Kongsi alat solek mata, tuala muka punca jangkitan mat

Kongsi alat solek mata, tuala muka punca jangkitan mata

alat solek
Berkongsi alat solek seperti berus dan alat solek seperti pembayang mata, seseorang berisiko mendapat jangkitan mata yang serius. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memang seronok dapat mencuba sampel kosmetik di kiosk dalam pusat beli-belah tetapi ramai tidak tahu bahaya yang menanti. Gara-gara berkongsi peralatan alat solek seperti berus dan alat solek seperti pembayang mata, seseorang berisiko mendapat jangkitan mata yang serius.

Risiko jangkitan mata juga boleh berlaku sekiranya berkongsi tuala muka dengan individu yang sudah dijangkiti termasuk cermin mata dan topeng muka.
Pakar Mata dan Pensyarah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Muhd Syafi Abd. Bari berkata, secara umum, jangkitan mata menyebabkan gejala merah, berair, gatal, pedih dan sensitif kepada cahaya.

Namun jika gejala ini menjadi lebih teruk seperti sakit sekitar mata hingga ke kepala atau mata bernanah, bermakna jangkitan lebih serius dan boleh menyebabkan kebutaan.

“Antara contoh jangkitan yang boleh menyebabkan kebutaan antaranya adalah seperti ulser kornea, selulitis orbital dan endophthalmitis.

“Ia adalah jangkitan serius yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan atau kebutaan jika tidak dirawat dengan cepat,” terangnya.

Penglihatan kabur yang mendadak atau kehilangan penglihatan secara tiba-tiba boleh menjadi tanda jangkitan mata yang serius dan boleh menyebabkan masalah mata yang teruk.

Sekiranya pesakit mengalami demam bersama gejala jangkitan mata, ini menunjukkan jangkitan sudah merebak ke seluruh badan (sistemik).

Tambahnya, pembengkakan besar di sekitar mata atau wajah juga menunjukkan jangkitan itu sudah menjangkiti struktur yang lebih dalam atau luas.
Mata merah berterusan dan berdenyut walaupun selepas rawatan asas, juga  menunjukkan jangkitan itu lebih serius atau mungkin tidak bertindak balas terhadap rawatan awal.

PUNCA JANGKITAN

Dr. Muhd. Syafi berkata, terdapat lima punca utama berlaku jangkitan mata iaitu disebabkan bakteria dan virus, kontak langsung, penggunaan kanta lekap yang lama, tidak menjaga kebersihan dan alahan.

“Bakteria Staphylococcus aureus dan Streptococcus pneumoniae serta virus seperti virus herpes simplex adalah antara penyebab berlaku jangkitan mata.

“Jangkitan mata juga boleh berlaku melalui kontak langsung dengan mata atau cecair daripada mata orang yang sudah dijangkiti. Ini boleh terjadi melalui sentuhan tangan yang tercemar atau perkongsian barang seperti tuala muka atau alat solek,” katanya.

Individu yang memakai kanta lekap perlu memastikan sentiasa membersihkan atau menjaga dengan betul kanta lekap bagi mencegah risiko jangkitan mata.

Sentuh mata hanya dengan tangan bersih. Cuci tangan dengan sabun dan air sebelum menyentuh mata atau memasang dan menanggalkan kanta lekap.

“Jangkitan mata kadang-kadang berkait rapat dengan alahan atau reaksi alergi terhadap bahan-bahan tertentu seperti makanan, debu, bulu haiwan atau serbuk bunga.

“Pendedahan kepada punca alahan ini boleh menyebabkan gejala jangkitan mata seperti mata gatal, berair dan kemerahan,” katanya.

UBAT JEJASKAN MATA

Beberapa ubat boleh memberi kesan sampingan ke atas penglihatan walaupun mungkin tidak menyebabkan kebutaan.

“Penggunaan ubat seperti prednisolone, yang sering digunakan dalam rawatan keradangan dan alahan, boleh menyebabkan peningkatan tekanan mata dan glaukoma sekiranya tidak dipantau.

“Pesakit yang dirawat menggunakan ubat anti-TB akan dipantau doktor mata bagi memastikan tiada kesan sampingan terhadap mata,” katanya.

Pesakit yang mempunyai penyakit kencing manis, rawatan yang lebih berkala diperlukan bagi memantau kesan sampingan kencing manis seperti retinopati diabetes.

GEJALA JANGKITAN

Dr. Muhd. Syafi berkata, mata merah atau bengkak adalah salah satu tanda paling umum berlaku jangkitan mata, terutamanya dalam kes konjunktivitis.

“Airmata berlebihan atau lendir dari mata adalah tanda jangkitan mata, terutamanya jika ia berterusan.

“Mata yang menjadi lebih sensitif terhadap cahaya boleh juga menjadi petunjuk jangkitan mata. Beberapa jenis jangkitan seperti jangkitan bakteria, cairan kuning atau hijau mungkin terhasil dari mata,” katanya.

Kemerahan pada kelopak mata atau kelopak mata yang bengkak juga adalah petunjuk jangkitan mata. Jangkitan mata tertentu juga boleh menyebabkan kabur pada penglihatan.

Rasa tidak selesa atau sakit pada mata, terutamanya ketika berkedip atau menggerakkan mata, juga boleh menjadi tanda jangkitan mata.

PENJAGAAN MATA 

Hindari menyentuh mata dengan tangan kotor untuk mengurangkan risiko jangkitan.

“Elakkan berkongsi barang peribadi yang berkaitan mata seperti tuala muka, topeng mata, atau kanta lekap dengan orang lain untuk mengelakkan penularan jangkitan.

“Amalkan kebersihan wajah dan kulit di sekitar mata untuk mengelakkan penularan jangkitan dari kawasan lain ke mata,” katanya.

PEMAKANAN

Anda dinasihatkan supaya mengamalkan makan makanan kaya dengan nutrien, vitamin A, C, dan E, serta zink dan Omega-3 seperti sayur hijau, lobak merah, ikan salmon, telur dan buah beri.

“Pastikan minum air secukup­nya untuk menjaga kelemba­pan mata dan meng­elakkan kekeringan.

“Jika anda bekerja di bawah udara berhawa dingin atau kering, guna pelembab mata,” katanya.

Apabila bekerja di depan komputer atau skrin digital dengan mengamalkan prinsip 20-20-20: setiap 20 minit, pandanglah jauh ke luar untuk sekurang-kurangnya 20 saat. Ini membantu merehatkan mata dan mengurangkan kekeringan mata.

“Elakkan menggosok mata berlebihan dan kerap kerana ia menyebabkan iritasi dan luka pada permukaan kornea dan peningkatan rabun silau,” katanya.

RAWATAN

Secara umumnya, jangkitan mata yang tidak serius boleh dirawat dengan mengunakan ubat titis antibiotik atau ubat radang.

“Sekiranya tanda-tanda jangkitan serius, pesakit perlu mendapatkan rawatan di hospital.

“Jangkitan serius yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan memerlukan rawatan lebih intensif dan penggunaan ubatan lebih berkala,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN