Tingkatkan daya tahan atasi kesan jerebu - Utusan Malaysia

Tingkatkan daya tahan atasi kesan jerebu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak awal bulan ini, ruang udara negara kita diselubungi asap putih yang berbau atau lebih dikenali sebagai jerebu.
Jerebu terjadi akibat pencemaran alam seperti aktiviti seperti pelepasan asap kereta dan kilang serta pembakaran dalam skala besar. Hasil penerokaan tanah oleh manusia secara tidak langsung juga menyebabkan debu halus dan habuk dari tanah yang menghasilkan jerebu.
Sementara itu, punca semulajadi yang menyebabkan berlaku jerebu adalah asap yang terhasil daripada letusan gunung berapi.
Daripada pandangan mata kasar, asap putih atau jerebu mungkin tidak berbahaya tetapi hakikatnya, ia boleh mengancam kesihatan kita. Asap ini mengandungi agen-agen pencemaran yang boleh membahayakan kesihatan terutama ke atas paru-paru.
Ia juga mengandungi zarah halus (PM) yang terampai di udara. Saiz zarah PM2.5 boleh disedut dengan mudah ke dalam paru-paru kita. Ini merujuk kepada zarah yang berdiameter lebih kecil daripada 2.5 mikron.
Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Seremban 2, Dr. Nur Aishah Abdul Latiff berkata, pendedahan kepada agen-agen pencemaran dan zarah ini boleh mengganggu sistem pernafasan seseorang.
“Sekiranya tersedut asap ini, ia boleh memburukkan lagi keadaan pesakit yang sememangnya sudah mengalami penyakit kronik salur pernafasan seperti asma dan bronkitis. Ia boleh menyebabkan salur pernafasan menjadi sempit dan sukar bernafas.
“Agen lain yang boleh menyebabkan gangguan pernafasan adalah ozon. Terdedah kepada ozon juga menyebabkan tisu dalam saluran pernafasn rosak, seterusnya menyebabkan radang dan gatal,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Ozon juga boleh menyebabkan mata menjadi kemerahan dan gatal akibat radang. Agen pencemaran seperti nitrogen dioksida, sulfur dioksida dan karbon monoksida yang terdapat dalam asap jerebu boleh menjejaskan kesihatan.
Tambahnya, kandungan karbon monoksida di dalam asap jerebu juga boleh menjejaskan sistem saraf yang menyebabkan seseorang itu mengalami sakit kepala, pening, loya dan muntah.
Mereka yang terdedah dengan agen-agen ini akan mengalami gejala seperti iritasi atau radang pada mulut, kulit dan tekak.

Golongan berisiko
Dr. Nur Aishah berkata, golongan rentan seperti kanak-kanak, warga emas, wanita hamil dan pesakit kronik perlu mengurangkan aktiviti di luar rumah bagi mengelakkan asap jerebu.
“Golongan ini mempunyai tahap imunisasi rendah dan jika terdedah kepada asap jerebu boleh memberikan kesan lebih teruk berbanding orang lain.
“Pesakit kardiovaskular dan pesakit serebrokardi­vaskular seperti penghidap angin ahmar dan pesakit kurang daya tahan, perokok dan pekerja yang banyak urusan di luar perlu menge­lakkan daripada terdedah kepada asap jerebu,” katanya.

Cegah risiko 

Katanya lagi, pesakit yang berisiko terutama pesakit asma, warga emas dan kanak-kanak perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kesan yang teruk akibat terdedah kepada asap jerebu.
“Antara langkah awal adalah mengambil tahu berapa kadar Indeks Pence­maran Udara (IPU) di kawasan anda atau kawasan yang akan dikun­jungi. Sebelum keluar, pastikan paras IPU tidak bahaya untuk anda dan keluarga.
“Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara adalah baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 adalah berbahaya, “ katanya.
Beliau menasihatkan supaya memakai pelitup muka setiap masa apabila keluar rumah namun lebih baik sekiranya mengurangkan aktiviti di luar sekiranya IPU melebihi 200 melainkan hal penting.
Data IPU dikeluarkan setiap jam, berdasarkan 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.
Cuaca panas di sebelah pagi dan tengah hari di kebanyakan tempat boleh menyebabkan orang ramai terdedah kepada dehidrasi dan strok haba. Kurang hujan juga boleh menyebabkan kadar IPU semakin meningkat.
Justeru, orang ramai juga digalakkan kerap minum air kosong untuk mengekalkan hidrasi badan selain kerap membasuh tangan, muka dan mandi terutama selepas berada di luar rumah.
“Pastikan tingkap dan pintu rumah sentiasa ditutup bagi mengelakkan udara tercemar memasuki rumah dan dapat mengurangkan risiko bagi ahli keluarga yang menghidap penyakit kronik.
“Sekiranya mampu, boleh menggunakan alat penghawa dingin atau alat penapis udara yang diletakkan di ruang bilik atau tamu di mana anda sering duduk bagi membolehkan udara beredar,” katanya.
Pero­kok dan perokok elektronik (vape) pula dinasihatkan supaya berhenti merokok dan menggunakan vape terutama ketika berada di dalam rumah kerana ia bukan saja memburukkan kesihatan anda tetapi juga orang lain.

Tingkatkan daya tahan diri
Dr. Nur Aishah berkata, mengamalkan makanan sihat dan seimbang sangat penting bagi membantu melawan penyakit apabila terdedah kepada udara berjerebu.
“Pastikan makan lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan selain makanan mengandungi protein, kalsium, vitamin, karbohidrat, lemak dan khasiat dalam kuantiti yang diperlukan.
“Diet seimbang membo­lehkan tubuh mendapat khasiat daripada vitamin C, E dan Omega 3 yang penting untuk melawan penyakit dan bakteria,” jelasnya.
Kesimpulannya orang ra­­mai perlu lebih peka menge­nai kesan jerebu dan segera berjumpa doktor sekiranya mengalami gejala berkai­tan.  – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya