiap pagi.
Dia yang ketika itu hanya mahu melegakan masalah sembelit, cuba mengikut saranan tersebut.
Namun, tidak disangka, keadaan buah pinggangnya bertambah buruk dalam tempoh beberapa bulan sahaja.
Dari tahap tiga terus merosot ke tahap lima, iaitu peringkat paling serius.
Doktor mengesahkan darahnya menunjukkan keputusan yang tidak baik, lalu dimaklumkan dialisis adalah satu-satunya jalan untuk bertahan hidup.
“Doktor tanya saya ada ambil apa-apa herba atau suplemen? Saya cakap ya sebab tujuannya pun hanya untuk ‘membuang’.
“Sebelum ini doktor pernah beritahu pesakit CKD dilarang ambil suplemen tetapi saya tidak tahu ia termasuk herba,” luahnya.

Kos rawatan RM3,000 sebulan
Sejak usia 33 tahun, Ashfareena memulakan rutin dialisis.
Tiga kali seminggu, setiap sesi mengambil masa hampir empat jam.
Bayangkan, 12 jam seminggu hidupnya terikat dengan mesin dialisis.
Malah, satu sesi dialisis menelan belanja sekitar RM205 menjadikan komitmen bulanannya untuk dialisis hampir RM3,000.
Sudah tentu, pengalaman yang bukan sahaja memenatkan tubuh, malah menguji emosi dan kewangan.
Mujurlah, kerjayanya sebagai perunding takaful banyak membantunya menampung kos dialisis.
Mengulas mengenai kehidupan sebagai pesakit yang menjalani dialisis, kesakitan sudah menjadi teman akrabnya.
Dia sering berdepan komplikasi pada bahagian fistula di lengannya, iaitu tempat jarum besar dimasukkan untuk dialisis.
Kadangkala fistula tersumbat, kadangkala perlu melalui pembedahan kecil untuk memasukkan belon bagi melancarkan aliran darah.
“Walaupun sudah dibius, kesakitannya tetap terasa. Itu yang selalu buat saya down.
“Beberapa bulan lepas saya perlu buat pembedahan lagi dan saya minta untuk ‘ditidurkan’ kerana tidak sanggup tahan sakit itu lagi,” luahnya.

Pupuk kesedaran
Ashfareena belajar daripada pengalamannya, tubuh pesakit CKD sangat sensitif.
Sebarang pengambilan herba atau suplemen tanpa nasihat doktor boleh memberi kesan buruk.
“Doktor pesan, dos dalam suplemen yang dijual dalam talian biasanya terlalu tinggi untuk badan kita. Kita ingat elok, rupanya jadi racun,” katanya.
Justeru, dia menasihati masyarakat agar berhati-hati dalam pengambilan suplemen dan menjaga pemakanan.
“Apa-apa nak makan, rujuk doktor dulu. Jangan sebab hendak cantik atau sihat cepat, akhirnya badan yang rosak. Saya ada jumpa rakan dialisis yang rosak buah pinggang asbab suntikan kecantikan.
“Saya jumpa juga ramai orang muda awal 20-an yang ada darah tinggi dan diabetes sebab itulah penting jaga kesihatan serta pemakanan,” ujarnya.
Walaupun berdepan ujian berat, Ashfareena masih mampu tersenyum.
Suaminya pernah menyatakan kesanggupan mendermakan buah pinggang demi memberi peluang kedua buat isteri.
Namun, buat masa ini, dia masih setia dengan rutin dialisis, sambil menunggu waktu sesuai untuk pemindahan organ.
“Bagi pesakit seperti saya, transplan satu-satunya peluang untuk sembuh. Saya terharu suami sanggup dermakan, tetapi sekarang ini masih proses pemantauan untuk mengetahui sama ada buah pinggang suami sesuai atau tidak,” kongsinya yang sudah 13 tahun mendirikan rumah tangga. – UTUSAN










